☆Tadabbur Kalamullah 27 Muharram 1447H☆
وَعَسَىٰۤ أَن تَكۡرَهُوا۟ شَیۡـࣰٔا وَهُوَ خَیۡرࣱ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰۤ أَن تُحِبُّوا۟ شَیۡـࣰٔا وَهُوَ شَرࣱّ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
"...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya" [Surah al-Baqarah 216]
#Setiap kali kita berdepan dengan ujian, kesukaran, kesusahan, kesedihan atau kesulitan dalam hidup, ada kalanya kita tertanya-tanya, 'Mengapa ini terjadi padaku?'.
#Namun, hakikatnya, Allah swt mengatakan bahawa setiap yang berlaku samada kita suka atau tidak suka pasti ada hikmahnya . Allah tidak pernah mentakdirkan sesuatu tanpa tujuan yang baik, walaupun kita tidak selalu melihatnya pada saat itu. Setiap yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya.
#Dikisahkan berkaitan Sayidatina Ummu Salamah r.ha, tatkala sedang berbahagia hidup bersama suaminya Sayidina Abu Salamah r.a, keluarga mereka diuji apabila sekembalinya Sayidina Abu Salamah daripada Perang Uhud dengan lukanya yang agak parah. Luka itu berlarutan membawa kepada kematian Sayidina Abu Salamah. Sebahagian ahli sejarah mengatakan bahawa beliau meninggal pada tahun ketiga hijirah.
#Setelah wafat Sayidina Abu Salamah, Rasulullah saw menziarahi Sayidatina Ummu Salamah dan mendoakannya disamping mengajarkannya satu doa. Diriwayatkan daripada Ibn Safinah, daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan oleh Allah swt:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
(Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya), melainkan Allah swt akan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik. Ummu Salamah berkata: "Ketika Abu Salamah telah meninggal dunia, aku bertanya: ‘Siapakah Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia ialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah saw. Kemudian aku pun mengucapkan doa tersebut. Maka Allah swt menggantikan buatku Rasulullah saw". Ummu Salamah berkata: “Rasulullah saw menghantar Sayidina Hatib bin Abu Balta‘ah untuk melamarku bagi pihak Baginda. Aku pun berkata: ‘Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku jenis yang kuat cemburu.’ (Maksudnya beliau risau jika berkahwin nanti, anaknya akan terbiar dan beliau akan menyakitkan Baginda disebabkan oleh cemburunya itu). Baginda saw bersabda: ‘Adapun anak perempuannya, kita doakan semoga Allah mencukupkan keperluannya yakni bertemu dengan pasangannya sendiri, lalu ada yang menjaganya agar tidak terlalu terikat dengan Ummu Salamah dan aku juga berdoa agar Allah menghilangkan perasaan kuat cemburu itu"
(HR Muslim)
#Sayidina Ummu Salamah kehilangan suami terbaik, kemudiannya Allah swt menggantikan kepada beliau suami yang lagi terbaik daripada Abu Salamah iaitu Rasulullah saw. Beliau juga merupakan isteri Baginda yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau diberi umur yang panjang sehinggakan beliau masih lagi hidup ketika peristiwa pembunuhan Sayidina Husain r.a. Beliau hidup kira-kira 90 tahun. Beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Yazid bin Mu‘awiyah pada tahun 60 Hijrah. Dikatakan beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan atau Syawal tahun 59 Hijrah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Sayidina Abu Hurairah r.a. Ada yang berpendapat, solat jenazahnya diimamkan oleh Sayidina Sa‘id bin Zaid.
♡Dalam setiap ujian yang kita hadapi, ingatlah bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Setiap peristiwa membawa hikmah, dan setiap hikmah membawa kita lebih dekat kepadaNya♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment