☆Tadabbur Kalamullah 28 Muharram 1447H☆
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَاۤ إِنَّكَ ءَاتَیۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِینَةࣰ وَأَمۡوَ ٰلࣰا فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا رَبَّنَا لِیُضِلُّوا۟ عَن سَبِیلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰۤ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا یُؤۡمِنُوا۟ حَتَّىٰ یَرَوُا۟ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِیمَ
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya" [Surah Yūnus 88]
#Setelah bertahun-tahun lamanya Nabi Musa Alaihissalam berdakwah kepada Firaun dan kaumnya, inilah kata-kata dan doa baginda kepada Allah swt. Doa ini sebenarnya adalah doa laknat kerana Nabi Musa Alaihissalam melihat mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk beriman dan semakin bahaya jika mereka terus hidup senang lenang dan kesannya akan mempengaruhi manusia lain untuk kufur kepada Allah swt.
#Mereka telah dikurniakan dan dilimpahi dengan segala macam kemewahan. Sebagai contoh, mereka mempunyai kereta kuda yang diperbuat daripada emas dan sebagainya. Rumah mereka berlantaikan marmar hitam dan dihiasi perbagai perhiasan mewah dan mahal-mahal.
#Kekayaan, kemewahan, pangkat dan kuasa menyebabkan manusia jauh daripada kebenaran kerana sibuk dengan kesenangan mereka. Mereka tidak nampak keperluan agama lagi kerana hidup senang dan mewah. Begitulah sebahagian sikap orang yang kaya dan mewah, mereka akan menghabiskan masa mengira-ngira harta mereka. Mereka suka mengumpul harta dan tidak pernah rasa cukup dan puas. Padahal, berapa banyak sangat yang mereka boleh makan? Maknanya mereka cari kekayaan bukan untuk makan tetapi digunakan duit itu untuk berbangga-bangga dengan apa yang mereka ada.
#Itulah kehidupan dunia yang telah menyebabkan manusia leka, lalai dan sombong serta lupa diri. Mereka melebihkan kejayaan di dunia daripada kejayaan di akhirat. Inilah bahayanya jikalau manusia diberikan kekayaan tanpa iman dan Ilmu. Mereka kalah dengan ujian kekayaan itu.
كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ
"Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas"
أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ
"Kerana dia melihat dirinya serba cukup" [Surah al-Alaq 6-7]
#Dengan harta dan perhiasannya yang banyak dan melimpah-limpah itulah yang menyebabkan Firaun dan pembesar-pembesarnya telah menjadi sesat. Mereka langsung tidak bersyukur kepada Allah swt namun sebaliknya mereka telah menjadi sesat dan angkuh.
#Nabi Musa berdoa kepada Allah swt agar dimusnahkan harta mereka sampai tiada kesan lagi. Ini kerana baginda sudah nampak yang Firaun dan pengikutnya tidak akan berubah. Begitu juga agar dikeraskan hati mereka seperti batu atau kuncilah hati mereka supaya mereka tidak masuk Islam. Ini kerana selepas apa yang mereka lakukan, Nabi Musa Alaihissalam merasakan mereka tidak layak lagi mendapat iman. Bilakah baginda doakan ini?
#Iaitu setelah bertahun-tahun baginda berdakwah kepada mereka tetapi mereka menolak sahaja dan terus melakukan kezaliman kepada Baginda dan Bani Israil. Malah lebih teruk lagi mereka telah menghalang agama Allah swt daripada berkembang. Mereka tidak membenarkan Musa menyampaikan dakwah. Kerana itulah Nabi Musa berdoa agar mereka dibinasakan. Doa Nabi Musa ini telah dimakbulkan oleh Allah swt. Firaun dan pengikutnya tidak beriman sampai mereka mati.
♡Saat ini ramai di kalangan kita yang mementingkan kekayaan dunia hingga menentang ajaran Islam. Mereka menentang Allah swt dan para pendakwah. Bertaubatlah selagi diberi peluang. Jangan sampai datang kebinasaan. Saat itu, penyesalan sudah tidak berguna lagi♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
No comments:
Post a Comment