Sunday, 20 July 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 25 Muharram 1447H☆


وَقَالَ مُوسَىٰ یَـٰقَوۡمِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَیۡهِ تَوَكَّلُوۤا۟ إِن كُنتُم مُّسۡلِمِینَ 


Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)" [Surah Yūnus 84]


#Nabi Musa Alaihissalam berucap memberi kata-kata nasihat kepada kaum Bani Israil. Nabi Musa memberi tarbiyyah dan semangat kepada kaumnya yang masih takut dengan ancaman Firaun dan pembesar-pembesarnya. Baginda memberi semangat kepada kaumnya kerana cabaran yang sedang mereka hadapi. 


#Selepas Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan setelah Firaun dikalahkan dalam pertarungan antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa, menyebabkan Firaun amat marah sekali kerana dia telah dimalukan di khalayak ramai. Tambahan pula, ahli-ahli sihir harapannya itu tewas, lalu terus sujud beriman kepada Allah swt.


#Disebabkan malu dan marah tersangat, dia meningkatkan dan menggandakan lagi kesusahan kepada mereka. Maka Bani Israil pun marah kepada Nabi Musa Alaihissalam kerana pada anggapan mereka, Nabi Musalah yang menyusahkan mereka. Firman Allah swt:


قَالُوۤا۟ أُوذِینَا مِن قَبۡلِ أَن تَأۡتِیَنَا وَمِنۢ بَعۡدِ مَا جِئۡتَنَاۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن یُهۡلِكَ عَدُوَّكُمۡ وَیَسۡتَخۡلِفَكُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَیَنظُرَ كَیۡفَ تَعۡمَلُونَ 


Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?" [Surah al-Aʿrāf 129]


#Maka Nabi Musa mengatakan jikalau mereka beriman sungguh-sungguh dengan Allah swt, mengharap hanya kepada Allah swt, juga mereka benar-benar beribadat hanya kepada Allah swt, mereka tentulah tidak boleh menyalahkan baginda kerana ini adalah ujian daripada Allah swt. Memang kehidupan di dunia adalah tempat ujian untuk setiap manusia dan perlu hadapi dengan iman. 


#Nabi Musa mengingatkan kaumnya supaya bertawakal kepada Allah swt jika benar-benar mereka beriman. Tidak ada cara lain. Mereka hendaklah berharap semata-mata kepada Allah swt sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan mereka kepada Allah swt. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. 


وَمَن یَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَیۡءࣲ قَدۡرࣰا 


"Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu" [Surah at-Talaq 3]


♡Ayat ini mengajar kita bahawa kita perlu bertawakal kepada Allah swt dalam melakukan ibadah, beriman, berdakwah dan berjuang demi Islam. Nabi Musa Alaihissalam mengingatkan kaumnya untuk bertawakal kepada Allah swt dalam beriman dan menjalankan ibadat kepada Allah. Sentiasalah memohon pertolongan Allah!!♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Ketika Ziarah Pesakit عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَس...