☆Tadabbur Kalamullah 22 Safar 1447H☆
فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۗ وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡیَتَـٰمَىٰۖ قُلۡ إِصۡلَاحࣱ لَّهُمۡ خَیۡرࣱۖ وَإِن تُخَالِطُوهُمۡ فَإِخۡوَ ٰنُكُمۡۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ ٱلۡمُفۡسِدَ مِنَ ٱلۡمُصۡلِحِۚ وَلَوۡ شَاۤءَ ٱللَّهُ لَأَعۡنَتَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ
"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Baqarah: 220]
#Dalam ayat ini, Allah swt memaklumkan bahawa anak yatim adalah saudara seluruh kaum Muslimin, saudara seagama. Bagi sesiapa yang mengambil berat serta melakukan kebaikan kepada anak yatim, maka Allah swt akan membalasnya dengan kebaikan juga. Jika sesiapa berperilaku buruk terhadap anak yatim, maka Allah swt akan membalasnya dengan kesulitan dan kesengsaraan.
#Terdapat beberapa kebaikan bagi sesiapa yang melayani, menyantuni dan mengambil berat hal ehwal anak yatim.
1. Diriwayatkan daripada Sayidina Sahl bin Saad r.a, Nabi saw bersabda:
وَأَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى. وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا
"Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga seperti ini". Baginda saw mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah. Baginda merenggangkan sedikit antara keduanya" (HR al-Bukhari)
#Maksud penjaga anak yatim ialah orang yang bertanggungjawab menguruskan anak yatim sama ada memberi nafkah dan perlindungan kepadanya, mendidik serta menguruskan hartanya.
#Rasulullah saw merenggangkan sedikit antara jari telunjuk dan jari tengah untuk menunjukkan bahawa hanya sedikit sahaja perbezaan darjat antara nabi dan penjaga anak yatim di syurga seolah-olah hanya sekadar jarak antara jari telunjuk dan jari tengah.
#Imam Ibnu Battal berkata: "Seeloknya bagi sesiapa yang mendengar hadis ini untuk beramal dengannya supaya dia dapat menjadi teman Nabi saw di syurga. Tidak ada kedudukan di akhirat yang lebih afdal daripada itu"
2. Diriwayatkan bahawa:
أَنَّ رَجُلًا شَكَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَسْوَةَ قَلْبِهِ، فَقَالَ: امْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ، وَأَطْعِمِ الْمِسْكِينَ
"Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah tentang keras hatinya. Rasulullah menasihatinya: Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin" (HR Ahmad. Dhaif)
#Hati yang keras adalah hati yang sukar untuk tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya serta tidak ada belas ihsan kepada makhluk. Tujuan mengusap kepada anak yatim adalah untuk mengingatkan kepada kematian supaya dapat menghilangkan rasa lalai dan alpa. Kerasnya hati adakah kerana lalai terhadap kematian yang boleh hadir pada bila-bila masa.
#Sikap belas ihsan kepada anak yatim dan orang miskin akan menyebabkan turunnya rahmat Allah dan akan menghilangkan kekerasan hatinya.
3. Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda: "Demi Allah yang mengutuskan aku dengan kebenaran, Allah tidak akan mengazab pada hari kiamat orang yang mengasihani anak yatim, berbicara dengannya dengan lembut, bersimpati dengan keyatiman dan kelemahannya serta tidak berbangga diri dengan jirannya atas nikmat yang Allah berikan kepadanya" (HR at-Tabarani)
♡Ini adalah satu galakan supaya kita menjaga dan memelihara anak yatim kerana perkara tersebut menjadi salah satu sebab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment