Tuesday, 12 August 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 18 Safar 1447H☆


وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ


"Dan apabila aku sakit, maka Dia (Allah) yang menyembuhkan" [Surah as-Syu'ara’ 80] 


#Ayat ini berkait dengan Nabi Ibrahim Alaihissalam yang kita tahu bahawa syirik di zamannya sangat hebat. Namun, akidah dan kepercayaan Nabi Ibrahim Alaihissalam kepada Allah Yang Esa tetap kukuh dan teguh. Baginda mengajar kita bahawa apabila kita sakit maka mohonlah kesembuhan hanya kepada Allah swt. InsyaAllah, Allah swt akan menyembuhkan. 


#Terdapat petunjuk syarak tatkala kita diuji dengan sakit, antaranya ialah:


1. Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah r.ha, bahawasanya Nabi saw pernah meruqyah sebahagian ahli keluarganya dengan mengusap menggunakan tangan kanannya sambil berdoa:


اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ، أَذْهِبِ الْبَأْسَ، اِشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا


"Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah penyakit, sembuhkanlah, Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tiada kesembuhan melainkan kesembuhan daripadaMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit" (HR al-Bukhari dan Muslim)


2. Diriwayatkan daripada Sayidina Uthman bin Abi al-'As r.a bahawa beliau telah mengadu kepada Rasulullah saw tentang sakit yang dirasakannya pada tubuhnya. Maka Rasulullah saw bersabda kepadanya: Letakkan tanganmu pada tempat yang sakit pada tubuhmu, dan ucapkan: 'Bismillah' tiga kali, dan ucapkan tujuh kali:


أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ


"Aku berlindung dengan keagungan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku rasakan dan aku takutkan" (HR Muslim)


3. Diriwayatkan daripada Sayidina Ibnu Abbas r.huma, daripada Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, lalu mengucapkan di sisinya sebanyak tujuh kali:


أَسْأَلُ اللَّهَ العَظِيمَ رَبِّ العَرْشِ العَظِيمِ أنْ يَشْفِيكَ


Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung agar menyembuhkan kamu"


Melainkan Allah swt akan menyembuhkannya daripada penyakit itu" (HR Abu Daud dan at-Tirmizi)


4. Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah bin Amr bin Al-'As r.a berkata: Nabi saw bersabda: "Apabila seseorang datang menziarahi orang sakit, hendaklah dia mengucapkan:


اللَّهُمَّ اشْفِ عَبْدَكَ يَنْكَأُ لَكَ عَدُوًّا، أَوْ يَمْشِي لَكَ إِلَى صَلاةٍ


"Ya Allah, sembuhkanlah hambaMu ini, yang akan menewaskan musuh untukMu, atau berjalan untuk menunaikan solat untukMu" (HR Abu Daud) 


5. Diriwayatkan daripada Sayidina Ali r.a, beliau berkata: "Aku sedang sakit lalu Rasulullah saw lalu di sisiku ketika aku mengucapkan:


اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ أَجَلِي قَدْ حَضَرَ فَأَرِحْنِي، وَإِنْ كَانَ مُتَأَخِّرًا فَارْفَعْنِي، وَإِنْ كَانَ بَلَاءً فَصَبِّرْنِي


"Ya Allah, jika ajalku telah tiba maka rahmatilah aku, dan jika masih lewat maka angkatlah (penyakitku) dan jika ini adalah ujian maka berilah aku kesabaran" 


Maka Rasulullah saw bertanya: "Apa yang engkau ucapkan?" Lalu Sayidina Ali mengulangi apa yang telah diucapkannya. Baginda menguis Ali dengan kakinya dan bersabda: "Ya Allah, berilah dia kesihatan (atau baginda bersabda) sembuhkanlah dia" 


Sayidina Ali berkata: "Selepas itu aku tidak pernah lagi merasakan sakit tersebut" (HR at-Tirmizi)


6. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Said Al-Khudri r.a bahawa Jibril telah datang kepada Nabi saw lalu berkata: "Wahai Muhammad! Adakah engkau sakit?". Baginda menjawab: "Ya". Jibril berkata:


بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ حَاسِدٍ، اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ


"Dengan nama Allah aku meruqyahmu, daripada segala sesuatu yang menyakitimu, daripada kejahatan setiap jiwa atau mata yang dengki, Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu" 

(HR Muslim, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)


♡Sihat dan sakit adalah sunnatullah yang mesti dihadapi oleh setiap insan. Maka hadapilah ujian sakit sebagaimana yang diajar oleh baginda Rasulullah saw♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...