☆Tadabbur Kalamullah 4 Safar 1447H☆
هَـٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِیظࣲ
"Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka)" [Surah Qāf 32]
#Ayat ini merupakan berita baik bagi hamba Allah swt yang taat. Mereka dijanjikan syurga yang terindah. Kepada mereka ahli syurga, iaitu orang-orang mukmin, mereka akan diberikan penghormatan dengan didekatkan syurga kepada mereka. Mereka akan dinampakkan dengan syurga semasa di Mahsyar lagi. Ini akan menenangkan hati mereka dan menggembirakan mereka.
هَـٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِیظࣲ
(Serta dikatakan kepada mereka): "Inilah yang dijanjikan kepada kamu, - kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah)" [Surah Qāf 32]
#Lalu dikatakan kepada mereka, inilah balasan syurga bagi orang-orang yang bertaubat, yang kembali kepada Allah swt. Kembali menginsafi diri, sedar diri bahawa mereka banyak melakukan dosa lalu bertaubat dan sentiasa memohon keampunan serta rahmat Allah swt.
#Tawwab bermaksud sentiasa kembali kepada Allah swt berkali-kali. Walaupun mereka telah melakukan kesalahan dan dosa, mereka tidak putus harap kepada pengampunan dari Allah swt. Mereka juga adalah orang yang menjaga diri daripada melakukan perkara yang memalukan. Mereka menjaga janji-janji yang telah diamanahkan kepada mereka. Kerana itu mereka digelar حَفيظٍ.
مَّنۡ خَشِیَ ٱلرَّحۡمَـٰنَ بِٱلۡغَیۡبِ وَجَاۤءَ بِقَلۡبࣲ مُّنِیبٍ
"(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat" [Surah Qāf 33]
#Sifat ahli Syurga itu, mereka sentiasa tetap takut kepada Allah swt. Ini adalah kerana mereka yakin kepada kewujudan Allah swt. Mereka sedar bahawa Allah swt sentiasa memerhatikan mereka. Walaupun mereka bersendirian, mereka tetap menjaga hukum hakam, halal haram dan batasan syarak.
#Ramai dari kita akan menjaga hukum hakam jika di hadapan orang lain, tapi adakah kita tetap menjaga hukum hakam jika kita bersendirian? Hanya manusia yang benar-benar takut Allah swt sahaja yang akan benar-benar menjaga syariat disepanjang kehidupannya. Mereka mati dalam keadaan hati mereka sentiasa ingin kembali kepada Allah swt. Sentiasa condong kepada kebaikan. Sentiasa terbuka untuk menerima kebenaran dan sentiasa dekat dengan ketaatan agar sentiasa merasa dekat dengan Allah swt.
#Lalu mereka pun dipersilakan masuk ke dalam syurga. Mereka hidup di dalam syurga dengan penuh kebahagiaan, keamanan, kedamaian, kenikmatan dan kegembiraan.
ٱدۡخُلُوهَا بِسَلَـٰمࣲۖ ذَ ٰلِكَ یَوۡمُ ٱلۡخُلُودِ
(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal" [Surah Qāf 34]
#Mereka dijemput masuk ke dalam syurga itu dengan aman. Iaitu sejahtera daripada segala perkara-perkara yang menyusahkan. Mereka sudah tidak ada rasa takut dan apa-apa sahaja kerisauan. Mulai saat itu, mereka akan hidup penuh aman dan sejahtera sahaja.
♡Jadilah insan soleh, bertaqwa, baik, penyayang dan sentiasa lazat dalam melakukan pengabdian kepada Allah swt. Moga di mahsyar kelak kita disenarai sebagai penghuni syurga yang tertinggi dan teristimewa. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment