Saturday, 19 July 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 24 Muharram 1447H☆


مَتَـٰعࣱ فِی ٱلدُّنۡیَا ثُمَّ إِلَیۡنَا مَرۡجِعُهُمۡ ثُمَّ نُذِیقُهُمُ ٱلۡعَذَابَ ٱلشَّدِیدَ بِمَا كَانُوا۟ یَكۡفُرُونَ 


"(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan" [Surah Yūnus 70]


#Terdapat sebahagian manusia yang melakukan syirik dan menentang Allah swt, namun Allah swt tetap kurniakan nikmat dan kesenangan dunia kepada mereka. Pun begitu, harta yang mereka kumpulkan itu tidak bernilai langsung di sisi Allah swt. Ia hanyalah kesenangan dunia yang sementara sahaja. Bahkan harta itu akan menjahanamkan akhirat mereka. 


#Ini sebagaimana yang telah diterangkan di dalam beberapa ayat yang lalu, walaupun orang yang ingkar itu hendak memberikan harta sebesar dunia sekalipun untuk menebus diri mereka daripada azab Allah swt, hartanya itu tidak akan diterima oleh Allah swt kerana harta dunia tidak ada nilai langsung di akhirat kelak.


#Begitu juga sebagaimana yang telah diterangkan dalam ayat yang lalu, kejayaan yang sebenarnya adalah apabila Allah swt redha dengan kita dan memasukkan kita ke dalam syurgaNya. 


#Oleh itu, jikalau kita melihat orang yang ingkar, tetapi di dunia mereka ada harta yang banyak dan hidup senang lenang, janganlah kita pandang mereka sebagai berjaya. Kejayaan di dunia tidak bernilai apa-apa jikalau tiada kejayaan di akhirat.


#Mereka hanya menikmati kesenangan dan kemewahan dunia itu hanya sebentar. Hanya di dunia sahaja mereka ada banyak harta dan kesenangan. Mereka lupa bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah swt. Hakikatnya kehidupan di dunia itu amatlah sebentar berbanding dengan kehidupan di akhirat kelak. Ramai yang tidak sedar akan perkara ini, ataupun mungkin ada yang sedar tetapi cara mereka hidup di dunia ini seolah-olah mereka akan hidup lama dan selama-lamanya pula.


#Bukan mereka sahaja yang akan dikembalikan, namun termasuk kitalah juga. Tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengelaknya. Ayat ini mengingatkan kita kepada mati yang kita semua akan hadapi. Kita semua mestilah sentiasa mengingati mati. Mati adalah satu perkara yang kebanyakan manusia malas untuk memikirnya. Padahal ia adalah sesuatu yang pasti terjadi. Ia tetap akan terjadi sama ada kita fikir atau tidak, bersedia atau tidak. Ia pasti mengejar kita apabila tiba saatnya. 


#Oleh yang demikian, kita seharusnya sering fikirkan tentang mati supaya kita beringat untuk membuat persediaan bagi menghadapi kematian. 


#Bagi sesiapa yang engkar dan derhaka, walau sekaya mana pun, mereka akan dikenakan azab yang berat. Itulah azab yang mereka tidak akan sanggup untuk bertahan dan menanggungnya. Akan tetapi mereka terpaksa menerimanya kerana mereka tidak mampu untuk lari daripadanya. Mereka dikenakan azab itu bukanlah kerana Allah swt zalim. Ini kerana mereka sendiri yang ingkar akan ayat Allah swt, zalim pada diri sendiri serta kufur akan nikmat Allah swt. 


♡Kesenangan yang dikurniakan, 

bukanlah tanda berkat, namun sebagai ujian kepada manusia samada dia bersyukur atau kufur♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah



No comments:

Post a Comment

 [26/7/25, 21:35:14] KSC Hamidi: (A'uzubi izzatillah wakudratihi min syarrima Ajidu waa u'haadzir) [26/7/25, 21:35:47] KSC Hamidi: (...