Saturday, 11 October 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆


هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا لَیۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ 


"Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya" [Surah Āli-ʿImrān 66]


#Allah swt menempelak golongan ahli kitab iaitu mereka yang memiliki pengetahuan tetapi membantah tentang kebenaran. Allah mengatakan mereka golongan yang bodoh lagi bebal. Mereka berhujah membantah pada perkara yang mereka tahu dan yang mereka tidak tahu. Perkara yang patut mereka tahu (sebab sudah ada dalam kitab kamu) pun mereka bantah. Apatah lagi perkara yang mereka tidak tahu. 


#Ini mengajar kita supaya apabila nak berhujah, kena ada dalil, kena pada perkara yang kita ada ilmu tentangnya. Tetapi memang golongan Ahli Kitab itu suka berbantah. Yang mereka tahu pun mereka berbantah sesama sendiri, ditambah pula dengan perkara yang mereka tidak ada ilmu tentangnya. 


#Maka kita jangan jadi bodoh macam ahli kitab. Nabi saw dan para alim ulamak menyampaikan kebenaran dan segala hal ehwal berkaitan akidah, syariah, adab dan kehidupan namun ramai di kalangan orang Islam yang membantah, mempertikai, mencela, mengingkari dan mengkritik kebenaran yang disampaikan. Inilah orang bodoh. 


#Sebahagian ahli hikmah berkata: Orang bodoh dapat dikenali melalui enam ciri:

1) Marah tanpa sebab.

2) Memberi kepada yang tidak berhak.

3) Bercakap tanpa faedah.

4) Terlalu mudah mempercayai semua orang.

5) Mendedahkan rahsia.

6) Tidak dapat membezakan antara kawan dan lawan.

7) Dia juga bercakap apa sahaja yang terlintas di hatinya.

8) Menyangka dirinya adalah orang yang paling bijak


#Sebahagian ahli hikmah juga berkata: Antara sifat-sifat kebodohan ialah:

1)Tergesa-gesa

2) Semberono

3) Kasar

4) Angkuh

5) Tidak bermoral

6) Bodoh

7) Jahil

8) Malas

9) Khianat

10) Zalim

11) Membazir

12) Lalai

13) Gembira berlebihan

14) Sombong

15) Jahat

16) Licik

17) Jika dia kaya, dia akan berlagak.

18) Jika miskin, dia akan berputus asa.

19) Jika gembira, dia akan melampaui batas.

20) Jika bercakap, dia akan bercakap kotor.

21) Jika diminta, dia akan kedekut.

22) Jika meminta, dia akan mendesak.

23) Jika berkata-kata, tidak elok tutur katanya.

24) Jika dikatakan kepadanya, dia tidak faham.

25) Jika ketawa, dia meringkik seperti keldai.

26) Jika menangis, dia menguak seperti lembu. (Lihat: Akhbar al-Hamqa Wa al-Mughaffalin oleh Ibnu al-Jauzi) 


♡Jadilah orang yang bijak dengan mengikuti segala petunjuk agama dan jangan sesekali bertindak bodoh membantah segala hal sehingga tergolong dalam kalangan orang-orang bodoh♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah






Saturday, 16 August 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 22 Safar 1447H☆


فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۗ وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡیَتَـٰمَىٰۖ قُلۡ إِصۡلَاحࣱ لَّهُمۡ خَیۡرࣱۖ وَإِن تُخَالِطُوهُمۡ فَإِخۡوَ ٰ⁠نُكُمۡۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ ٱلۡمُفۡسِدَ مِنَ ٱلۡمُصۡلِحِۚ وَلَوۡ شَاۤءَ ٱللَّهُ لَأَعۡنَتَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ 


"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Baqarah: 220]


#Dalam ayat ini, Allah swt memaklumkan bahawa anak yatim adalah saudara seluruh kaum Muslimin, saudara seagama. Bagi sesiapa yang mengambil berat serta melakukan kebaikan kepada anak yatim, maka Allah swt akan membalasnya dengan kebaikan juga. Jika sesiapa berperilaku buruk terhadap anak yatim, maka Allah swt akan membalasnya dengan kesulitan dan kesengsaraan. 


#Terdapat beberapa kebaikan bagi sesiapa yang melayani, menyantuni dan mengambil berat hal ehwal anak yatim. 


1. Diriwayatkan daripada Sayidina Sahl bin Saad r.a, Nabi saw bersabda:


وَأَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى. وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا


"Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga seperti ini". Baginda saw mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah. Baginda merenggangkan sedikit antara keduanya" (HR al-Bukhari) 


#Maksud penjaga anak yatim ialah orang yang bertanggungjawab menguruskan anak yatim sama ada memberi nafkah dan perlindungan kepadanya, mendidik serta menguruskan hartanya.


#Rasulullah saw merenggangkan sedikit antara jari telunjuk dan jari tengah untuk menunjukkan bahawa hanya sedikit sahaja perbezaan darjat antara nabi dan penjaga anak yatim di syurga seolah-olah hanya sekadar jarak antara jari telunjuk dan jari tengah.


#Imam Ibnu Battal berkata: "Seeloknya bagi sesiapa yang mendengar hadis ini untuk beramal dengannya supaya dia dapat menjadi teman Nabi saw di syurga. Tidak ada kedudukan di akhirat yang lebih afdal daripada itu"


2. Diriwayatkan bahawa:


أَنَّ رَجُلًا شَكَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَسْوَةَ قَلْبِهِ، فَقَالَ: امْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ، وَأَطْعِمِ الْمِسْكِينَ


"Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah tentang keras hatinya. Rasulullah menasihatinya: Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin" (HR Ahmad. Dhaif) 


#Hati yang keras adalah hati yang sukar untuk tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya serta tidak ada belas ihsan kepada makhluk. Tujuan mengusap kepada anak yatim adalah untuk mengingatkan kepada kematian supaya dapat menghilangkan rasa lalai dan alpa. Kerasnya hati adakah kerana lalai terhadap kematian yang boleh hadir pada bila-bila masa.


#Sikap belas ihsan kepada anak yatim dan orang miskin akan menyebabkan turunnya rahmat Allah dan akan menghilangkan kekerasan hatinya.


3. Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda: "Demi Allah yang mengutuskan aku dengan kebenaran, Allah tidak akan mengazab pada hari kiamat orang yang mengasihani anak yatim, berbicara dengannya dengan lembut, bersimpati dengan keyatiman dan kelemahannya serta tidak berbangga diri dengan jirannya atas nikmat yang Allah berikan kepadanya" (HR at-Tabarani)


♡Ini adalah satu galakan supaya kita menjaga dan memelihara anak yatim kerana perkara tersebut menjadi salah satu sebab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Friday, 15 August 2025

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

15 Ogos 2025 / 21 Safar 1447H

Berkhidmat Kepada Insan, Peroleh Bantuan Tuhan

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. yang telah menciptakan kita. Dirikan segala perintah-Nya, dan jauhi segala larangan-Nya. Laksanakan setiap tuntuntan agama dengan sempurna. Semoga rahmat dan bantuan Allah sentiasa bersama kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Sidang jemaah sekalian, 

Memang benar, manusia boleh mendekatkan diri kepada Allah menerusi ibadah seperti solat, mengaji dan berpuasa. Tetapi,  selain ibadah yang disebutkan tadi, adakah cara lain untuk kita capai tujuan yang sama? Untuk menjawab soalan ini, ayuh kita renungkan isi kandungan Surah Al-Ma’un. 

 

Dalam surah ini, terdapat celaan bagi golongan yang mendirikan solat. Ibadah yang mereka lakukan seakan-akan tidak berguna bagi mereka. Ini kerana, selain lalai dalam urusan solat serta bersikap riyak, mereka juga melakukan satu kesalahan yang dipandang berat oleh agama – mereka tidak membantugolongan yang layak dibantu

Allah s.w.t. berfirman dalam ayat ke-7:

 

Yang bermaksud: “Dan mereka tidak memberi sedikit pun bantuan (kepada orang yang berhak mendapatkannya).” 

 

Saudaraku, 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia adalah tuntutan agama. Keduaduanya perlu ada. Seorang Muslim tidak hanya menumpukan perhatian kepada ibadah ritual, lalu menepis peluang untuk berkhidmat dan membantu orang lain. Sebaliknya, dia yakin bahawa dengan menghulurkan bantuan kepada manusia, dia juga mendekatkan diri kepada kurniaan rahmat dan pertolongan Allah s.w.t. 

 

Soalan seterusnya: Bagaimanakah kita dapat membantu saudara kita? Dalam hal ini, ayuh kita pertimbangkan 3 wadah bantuan yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w., yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: 

 

Pertama: Bantuan emosi 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang Muslim di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada Hari Kiamat.” 

Kita dituntut supaya bersikap prihatin terhadap saudara yang berdepan kesedihan, kegusaran, ataupun tekanan emosi. Sama ada ia orang dewasa yang bertugas, ataupun kanak-kanak yang bersekolah. Bagaimana pula dengan golongan warga emas yang tinggal bersendirian? Meniti hari dalam kesunyian? Dekatilah  mereka, santunilah mereka, agar kita dapat berkongsi secebis keceriaan.

 

Kedua: Bantuan material 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang dalam kesempitan di dunia, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” 

Ini merujuk kepada keperluan fizikal, termasuk soal kewangan. Kita harus bersedia membantu sekiranya mendapat maklumat bahawa seseorang telah jatuh sakit, hilang pendapatan, atau perlukan sokongan kewangan untuk membayar bil rumah, yuran sekolah, dan keperluan harian. Sekiranya kita tidak mengenali sesiapa secara khusus, hari ini, terdapat beberapa masjid yang mengadakan usaha “pantri (dapur) masyarakat”, di mana kita dapat berkhidmat menghulurkan sumbangan. Kita juga boleh membantu melalui tenaga yang dikurniakan, seperti dengan menawarkan tempat duduk di dalam bas atau MRT, atau memberi laluan menaiki lif, kepada golongan yang lebih memerlukan. 

 

Ketiga: Memelihara harga diri 

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menutup aib seorang Muslim di dunia, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” 

 

Ini amat penting, terutama dengan perkembangan saluran maklumat dan media sosial pada hari ini. Ia tidak bermaksud kita harus membiarkan kesalahan terus berlaku. Sebaliknya, kita berperanan menasihati dan membetulkan dengan cara yang baik, bukan dengan menularkan kesilapan dan kepalsuan. 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Bersamalah kita membentuk masyarakat Islam yang kukuh dalam urusan ibadah dan agamanya, serta teguh dalam budaya berbakti dan berkhidmat kepada umat manusia. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan bantuan-Nya kepada kita di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

    

Khutbah Kedua

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS


Kelebihan Sujud Dalam Solat


عَنْ ثَوْبَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً، إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً، وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً، فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ


Daripada Thawban RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapuskan daripadanya satu dosa (keburukan), dan mengangkatnya satu darjat. Maka perbanyakkanlah sujud. (HR Muslim No: 488) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan kelebihan sujud sebagai bentuk ibadah yang sangat mulia. Sujud merupakan tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya. 


2.  Sujud bukan hanya dalam solat fardhu, tetapi juga termasuk sujud dalam solat sunat, sujud tilawah, dan sujud syukur. Hal ini memperlihat bahawa amalan sujud mempunyai kesan rohani yang sangat besar.


3.  Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan bahawa tiga ganjaran yang disebut dalam hadis ini untuk orang yang sujud iaitu penambahan pahala, penghapusan dosa, dan peningkatan darjat adalah tanda kasih sayang dan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-Nya.


4.  Hadis ini menggalakan agar memperbanyak sujud sebagai galakan untuk memperbanyak solat, khususnya solat sunat, kerana setiap kali sujud dalam solat membawa kepada ganjaran tersebut.


5.  Memperbanyak sujud bermakna memperbanyak peluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah serta mendekatkan diri kepada Allah.


#BangunkanJiwaTaqwa

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

#BinaNegaraRahmah

#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

#PalestinMerdeka


22hb Safar 1447H

16hb Ogos 2025


Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :

telegram.me/hadisharian_ikram

 ☆Tadabbur Kalamullah 21 Safar 1447H☆


وَٱلَّذِینَ جَاۤءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ یَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَ ٰ⁠نِنَا ٱلَّذِینَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِیمَـٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِی قُلُوبِنَا غِلࣰّا لِّلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَاۤ إِنَّكَ رَءُوفࣱ رَّحِیمٌ 


Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu" [Surah al-Ḥashr 10]


#Kita digalakkan berdoa untuk saudara kita seMuslim. Dan yang terbaik berdoa kepada saudara seIslam adalah dengan cara diam-diam.


#Doa untuk saudara kita secara diam-diam adalah antara penyebab doa dimakbulkan. Oleh itu, sebahagian salaf apabila hendak berdoa untuk diri sendiri, mereka berdoa untuk saudara mereka secara sembunyi-sembunyi.


#Terdapat hadis Nabi saw tentang kelebihan mendoakan orang lain:

 

1. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu al-Darda’ r.a:


مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ


"Tidaklah seorang hamba Muslim yang berdoa untuk saudaranya tanpa pengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata:" Dan untukmu juga seperti itu" (HR Muslim) 


2. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu al-Darda’ r.a:


دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ، كلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ


"Doa seorang Muslim untuk saudaranya secara diam-diam adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: "Amin, dan untukmu juga yang serupa" (HR Muslim) 


3. Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah bin ‘Amru r.a:


مَا دَعْوَةٌ أَسْرَعَ إِجَابَةً مِنْ دَعْوَةِ غَائِبٍ لِغَائِبٍ


"Tiada doa yang lebih cepat dimakbulkan daripada doa orang yang tidak hadir untuk orang yang tidak hadir" (HR at-Tirmizi) 


4. Diriwayatkan daripada Sayidina ‘Imran bin al-Hussein r.a:


دُعَاءُ الْأَخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ لَا يُرَدُّ


"Doa seorang saudara untuk saudaranya yang lain secara diam-diam tidak akan ditolak"

(HR al-Bazzar. Dhaif) 


#Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah: "Ini menunjukkan kelebihan berdoa untuk saudara Muslim secara diam-diam. Jika seseorang berdoa untuk sekumpulan Muslim, kelebihan ini akan diperolehi. Jika berdoa untuk seluruh umat Islam, zahirnya kelebihan ini juga akan diperolehi. Ada di kalangan salaf apabila hendak berdoa untuk diri sendiri, mereka berdoa untuk saudara Muslim dengan doa yang sama kerana ia akan dimakbulkan dan mereka akan mendapat yang serupa". 


#Doa secara diam-diam ini lebih mustajab kerana kerana ia jauh dari riya' dan tujuan-tujuan yang merosakkan atau mengurangkan pahala. Doa yang ikhlas menjadi murni dan niat mencari keredaan Allah menjadi benar, lalu malaikat akan menyertai doanya.


#Imam Abu Bakar al-Turtushi berkata dalam kitabnya al-Dua' al-Ma'thur wa Adabuhu: "Hadis ini memberikan faedah yang besar kerana jika doamu untuk saudaramu dimakbulkan kerana dia ghaib daripadamu, maka kita berharap bahawa doa malaikat untukmu juga akan dimakbulkan kerana kamu ghaib daripadanya" 


♡Disunatkan bagi seorang Muslim untuk mendoakan dirinya dan saudaranya dengan kebaikan dunia dan akhirat♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Thursday, 14 August 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 20 Safar 1447H☆


هُوَ ٱلَّذِیۤ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مَاۤءࣰۖ لَّكُم مِّنۡهُ شَرَابࣱ وَمِنۡهُ شَجَرࣱ فِیهِ تُسِیمُونَ 


"Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya" [Surah an-Naḥl 10]


#Air yang turun dari langit itu adalah air hujan. Banyak sekali Allah swt gunakan ayat-ayat tentang air hujan ini. Ini adalah kerana kita semua memerlukan air hujan ini untuk kelangsungan hidup kita. Jika beberapa minggu sahaja tidak hujan, kita sudah gelisah dan tumbuhan mula kelayuan. Jelas sekali air adalah satu nikmat yang amat besar daripada Allah swt dan kita semua perlu faham tentang nikmat ini, lalu bersyukur pada Allah swt. Namun, jika air hujan turun terlalu banyak, maka boleh memusnahkan dan membinasakan pula. 


#Diriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik, beliau berkata:

"Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat ketika Rasulullah saw sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah! Harta benda telah binasa dan perjalanan telah terputus laluan-laluan perjalanan (kerana binasanya unta yang digunakan untuk pengangkutan dan kerana ketiadaan makanan yang boleh dimakan di sepanjang jalan), maka berdoalah kepada Allah agar menurunkan hujan kepada kami.


Lalu Rasulullah saw mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian berdoa:


اللَّهُمَّ أغِثْنَا، اللَّهُمَّ أغِثْنَا، اللَّهُمَّ أغِثْنَا


"Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami"


Sayidina Anas berkata: "Demi Allah, kami tidak melihat di langit sebarang awan atau sekumpulan awan kecil, dan antara kami dan (Gunung) Sila' (iaitu sebuah bukit yang terkenal berhampiran Madinah) tidak ada rumah atau bangunan (yang menghalang pandangan). Maka tiba-tiba muncul awan dari arah belakang bukit seperti perisai. Apabila awan itu sampai di tengah-tengah langit, ia mula tersebar dan kemudian menurunkan hujan.Demi Allah, kami tidak melihat matahari selama satu minggu. 


Kemudian, seorang lelaki masuk dari pintu yang sama pada hari Jumaat berikutnya, dan Rasulullah saw sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Harta benda telah musnah dan telah terputus laluan-laluan perjalanan (kerana padang ragut telah rosak dan tidak dapat digunakan kerana ditenggelami air, lalu binasalah ternakan kerana kekurangan rumput untuk dimakan). Berdoalah kepada Allah agar menghentikan hujan ini daripada kami.


Lalu Rasulullah saw mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian berdoa:


اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ


"Ya Allah, turunkanlah (hujan) di sekeliling kami, bukan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah di atas bukit-bukau, kawasan tinggi, lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok" 


Maka hujan pun berhenti, dan kami keluar berjalan di bawah cahaya matahari" (HR al-Bukhari dan Muslim) 


#Kita disunatkan mengangkat tangan ketika berdoa meminta hujan (istisqa') dan disunatkan juga berdoa ketika bimbang akan mudharat hujan.


#Ini juga menunjukkan adab Nabi saw dalam berdoa, di mana baginda tidak meminta supaya hujan dihentikan sepenuhnya, tetapi hanya memohon agar diangkat kemudaratannya, dijauhkan dari rumah-rumah, kemudahan awam, serta jalan-jalan, supaya tiada penduduk tetap atau musafir yang terjejas olehnya dan baginda memohon agar hujan terus turun di tempat-tempat yang memerlukannya. 


♡Hujan adalah rahmat daripada Allah swt dan juga boleh bertukar menjadi musibah jika turun melebihi had yang diperlukan. Berdoalah memohon rahmat atau juga untuk mengelak mudharat. Contohilah Rasulullah saw ketika berdoa♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Wednesday, 13 August 2025

 PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS


Cara Berwuduk Sempurna


عَنْ ‌حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه: أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، وَقَالَ:  مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غَفَرَ اللهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ  


Daripada Humran, maula (pembantu) kepada Saidina Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa dia pernah melihat Saidina Uthman meminta air untuk berwuduk. Lantas ia menuangkan air dari bekasnya ke kedua tangannya lalu membasuhnya tiga kali, lalu memasukkan tangan kanannya ke air wuduk kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu, ia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya sampai ke siku tiga kali. Lalu ia mengusap kepalanya, kemudian membasuh setiap kakinya tiga kali. Kemudian ia berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian mendirikan solat dua rakaat dan tidak bercakap dengan dirinya (tidak lalai), nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari No: 159) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Hadis ini menjadi dalil utama bagi tatacara wuduk Nabi SAW, ia merangkumi semua rukun dan sunat wuduk secara tertib bermula dari membasuh kedua tangan, berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya, membasuh muka, membasuk kedua tangan hingga ke siku, menyapu kepala, dan membasuh kaki hingga ke buku lali semuanya dilakukan sebanyak tiga kali.


2.  Dua rakaat solat sunat selepas wuduk bukan sekadar solat biasa, tetapi penyempurna wuduk yang membawa keampunan dosa jika dilakukan dengan khusyuk.


3.  Imam Malik berpendapat bahawa wuduk yang sempurna dan disusuli solat sunat selepasnya menunjukkan penyucian fizikal dan rohani, yang menyebabkan seseorang layak menerima keampunan daripada Allah SWT.


4.  Khusyuk dalam solat adalah kunci kepada penerimaan ibadah dan pengampunan dosa.


5.  Hadis ini memberikan panduan lengkap tentang tatacara wuduk Nabi SAW, dan ganjaran besar kepada sesiapa yang mencontohi cara tersebut. Solat sunat wuduk yang dilakukan dengan penuh khusyuk adalah ibadah yang mendalam dan membawa keampunan dosa-dosa yang lalu.


#BangunkanJiwaTaqwa

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

#BinaNegaraRahmah

#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

#PalestinMerdeka


19hb Safar 1447H

13hb Ogos 2025


Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :

telegram.me/hadisharian_ikram

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...