☆Tadabbur Kalamullah 13 Safar 1447H☆
وَمَن یَعۡمَلۡ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ یَدۡخُلُونَ ٱلۡجَنَّةَ وَلَا یُظۡلَمُونَ نَقِیرࣰا
"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun" [Surah an-Nisāʾ 124]
#Syurga bukan diperolehi dengan sangkaan, angan-angan atau hak keistimewaan golongan tertentu, tetapi melalui iman dan amal yang benar. Semua orang layak masuk syurga dengan rahmat Allah swt asalkan benar-benar beriman dan mentaatiNya.
#Sabda Rasulullah saw:
كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
"Setiap umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku akan masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan" (HR Bukhari)
#Pernah ditanya kepada seorang arab kampung di Basrah: "Kamu pernah terfikir akan masuk ke dalam syurga?"
Jawab Arab kampung tersebut: "Demi Allah aku tidak pernah ragu sama-sekali, yang aku akan masuk ke dalam syurga, bersiar-siar di tamannya, meminum air dari telaga yang ada di dalamnya, berteduh di bawah naungan pohon di dalamnya, memakan buah-buahan di dalamnya dan aku akan memiliki istana-istana dan mengecapi segala nikmat dan keseronokan di dalamnya."
Ditanya lagi kepadanya: "Amalan soleh apa yang telah kamu lakukan? Perkerjaan baik apa pula yang telah kamu sumbangkan?"
Jawab beliau: "Apakah ada amalan soleh dan pekerjaan baik yang lebih mulia dari KEIMANANKU kepada ALLAH YANG MAHA TINGGI? dan keengkaran aku akan adanya sembahan selainNYA?"
Ditanya lagi kepadanya: "Kamu tidak bimbangkan dosa-dosa yang kamu lakukan?"
Jawab beliau: "Allah Yang Maha Mulia, Dia juga Tuhan Yang Maha Pengampun, Dia mahu mengampunkan segala dosa. Dia juga Yang Maha Penyayang, Dia kasihankan mereka yang melakukan kesalahan. Keampunan itu untuk mereka yang berdosa manakala kemaafan itu untuk mereka yang bersalah. Dia lebih mulia dari mengazab makhluk yang dikasihiNya ke dalam neraka".
Orang ramai yang berada di masjid Basrah berkata: "Sesungguhnya lelaki ini benar-benar telah berbaik sangka dengan Tuhannya".
#Orang ramai apabila bercakap tentang perbualan dengan Arab kampung ini, menjadikan terungkai segala bebanan hidup mereka, sehingga perasaan harapan mereka kepada Allah bertambah kuat.
#Sayidina Abu Hurairah r.a berkata:
يقولُ اللَّهُ تَعالَى: أنا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بي، وأنا معهُ إذا ذَكَرَنِي، فإنْ ذَكَرَنِي في نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي، وإنْ ذَكَرَنِي في مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ في مَلَإٍ خَيْرٍ منهمْ، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ بشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ ذِراعًا، وإنْ تَقَرَّبَ إلَيَّ ذِراعًا تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ باعًا، وإنْ أتانِي يَمْشِي أتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
Allah Ta'ala berfirman: "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam satu kumpulan, Aku akan menyebutnya di hadapan kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Jika dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta; jika dia mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa, dan jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari kecil" (HR al-Bukhari dan Muslim)
♡Ya Allah, sesungguhnya kami benar-benar mencintaiMu. Ampunilah kami dan masukkanlah kami ke dalam syurgaMu. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment