Friday, 8 August 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 14 Safar 1447H☆


يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُۥۚ وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِۗ


"Wahai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabmu, dan jika kamu tidak kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya, Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia" [Surah al-Maidah 67] 


#Antara tugas para Nabi dan Rasul ialah berdakwah menyampaikan risalah wahyu Allah swt dan mengajak manusia kepada kebenaran Ilahi disamping berjihad dan berperang dalam membuka negara-negara Islam. Walaupun dalam ayat ini, hanya diseru Rasulullah saw, akan tetapi termasuk juga seruan itu kepada kita sebagai umat baginda. Kita mestilah meneruskan dakwah Nabi saw dan sampaikan wahyu ini kepada manusia. Hal ini terbukti bahawa para sahabat baginda dan pejuang terdahulu telah meneruskan tugasan mulia ini. 


#Dikisahkan pada tahun 42H bersamaan 662M, Uqbah bin Nafi’ telah memasuki Afrika sehingga berjaya menawan Ghadames, Waddan di Libya, dan negeri-negeri Barbar.


Uqbah bin Nafi’ bin Abdul Qais al-Umawi al-Fihri (عقبة بن نافع بن عبد القيس الأموي الفهري), salah seorang panglima Arab dan Fatih terkemuka dalam era permulaan Islam. Beliau dilahirkan dalam tempoh hayat Nabi Muhammad SAW, pada tahun pertama sebelum hijrah. Namun beliau tidak pernah bertemu Baginda saw. Beliau menyertai sepupunya sebelah ibu, Sayidina Amru bin al-As r.a, dalam pembukaan Mesir, dan kemudian menyertai sepupunya itu dalam pertempuran-pertempuran di Afrika. Selepas itu, Sayidina Amru melantiknya sebagai penguasa di Barqah (Wilayah Pantai Timur Libya) setelah pembukaannya. 


Dari Barqah Uqbah bin Nafi' memimpin angkatan tenteranya menuju ke arah barat, seterusnya menyerlahkan kemampuannya dalam ketenteraan, keberanian, dan kebijaksanaan, sehingga menaikkan namanya.


Pada masa pemerintahan Sayidina Muawiyah bin Abi Sufyan, beliau dilantik sebagai penguasa di Afrika dan dikirim kepadanya 10,000 tentera berkuda. Uqbah maju ke wilayah Maghrib (arah Barat) sehingga sampai ke sebuah lembah yang dikenali sebagai Qairawan dan beliau terpesona dengan kedudukannya Qairawan. Di Qairawan beliau membina kota terkenal di situ dan sebuah masjid yang sehingga hari ini dikenali sebagai Masjid Uqbah. 


Pada tahun 55 Hijrah, Sayidina Muawiyah melucutkan jawatannya di Afrika. Maka Uqbah kembali ke Timur. Setelah Sayidina Muawiyah wafat, dalam pemerintahan anaknya Yazid bin Mu'awiyah, Uqbah dilantik semula sebagai penguasa pada tahun 62 Hijrah di Maghrib.


Beliau kembali ke Qairawan dan dari sana beliau memimpin angkatan tentera yang besar sehingga berjaya membuka beberapa benteng dan kota sehingga sampai di pantai Lautan Atlantik. Beliau berjaya mengusir kuasa Byzantin dari kawasan-kawasan pesisir utara Afrika. Uqbah akhirnya syahid dalam salah satu peperangannya pada tahun 63 Hijrah di wilayah Maghrib, di lokasi yang dikenali sebagai Sidi Uqbah (سيدي عقبة).


♡Persoalannya sekarang, adakah kita telah melakukan tugasan dakwah dan jihad dalam mengembangkan Islam? Apabila difikirkan amat sedikit sekali usaha kita, takut sekali yang kita tidak menjalankan seruan dalam ayat ini. Takut kita akan ditanya tentang tanggungjawab ini. Selamat bermuhasabah!♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah



No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...