☆Tadabbur Kalamullah 19 Safar 1447H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا تَدَایَنتُم بِدَیۡنٍ إِلَىٰۤ أَجَلࣲ مُّسَمࣰّى فَٱكۡتُبُوهُۚ
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu..." [Surah al-Baqarah 282]
#Al-Quran menganjurkan diwujudkan perjanjian sekiranya berhutang iaitu ditulis. Walaupun perkara ini mungkin tampak janggal jika ingin diterapkan, terutama sesama kenalan, ia rujukan penting jika berlaku masalah pada masa hadapan.
#Apa dapat disimpulkan di sini, ambil beratlah mengenai hutang kerana ia berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat. Jika di dunia sudah tentu masalah berhutang akan menyebabkan krisis kepercayaan antara satu sama lain, bermusuhan, berdendam dan menyebabkan maruah tercalar. Kehidupan selepas kematian menjanjikan seksaan pedih kerana melakukan penganiayaan kepada manusia lain jika hutang tidak dibayar.
#Sabda Nabi saw: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)" (HR Muslim)
#Agama mengajar doa bagi orang berhutang agar dipermudahkan membayarnya.
1. Diriwayatkan daripada Sayidina Ali bin Abi Thalib r.a: Seorang hamba mukatab (hamba yang dapat menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) menemui beliau lalu berkata: "Aku tidak mampu membayar wang tebusanku. Bantulah aku".
Sayidina Ali bin Abi Thalib berkata: "Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang telah diajarkan oleh Rasulullah saw kepadaku. Jika engkau mempunyai hutang setinggi gunung sekalipun Allah akan membantu melunaskan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:
اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
"Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaanMu, tanpa aku mengharapkan kepada selainMu"
(Riwayat at-Tirmizi)
2. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Said al-Khudri r.a berkata: "Suatu hari Rasulullah saw masuk ke dalam masjid, tiba-tiba Baginda saw terjumpa seorang Ansar yang bernama Sayidina Abu Umamah r.a. Rasulullah saw bertanya: Wahai Abu Umamah, mengapa kamu duduk di masjid di luar waktu solat?"
Sayidina Abu Umamah menjawab: "Kerana kebimbangan yang melanda hatiku dan beban hutangku wahai Rasulullah".
Rasulullah saw bersabda: "Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu beberapa bacaan, yang apabila kamu membacanya nescaya Allah akan menghilangkan rasa gelisah dari dirimu dan melunaskan hutang-hutangmu?"
Sayidina Abu Umamah berkata: "Sudah tentu, wahai Rasulullah"
Rasulullah saw bersabda: "Ucapkanlah di waktu pagi dan petang":
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
"Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindunganMu daripada rasa dukacita dan keluh kesah. Aku mohon perlindunganMu daripada lemah dan sifat malas. Aku mohon perlindunganMu daripada perasaan takut dan bakhil. Aku mohon perlindunganMu daripada beban hutang dan penindasan orang"
Sayidina Abu Umamah berkata: "Kemudian aku melakukan perintah tadi, maka Allah menghilangkan rasa gelisah dari diriku dan melunaskan hutang-hutangku" (HR Abu Daud)
♡Berhutang diharuskan dalam Islam, tetapi bukan bertujuan bermewah-mewahan. Namun, Islam memilih jalan berhutang sebagai jalan terakhir jika benar-benar tersepit. Namun, hutang wajib dibayar dengan segera atau apabila berkemampuan. Jangan sengaja menangguh pembayaran hutang kerana ianya satu kezaliman dan dosa♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment