☆Tadabbur Kalamullah 29 Muharram 1447H☆
قَالَ قَدۡ أُجِیبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِیمَا وَلَا تَتَّبِعَاۤنِّ سَبِیلَ ٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَ
Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)" [Surah Yūnus 89]
#Allah swt memaklumkan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Alaihimassalam bahawa doa mereka berdua telah dikabulkan. Ada tafsiran lain menyebut Nabi Musa Alaihissalam yang berdoa dan Nabi Harun Alaihissalam mengaminkan dan ta’min (mengaminkan) juga adalah sebahagian daripada doa. Maka mereka dikira berkongsi dalam berdoa.
#Imam al-Baghawi mengatakan bahawa doa itu dimakbulkan selepas 40 tahun. Bukanlah doa itu terus dikabulkan waktu itu juga. Wallahu a’lam. Ini bermakna sepanjang 40 tahun itu Nabi Musa dan Nabi Harun tetap meneruskan kerja-kerja dakwah.
#Ini mengajar kita bahawa doa tidak semestinya dimakbulkan terus oleh Allah swt. Allah swt tahu bila sesuatu itu patut diberikan. Walaupun begitu di dalam menunggu perkara diminta itu diberi, Allah swt telah berikan perkara lain yang kita lebih perlukan, seperti keselamatan, kekuatan dan sebagainya.
#Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Sa‘id al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا
"Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah SWT akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah SWT menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah SWT akan menjauhkan daripadanya kejelekan" (HR Ahmad)
#Allah swt memerintah Baginda berdua hendaklah terus berdakwah dan istiqamah di atas jalan yang benar.
فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ
"Maka dengan itu, beristiqamahlah kamu di jalan yang benar; seperti yang diperintahkan kepada kamu dan orang yang bertaubat bersamamu; dan janganlah sesekali melampaui batas-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Melihat setiap apa yang kamu lakukan" [Surah Hud 112]
#Oleh itu, kita tetap perlu istiqamah dalam berdakwah dan mengajak manusia kepada kebenaran. Jangan selepas berdoa dan Allah swt sudah makbulkan, jangan tinggalkan urusan dakwah atau berubah fikiran untuk berehat daripada jalan dakwah.
♡Berdoalah kepada Allah swt agar dikurniakan kekuatan dalam menentang musuh-musuh Allah swt. Moga mereka dibinasakan dan digagalkan mereka dalam kerja-kerja menghalang kebaikan. Istiqamahlah dalam berdakwah dan berjuanglah sehingga akhir hayat♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment