☆Tadabbur Kalamullah 23 Muharram 1447H☆
إِنَّ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ وَمَاتُوا۟ وَهُمۡ كُفَّارࣱ فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡ أَحَدِهِم مِّلۡءُ ٱلۡأَرۡضِ ذَهَبࣰا وَلَوِ ٱفۡتَدَىٰ بِهِۦۤۗ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِینَ
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun" [Surah Āli-ʿImrān 91]
#Allah swt memaklumkan kepada kita semua bahawa walaupun orang-orang kafir itu berikan emas sepenuh bumi ini, malah kalau ditambah sekali ganda pun, tidak akan diterima bahkan mereka tetap akan diazab dengan sepedih-pedihnya dan sangat menyakitkan yang tiada gambaran untuk diperkatakan tentang kedahsyatannya.
#Betapa malangnya, walau mereka sudah sedar dan mula menyesali kebodohan mereka tidak beriman kepada Allah swt ketika didunia dahulu, kesedaran itu tidak akan berguna pada waktu itu. Dan tebusan daripada mereka itu juga tidak akan diterima. Ini kerana Allah swt tidak memerlukan harta. Harta tidak digunakan di akhirat. Yang digunakan hanyalah pahala dan dosa, itulah yang menjadi mata wang (currency) di sana nanti.
#Lebih dahsyat dari itu, orang yang bersalah akan mencari seribu satu cara untuk melepaskan diri daripada azab yang bakal membinasakannya. Maka mereka sanggup untuk menjadikan anak isteri mereka dan juga jiran tetangga, sahabat handai dan seluruh manusia sebagai tebusan agar mereka selamat. Firman Allah swt:
یُبَصَّرُونَهُمۡۚ یَوَدُّ ٱلۡمُجۡرِمُ لَوۡ یَفۡتَدِی مِنۡ عَذَابِ یَوۡمِىِٕذِۭ بِبَنِیهِ
"Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri"
وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَأَخِیهِ
"Dan isteri serta saudaranya"
وَفَصِیلَتِهِ ٱلَّتِی تُـٔۡوِیهِ
"Dan kaum kerabatnya yang melindunginya"
وَمَن فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا ثُمَّ یُنجِیهِ
"Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi - kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya" [Surah al-Maʿārij 11-14]
#Bagaimanakah cara mereka hendak menebus diri mereka itu? Mereka akan berkata jangan azab mereka, tetapi azablah anak, isteri, saudara dan sesiapa sahaja yang berkaitan dengan mereka. Mereka akan cuba melepaskan diri mereka sehingga sanggup menjual isteri, anak sampailah kesemua makhluk yang ada di bumi ini! Begitu terdesak sekali mereka ini. Perbuatan ini pun tidak langsung akan diterima oleh Allah swt.
#Pun begitu, mereka tetap tidak akan selamat kerana emas perak, intan berlian, mutiara Zamrud, ringgit, riyal, dollar, keluarga semuanya tidak bernilai dan berguna di akhirat. Bahkan mereka akan di humban dan diazab di dalam neraka. Firman Allah swt:
كَلَّاۤۖ إِنَّهَا لَظَىٰ
"Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya"
نَزَّاعَةࣰ لِّلشَّوَىٰ
"(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan"
تَدۡعُوا۟ مَنۡ أَدۡبَرَ وَتَوَلَّىٰ
"Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran)" [Surah al-Maʿārij 15-17]
#Namun, hakikat sebenarnya amat mudah bagi Allah swt untuk menerima kita dan menyelamatkan kita, jika kita beriman kepadaNya, istighfar dan meminta ampun semasa kita masih hidup di dunia ini sekarang. Tidak perlu bersusah payah untuk memberi segala harta yang ada. Atau menjual anak, isteri serta sekalian makhluk yang ada.
♡Ambillah peluang semasa nyawa dikandung badan ini untuk beriman kepada Allah, melakukan amal soleh, bekerja untuk Islam, bertaubat nasuha dan memperbaiki diri. Buatlah persediaan untuk akhirat, moga kita selamat. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment