Saturday, 9 August 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 15 Safar 1447H☆


وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِلَّهِۚ وَمَن یَشۡكُرۡ فَإِنَّمَا یَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِیٌّ حَمِیدࣱ 


"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji"


وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیمࣱ 


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar" [Surah Luqmān 12- 13]


#Sebagaimana diketahui, Luqman al-Hakim merupakan seorang yang Allah sebut namanya di dalam al-Quran, sehingga Allah turunkan satu surah yang dikenali sebagai Surah Luqman. Beliau amat terkenal dengan nasihat-nasihatnya kepada anaknya. Siapakah Luqman yang disebut oleh Allah swt dalam ayat ini? 


#Imam an-Nawawi rahimahullah berkata: "Para ulamak berbeza pandangan apakah beliau seorang nabi. Berkata Abu Ishak al-Tha'labiy: Para ulamak telah bersepakat beliau seorang yang bijaksana dan bukan seorang Nabi, melainkan 'Ikrimah yang berpendapat beliau adalah seorang nabi. 'Ikrimah menyendiri dengan pendapatnya ini. Adapun anak Luqman yang dinasihati agar jangan mensyirikkan Allah, dikatakan namanya ialah An'um (أَنْعُمُ), dikatakan juga namanya ialah Misykam (مِشْكَمُ)" (Lihat: Syarh Sahih Muslim) 


#Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa para ulamak salaf berbeza pandangan berkenaannya (samada beliau seorang Nabi atau tidak) dan majoriti ulamak berpandangan beliau adalah seorang yang soleh. (Lihat: Tafsir al-Qur’an al-‘Azim) 


#Ibn Kathir dalam tafsirnya juga menyatakan, nama beliau ialah Luqman bin Anqa’ ibn Sadun. Dikatakan juga Luqman ibn Tharan. Beliau adalah penduduk daripada Aylah (Jerusalem). Beliau merupakan seorang qadhi pada zaman Nabi Daud Alaihissalam. Pendapat lain menyebut beliau adalah seorang hamba dari Habsyah (Ethiopia) dan bekerja sebagai tukang kayu. Ada juga pandangan mengatakan beliau dari Sudan Mesir. (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah) 


#Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan hikmah kepada Luqman al-Hakim sehingga beliau sentiasa bersyukur dan memujiNya dengan limpah rahmat. Begitu juga, Luqman sering melakukan kebaikan kepada manusia" (Lihat: Tafsir al-Maraghi) 


#Antara nasihat Luqman lagi kepada anaknya, sebagai pengajaran dan mengambil pedoman buat diri kita, antaranya:


يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ 


"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya"


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ 


"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri"


وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ


"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai" [Surah Luqman 17-19]

♡Semoga kita semua dapat mentarbiah anak-anak dan ahli keluarga kita agar benar-benar menghayati agama dengan sebaik mungkin sebagaimana yang ditunjukkan Luqman al-Hakim♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah



No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...