☆Tadabbur Kalamullah 5 Safar 1447H☆
وَكَمۡ أَهۡلَكۡنَا قَبۡلَهُم مِّن قَرۡنٍ هُمۡ أَشَدُّ مِنۡهُم بَطۡشࣰا فَنَقَّبُوا۟ فِی ٱلۡبِلَـٰدِ هَلۡ مِن مَّحِیصٍ
"Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) yang terdahulu daripada orang-orang musyrik Makkah itu Kami telah binasakan. Kaum-kaum itu lebih kekuatannya (dan kehandalannya) daripada mereka, lalu kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan di merata-rata negeri. (Meskipun demikian keadaannya) dapatkah (mereka) menyelamatkan diri?" [Surah Qāf 36]
#Allah swt ingatkan kepada kita semua bahawa Allah swt boleh timpakan azab kepada sesiapa yang mengingkariNya ketika di dunia lagi, tidak perlu tunggu balasan di akhirat. Dan memang banyak sekali umat-umat penentang tauhid yang terdahulu (dikalangan umat sebelum Nabi Muhammad saw) daripada golongan musyrikin Mekah yang telah dibinasakan. Dan sebahagian mereka telah disebut dalam al-Quran.
#Kaum-kaum terdahulu yang menentang dakwah para Rasul sebelum Nabi saw telah dimusnahkan itu hebat-hebat belaka. Lebih hebat dari golongan Musyrikin Mekah tetapi mereka dihancurkan juga. Allah swt hendak ingatkan kepada Musyrikin Mekah bahawa ada lagi yang lebih hebat, gagah dan kuat dari mereka yang telah dimusnahkan.
#Maka janganlah merasakan yang mereka akan selamat. Golongan Musyrikin Mekah itu jangan perasan mereka hebat dan bijak. Tidak ada apa-apapun kalau dibandingkan dengan umat terdahulu sebelum mereka. Umat sebelum mereka lebih besar dan kuat fizikalnya, lebih hebat kemewahan hidupnya, lebih pakar dalam teknologinya dan lebih segala-galanya daripada orang Mekah.
أَلَمۡ تَرَ كَیۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ
"(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)"
إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ
"Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)"
ٱلَّتِی لَمۡ یُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِی ٱلۡبِلَـٰدِ
"Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?" [Surah al-Fajr 6-8]
#Jika Allah swt sudah buat keputusan hendak hancurkan, Allah swt akan musnahkan dan tidak hiraukan siapakah mereka.
Begitu jugalah dengan kita, kena sentiasa takut dengan azab Allah swt. Ini kerana Allah swt boleh sahaja hendak kenakan azab kepada kita semasa kita di dunia ini lagi. Jangan rasa selamat sangat. Jangan rasa diri kita insan terpilih kerana belum datang azab sedangkan kita kuat menentang ajaran Islam, menentang hukum hakam al-Quran, menentang para alim ulamak pewaris Nabi.
إِذۡ جَاۤءَتۡهُمُ ٱلرُّسُلُ مِنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ أَلَّا تَعۡبُدُوۤا۟ إِلَّا ٱللَّهَۖ قَالُوا۟ لَوۡ شَاۤءَ رَبُّنَا لَأَنزَلَ مَلَـٰۤىِٕكَةࣰ فَإِنَّا بِمَاۤ أُرۡسِلۡتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ
"(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah", mereka menjawab: "Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Ia akan menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang (kamu katakan): kamu diutus membawanya!" [Surah Fuṣṣilat 14]
♡Pelbagai kenikmatan dan kemewahan yang Allah kurniakan kepada kita, maka jangan sesekali menderhaka dan menentang wahyu Allah swt. Ini kerana azab Allah boleh datang pada bila-bila masa untuk membinasakan golongan yang menentangnya♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment