☆Tadabbur Kalamullah 26 Muharram 1447H☆
فَقَالُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلۡنَا رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةࣰ لِّلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِینَ
Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas"
وَنَجِّنَا بِرَحۡمَتِكَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ
"Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir" [Surah Yūnus 85-86]
#Dalam ayat sebelum ini, Nabi Musa Alaihissalam telah menyuruh kaum Bani Israil untuk bertawakal kepada Allah swt. Maka dalam ayat ini diceritakan bagaimana mereka terus menerima dan mereka terus bertawakal kepada Allah swt.
#Beginilah yang sepatutnya kita lakukan dalam kehidupan seharian kita. Kita hendaklah bersegera taat dan terus bertindak melakukan arahan. Tanda mereka bertawakal kepada Allah swt adalah mereka terus berdoa kepada Allah swt. Maka ini mengajar kita tawakal itu mesti disertai dengan doa. Kekuatan kita sahaja tidak cukup bahkan perlu bantuan Allah swt.
#Mereka berdoa kepada Allah supaya janganlah mereka menjadi sasaran fitnah. Janganlah mereka terus menerus dikenakan azab musibah daripada kuasa jahat Firaun. Ini bermaksud mereka minta diselamatkan.
#Maksud lain: Janganlah bala diturunkan kepada mereka sepertimana bala yang diberikan kepada orang-orang yang zalim. Mereka berdoa supaya Allah swt memenangkan mereka ke atas puak yang zalim itu.
#Mereka juga berdoa agar Allah swt selamatkan mereka daripada kejahatan Firaun dan bala tenteranya dengan rahmatNya. Bagaimana lagi kita hendak menyelamatkan diri daripada musuh seperti tentera Firaun itu melainkan dengan rahmat Allah swt sahaja? Hanya kepada Allah swt sahaja harapan seluruh umat Islam.
#Doa ini amat baik untuk diamalkan. Doanya ringkas sahaja. Ringkas permintaan mereka kepada Allah swt. Lihatlah bagaimana al-Quran mengajar kita berdoa dengan ringkas tetapi penuh makna dan tepat permohonannya. Oleh itu, mintalah apa yang penting yang kita ingini sebagaimana doa kaum Bani Israil ini, mereka minta diselamatkan.
حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar" [Surah at-Tawbah 129]
#Dalam setiap urusan, serahkan segalanya kepada Allah dan berdoalah kepadaNya. Yakinlah, pertolonganNya pasti datang pada waktu yang tepat.
♡Hakikatnya di dalam ajaran Islam, walau apa pun badai dan tekanan yang melanda, pasti ada jalan penyelesaian terhadap situasi tersebut agar dapat melangkah ke hadapan meneruskan perjalanan kehidupan. Maka, teguhkan hati dengan tawakal dan sentiasa berdoa kepadaNya memohon kekuatan, dijauhi kezaliman dan beroleh kemenangan♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment