Thursday, 31 July 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 6 Safar 1447H☆


یَسۡـَٔلُونَ أَیَّانَ یَوۡمُ ٱلدِّینِ 


Mereka bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari pembalasan itu?"


یَوۡمَ هُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ یُفۡتَنُونَ 


(Jawabnya: hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api neraka" [Surah az-Zhāriyāt 12-13]


#Golongan yang engkar, lalai lagi bodoh itu bertanya-tanya bilakah terjadinya hari kiamat itu seolah-olah mereka tidak percaya akan kedatangannya. Apabila diberitahu tentang hari kiamat maka mereka bertanya: “bila, bila?”. Akan tetapi pertanyaan mereka itu adalah untuk mempersenda-sendakan sahaja, bukannya hendak tahu dan insaf.


#Inilah persoalan mereka semasa di dunia kerana hati mereka sendiri tidak mahu menerima kebenaran sejak awal lagi. 


#Allah swt beritahu bilakah hari kiamat itu akan berlaku iaitu pada hari mereka akan dipanggang di dalam api neraka!!. Allah swt tidak beritahu ‘bila’ ia akan terjadi, tetapi ‘apa’ yang akan terjadi. Ini adalah untuk menakutkan mereka (dan menyedarkan mereka) bahawa mereka yang tidak beriman kepada Allah swt akan menjadi bahan bakaran api neraka.


#Kalimah يُفتَنونَ dari ف ت ن yang asalnya bermaksud emas yang dicairkan untuk diasingkan daripada bendasing dan logam lain, maka begitulah mereka akan dibakar nanti. Maksudnya mereka akan dibakar dalam api neraka sepertimana emas itu dibakar. Kesengsaraan yang maha dahsyat akan dikenakan kepada mereka. Lalu Allah swt berfirman kepada mereka:


ذُوقُوا۟ فِتۡنَتَكُمۡ هَـٰذَا ٱلَّذِی كُنتُم بِهِۦ تَسۡتَعۡجِلُونَ 


(Sambil dikatakan kepada mereka): "Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu; inilah dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya" [Surah az-Zhāriyāt 14]


#Dikatakan kata-kata pedas ini sebagai azab rohani. Sudahlah fizikal mereka sedang diseksa, ditambah pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan meruntun jiwa. Azab dari sudut ini menyebabkan tekanan psikologi kepada ahli neraka dan menambahkan kesengsaraan zahir dan batin. 


#Rasalah azab fitnah yang dulunya mereka tanya-tanya dan minta disegerakan. Dulu mereka tanya bila, bila… dan berlagak konon minta disegerakan azab kalau memang benar ada Kiamat itu?


#Mereka minta disegerakan kerana mereka tidak percaya.  Kalau ada azab itu, mohon disegerakan!. Mereka tidak faham bahawa Allah swt tidak terus seksa dan matikan mereka adalah kerana hendak memberi peluang kepada mereka untuk ubah perangai dan beriman dengan bersungguh-sungguh. Oleh kerana Allah swt sayang kepada mereka, maka Allah swt beri peluang kepada mereka. Namun tatkala peluang ini diabaikan, maka azab yang akan menjahanamkan mereka. 


♡Takutlah akan azab Allah swt. Jangan sesekali merasakan azab Allah itu hanya biasa-biasa. Ketahuilah bahawa azab Allah itu tersangat luar biasa dan tersangat ngeri serta pedih♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah



No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...