Sunday, 10 September 2023

 https://t.me/drahmadsanusiazmi/2723

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 1, 2023 at 08:24]

Solat Sunat Rawatib

=====

1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mendidik para sahabat agar melaksanakan solat sunat rawatib sebanyak 12 rakaat sehari. Mereka yang melaksanakan solat ini akan dikurniakan mahligai di dalam syurga kelak. 


2. Sabda Rasulullah:


مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاةِ الْفَجْرِ


"Barangsiapa yang melaksanakan solat sunat pada waktu siang dan malam sebanyak 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya sebuah mahligai di syurga kelak iaitu: 4 rakaat sebelum zohor dan 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas maghrib, 2 rakaat selepas isya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh." (HR al-Tirmizi).


3. Walau bagaimana pun terdapat juga beberapa hadis yang lain menunjukkan keutamaan solat-solat sunat tertentu sebelum dan sesudah solat fardu seperti solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah Zohor dan 4 rakaat sesudah isyak. Begitu juga dengan solat sunat di antara azan dan iqamah. 


4. Oleh yang demikian, marilah kita berpegang dengan panduan yang telah disarankan oleh Baginda Nabi seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama. 


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2733

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 11, 2023 at 07:08]

Empat Pemimpin Yang Mesti Dijauhi

=====

Berdasarkan hadis Rasulullah, terdapat sekurang-kurangnya empat pemimpin yang mesti dijauhi iaitu:


1. Pemimpin yang suka berbohong dan gemar menaburkan janji-janji palsu mestilah dijauhi. Dalam hadis Rasulullah mengecam pemimpin yang menipu rakyatnya. Sabda Rasulullah:


مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ


“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.” (HR al-Bukhari)


2. Pemimpin yang makan rasuah mesti ditolak. Rasulullah melaknat pemimpin yang memakan rasuah. Dosa mengambil rasuah dikategorikan sebagai dosa besar lalu bagaimana boleh kita memilih pemimpin yang jelas melakukan dosa besar. Sabda Rasulullah:


لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي


“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah” (HR Abu Daud)


3. Pemimpin yang berfikiran liberal yang mempertikaikan syariat Islam mestilah ditolak. Dalam hadis, Rasulullah membayangkan mengenai kemunculan kepimpinan yang menolak sunnah Rasulullah. Sabda Rasulullah:


وَمَا إِمَارَةُ السُّفَهَاءِ؟، قَالَ: "أُمَرَاءُ يَكُونُونَ بَعْدِي، لَا يَقْتَدُونَ بِهَدْيِي، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي


“(Ka’b bertanya): Wahai Rasulullah, apakah itu kepemimpinan orang yang bodoh? Rasulullah menjelaskan: (iaitu) Para pemimpin yang muncul selepas dariku, tetapi mereka tidak menggunakan petunjukku, dan mereka tidak mengamalkan sunnahku.” (HR Ahmad)


4. Pemimpin yang menyusahkan urusan rakyat mestilah dijauhi. Rasulullah pernah mendoakan ancaman buat pemimpin yang menyusahkan rakyat. Sabda Rasulullah:


اللهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ، فَاشْقُقْ عَلَيْهِ


Wahai Tuhanku, barangsiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku ini lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka susahkanlah (urusan) mereka. 


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2737

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 12, 2023 at 08:00]

Benarkah Sisters Mencabar Syariah?

=====

1. Pada 21 Ogos 2019, Iki Putra telah didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan meliwat di Bangi. Tidak berpuas hati dengan dakwaan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Mahkamah Syariah ini.


2. Pada 25 Februari 2021, keputusan Mahkamah Persekutuan telah menyebelah pihak Iki Putra yang memutuskan peruntukan Syariah tersebut tidak sah. Ini memberikan implikasi terhadap undang-undang syariah.


3. Kemudian pada 23 Mac 2022 pula, Sisters in Islam (SIS), Legal Dignity dan Justice for Sisters (JFS) melancarkan sebuah laporan mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (I) 2019 yang telah berkuatkuasa pada 1 November 2021. Dalam laporan tersebut, SIS menyimpulkan ESJK-2019 mencabar kebebasan asas yang terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak kemanusiaan antarabangsa. (Sumber: FB  Khairul Azri)


5. Manakala menurut perkembangan terkini, Nik Elin dan anaknya telah memohon untuk mencabar lebih kurang 20 peruntukan Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang mana perbicaraannya akan berlangsung pada 17 Ogos ini.  


6. Permohonan tersebut adalah untuk membatalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dgn mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi. Permohonan itu bersandarkan kepada keputusan Iki Putra. Bahawa Negeri Kelantan pula tiada kuasa untuk buat undang-undang tersebut.


7. Perkembangan mencabar keabsahan peruntukan syariah di negara ini sangat membimbangkan sehingga Persatuan Peguam-Peguam Muslim telah menyuarakan kebimbangan mereka kerana terdapat kemungkinan akan berlaku lebih banyak pertikaian kumpulan ini terhadap peruntukan syariah di negara ini. 


7. Anehnya dalam kes perbicaraan terkini ini nanti, pihak Sisters in Islam  telah berjaya mendapat status amicus curiae di mana mereka jika diizinkan oleh mahkamah boleh beri pandangan dan berhujah. Manakala persatuan peguam muslim malaysia (PPMM) dan Badan peguam Sharie Wilayah persekutuan tidak dapat menjadi amicus dan sekadar peguam pemerhati. Majlis Agama walaubagaimana pun telah diberikan peluang.


8. Beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama iaitu mengapa terdapat kumpulan tertentu yang bersungguh mempertikai peruntukan syariah? Mengapa pula Sisters in Islam mendapat status tertentu yang tidak diberikan kepada Persatuan Peguam Muslim Malaysia? Adakah ini semua kebetulan atau dirancang?


Untuk perkembangan lanjut boleh ikuti di FB Tuan Lukman Sheriff.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2740

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 16, 2023 at 07:08]

Tidak Mengendahkan Dosa Sendiri

=====

1. Dalam Surah al-Kahfi, Allah mengingatkan bahawa terdapat dua ciri hamba yang paling zalim iaitu mereka yang berpaling dari peringatan ayat-ayat Allah dan mereka melupakan dosa yang telah mereka lakukan sendiri. Firman Allah:


وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ


“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya.” 


2. Kedua sifat ini telah menyebabkan Allah menutup pintu hari mereka disebabkan mereka tidak mengendahkan peringatan Allah malah mereka memandang kecil dosa-dosa mereka. Firman Allah lagi dalam ayat seterusnya:


إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ 


“sesungguhnya (disebabkan sifat mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). 


3. Oleh yang demikian, ambil perhatian terhadap peringatan yang telah Allah berikan di dalam al-Quran serta jangan memandang kecil dosa yang telah kita lakukan. Dosa menyebabkan pintu hati seseorang tertutup.


4. Rasulullah mendidik muslim melihat dosa dengan pandangan dosa. Sabda Baginda: 

“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (HR al-Bukhari)


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2742

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 18, 2023 at 13:16]

Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi ﷺ

=======

1. Pada hari jumaat ini marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah ﷺ. Mereka yang berselawat akan diampunkan dosanya, diangkat darjat, dipermudahkan doanya serta dekat dengan Rasulullah ﷺ pada hari kiamat nanti.


2. Perkara ini dijelaskan di dalam beberapa hadis. Antaranya sabda Rasulullah ﷺ:


مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ


Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya sepuluh selawat, menghapus darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat. (HR al-Nasa’i - dinilai Sahih)


3. Selawat turut akan mempermudahkan doa seseorang itu untuk dimakbulkan. Sabda Rasulullah ﷺ:


كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” (HR al-Tabrani - perawinya siqah)


4. Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah ﷺ:


أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً


“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” (HR al-Tirmizi - dinilai Hasan) 


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2750

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 22, 2023 at 12:25]

Kalimah Penyesalan Dalam al-Quran

=======

1. Dalam al-Quran, terdapat beberapa perkataan yang ditampilkan bagi menunjukkan penyesalan manusia setelah mereka tidak mengikut bimbingan dari Allah dan Rasul. Antaranya ialah:


a. Menyesal kerana tidak taat kepada Allah dan Rasul:


يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا


"Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.” (Surah al-Ahzab: 66)


b. Menyesal Kerana Salah Pilih Kawan:


يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا


Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib. (Surah al-Furqan: 28)


c. Menyesal Kerana Tidak Menyediakan Amal Soleh:


يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِى


Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini) (Surah al-Fajr)


d. Menyesal kerana tidak mengikuti Rasul


يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا


Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul (Surah al-Furqan)


Semoga Allah membimbing kita.


Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2753

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 26, 2023 at 07:13]

Al-Quran Itu Melembutkan Hati

=========

1. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan orang yang berilmu dan beriman itu sebagai orang yang mudah tersentuh apabila dibacakan kepada mereka al-Quran. Dan Allah turut menggambarkan bahawa al-Quran itu mempunyai mukjizat menambah kekhusyukan jiwa manusia. Firman Allah:


وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا


Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan kekhusyukan mereka. (Surah al-Isra: 109)


2. Ayat ini turut memberikan petunjuk bahawa orang yang beriman itu mudah berinteraksi dengan al-Quran. Jiwanya memberikan respon terhadap petunjuk dan peringatan yang disampaikan oleh Allah. Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa:


أن البكاء من خشية الله، يدل على صدق الإيمان، وعلى نقاء النفس


“Sesungguhnya tangisan seseorang itu kerana takutkan Allah adalah petanda kepada kebenaran iman serta kesucian jiwa.” (Tafsir al-Wasit)


3. Bukan sahaja al-Quran melembutkan jiwa dan menambah kekhusyukan orang yang beriman, al-Quran juga mencairkan kekerasan hati orang kafir. Sayyid Qutb di dalam karyanya menukilkan kisah bagaimana al-Walid ibn Mughirah, seorang pembesar Qurasyh yang tersohor memberikan reaksinya mengenai al-Quran.  


4. Pada suatu hari al-Walid pernah diminta oleh Abu Jahal untuk memberikan pandangan beliau tentang isi kandung al-Quran. Setelah mendengar al-Quran, al-Walid berkata:


صبأ والله الوليد، ولتصبون قريش كلها


Demi Allah, sesungguhnya (aku) al-Walid telah terpukau (mendengar al-Quran ini), dan pasti Quraysh akan terpukau mendengarnya. 


5. Jelas di sini bahawa al-Quran bukan sahaja menyentuh jiwa orang yang beriman malah melembutkan jiwa orang kafir yang keras menentang Rasulullah ketika itu. Perbanyakkan membaca al-Quran, pelajari Bahasa Arab agar kita mampu memahaminya dengan baik. Mudah-mudahan Allah melembutkan hati kita dan menambah kekhusyukan dan ketundukan kita kepada Allah.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2757

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 29, 2023 at 07:09]

Kenapa Liberal Burukkan Hadis 40?

=====

1. Ada yang bertanyakan kepada saya mengenai status golongan liberal yang seakan-akan memburukkan perintah yang terdapat dalam hadis Rasulullah. Mereka dikatakan tidak sanggup untuk mendidik perkara berkaitan dakwah dan perang.


2. Perkara ini amat menghairankan kerana al-Quran sendiri bersikap tegas dalam isu. Terdapat banyak perintah mengenai dakwah dan perang di dalam al-Quran. Adakah mereka tidak sanggup mengajarkan al-Quran kepada anak-anak mereka atau mereka ingin mengubah al-Quran pula sesuai dengan nafsu mereka? Firman Allah:


وَقَٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ كُلُّهُۥ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ ٱنتَهَوْاْ


“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.“ (Surah al-Anfal: 39)


3. Dalam al-Quran juga, terdapat beberapa surah yang merekodkan perihal perang dalam sejarah Islam. Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Ahzab, semunya direkodkan di dalam al-Quran. Adakah silibus berkaitan perang ini juga ingin dihilangkan dari al-Quran?


4. Malah para salafussoleh terdahulu mendidik anak-anak mereka tentang sirah peperangan Rasulullah. Kata Ali bin al-Husain:


كنا نُعلَّم مغازي النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ كما نعلم السورة من القرآن


“Kami mendidik anak-anak kami sirah peperangan Rasulullah seperti mana kami mengajarkan kepada anak-anak kami al-Quran.” (al-Jami’ li Akhlak al-Rawi)


5. Manakala apa yang disebutkan di dalam hadis ke 8 yang dipertikaikan oleh golongan liberal ini ialah berkaitan dengan “muqatalah” iaitu berbalas lawan andai urusan dakwah itu diancam atau ditentang semula. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Daqiq al-Aid ketika menghuraikan hadis ini. Kata beliau:


الْمُقَاتِلَةَ " مُفَاعِلَةٌ، تَقْتَضِي الْحُصُولَ مِنْ الْجَانِبَيْنِ


“Dan perkataan “muqatalah” datang dengan wazan “mufa’alah” yang membawa maksud berlaku dari kedua-dua belah pihak” (iaitu saling memerangi) (Kitab Ihkam)


6. Malah Hadis 40 ini telah diajar selama berabad lamanya di Malaysia ini, adakah kita dapati ada dalam kalangan kita yang memerangi sesama muslim? Sudah pasti tidak. Adakah ini merupakan momokan yang dimainkan oleh golongan liberal sahaja?


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2759

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Aug 31, 2023 at 07:00]

Rasulullah ﷺ Menyayangi Negara Sendiri

=======

1. Dalam Islam, semangat cintakan negara bukanlah suatu perkara yang dilarang. Sejarah Nabi sendiri membuktikan bahawa Rasulullah ﷺ adalah wargenagara yang amat menyayangi Mekah, tanah tumpah darah Baginda. 


2. Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Mekah, Baginda ﷺ telah melalui satu kawasan yang dinamakan Juhfah. Ia adalah sempadan dibahagian utara negeri Mekah. Di sinilah Baginda memaling memerhatikan Mekah lalu bersabda: 


ما أطيَبُكِ مِن بلدٍ، وما أحبُّكِ إلَيَّ، ولولا أن قومَكِ أخرَجُونِي مِنكِ ما سكَنتُ غيرَكِ


“Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraysh) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.”(HR al-Tirmizi). 


3. Sifat cintakan tanahair ini dilihat berlaku secara konsisten setelah Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah. Baginda bersungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dikalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah. 


4. Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh Baginda ﷺ yang menyatakan: 


اللهم حبِّبْ إلينا المدينةَ كحُبِّنا مكةَ أو أشدَّ


“Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Mekah.” (HR al-Bukhari). 


5. Malah lebih menarik lagi apa yang pernah disaksikan sendiri oleh Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah. Saidna Anas pernah bercerita:


"كان رسول الله إذا قدم من سفرٍ، فأبصر درجات المدينة، أوضع ناقتَه - أي: أسرع بها - وإن كانت دابة حرَّكَها"


“Sesungguhnya Rasulullah itu, sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.” (HR al-Bukhari). 


6. Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa, sikap Rasulullah ﷺ seperti yang dinukilkan oleh Saidina Anas ini memberikan kepada kita gambaran bahawa tidak salah mencintai nagara apatah lagi tempat tersebarnya dakwah Islam. Kata Ibn Hajar: 


وفي الحديث دلالة على فضل المدينة، وعلى مشروعية حب الوطن، والحنين إليه


"Dan dalam hadis ini menunjukkan mengenai kelebihan Madinah, dan keharusan mencintai nagara dan sayang kepadanya." (Fathul Bari)


7. Namun apa yang harus kita lakukan andainya kita mencintai negara kita? Berdasarkan hadis Malik ibn al-Huwairith, kita digalakkan untuk mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat andai kita menyayangi negara ini.


8. Jauhkan negara ini dari unsur kejahatan seperti rasuah dan pecah amanah dan selamatkan negara ini dari pemikiran yang merosakkan seperti pemikiran liberal.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2763

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Sep 1, 2023 at 07:44]

Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi ﷺ

=======

1. Pada hari jumaat ini marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah ﷺ. Mereka yang berselawat akan diampunkan dosanya, diangkat darjat, dipermudahkan doanya serta dekat dengan Rasulullah ﷺ pada hari kiamat nanti.


2. Perkara ini dijelaskan di dalam beberapa hadis. Antaranya sabda Rasulullah ﷺ:


مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ


Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya sepuluh selawat, menghapus darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat. (HR al-Nasa’i - dinilai Sahih)


3. Selawat turut akan mempermudahkan doa seseorang itu untuk dimakbulkan. Sabda Rasulullah ﷺ:


كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” (HR al-Tabrani - perawinya siqah)


4. Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah ﷺ:


أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً


“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” (HR al-Tirmizi - dinilai Hasan) 


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2765

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Sep 3, 2023 at 07:36]

Suami dan Isteri Saling Melindungi

========

1. Dalam al-Quran, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka,  dan memelihara dari disakiti. Firman Allah:


هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ


“Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)


2. Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:


جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء


“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”


3. Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari.


4. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah:


إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا 


“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)


5. Begitu juga menurut Rasulullah, sebaik-baik wanita itu adalah yang menjaga hak suaminya. Sabda Rasulullah:


خيرُ النِّساءِ امرأةٌ إذا نظرتَ إليها سرَّتك، وإذا أمرتَها أطاعتك، وإذا غبتَ عنها حفظتَك في نفسِها ومالِك


"Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu saat memandangnya, dia taat kepadamu saat disuruh, dan ketika engkau tiada, dia menjaga kehormatannya dan memelihara hartamu." (HR Abu Daud al-Tayyalisi)


6. Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti. 


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2768

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Sep 5, 2023 at 07:53]

Tiada Pilih Kasih Dalam Hukuman

==========

1. Seorang perempuan dari Bani Makhzum telah mencuri di zaman Rasulullah. Bani Makhzum adalah antara kabilah yang mempunyai kedudukan dan pengaruh di sisi Qurasyh. Apabila perempuan ini di dapati mencuri, tiada siapa yang berani untuk memaklumkan kepada Rasulullah kerana menjaga kedudukan kumpulan manusia yang berpengaruh ini.


2. Quraysh mengambil langkah berjaga-jaga. Mereka menggunakan pendekatan memujuk Rasulullah dengan menghantar orang yang paling disayangi Baginda. Tokoh yang dipilih dalam usaha diplomasi yang salah ini adalah Usamah ibn Zaid. Usamah adalah watak yang dikenali sebagai antara orang yang sangat disayangi Rasulullah. Al-Bukhari menggunakan lafaz “hibbu Rasulillah” iaitu (orang yang disayangi Rasulullah).


3. Telahan Quraysh meleset. Apabila Usamah berusaha bercakap memujuk Rasulullah, reaksi Baginda mengejutkan. Baginda marah lalu bangkit berkhutbah. Sabda Baginda:


( أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ ؟! ) ثُمَّ قَالَ : ( إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ  


“Apakah kamu meminta syafaat (supaya hukuman digugurkan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa) maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


4. Begitulah tegasnya Baginda dalam menjalankan hukuman bagi memastikan keadilan sosial dapat ditegakkan. Pangkat dan kedudukan tidak mengecualikan seseorang daripada hukuman keadilan.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2770

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Sep 7, 2023 at 07:03]

Meninggalkan Kesan Yang Baik

=====

1. Dalam Surah Yasin, Allah ingatkan kepada kita tentang apa yang berlaku setelah kita meninggal dunia nanti iaitu kita akan dihidupkan semula dan Allah akan merekodkan segala apa telah kita lakukan sewaktu kita hidup dahulu. Firman Allah:


إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ


“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan.” (Surah Yasin: 12)


2. Menurut al-Imam Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan kesan perbuatan kita itu ialah segala apa yang kita lakukan serta kesannya. Jika baik, baiklah balasannya dan jika kita meninggalkan kesan perbuatan yang buruk, maka buruklah balasannya. Kata beliau:


وآثارهم التى أثروها - أى تركوها - من بعدهم ، فنجزيهم على ذلك - أيضا - ، إن خيرا فخيرا ، وإن شرا فشر


“Dan yang dimaksudkan dengan kesan-kesannya (perbuatan mereka itu ialah) kesan yang mereka tinggalkan setelah dari (meninggal dunia) itu lalu Allah akan memberi mereka balasan. Sekiranya baik, maka mereka mendapat balasan yang baik, sekiranya mereka meninggalkan kesan yang jahat, maka balasan yang jahat akan diberi.”


3. Oleh itu, ayat ini memberikan kita teguran yang baik buat diri kita. Bukan sekadar kita seharunya memikirkan kesan dari setiap perlakuan kita, malah apakah kesan kebaikan yang telah kita tinggalkan agar menjadi asset buat diri kita untuk bertemu Allah kelak?


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2773

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Sep 10, 2023 at 07:01]

Mulut Hanya Dipenuh Tanah Nanti

=======

1. Rasulullah ﷺ mengingatkan kepada kita tentang kesungguhan manusia mengejar dunia sehingga mereka lupa bahawa bukan semua yang dikejarnya itu boleh disumbat semua ke dalam mulutnya. Sabda Rasulullah ﷺ:


لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ


“Andai sesungguhnya manusia itu mempunyai satu lembah emas, mereka suka untuk mendapatkan dua buah lembah emas, sedangkan mulut mereka nanti hanya akan dipenuh dengan tanah sahaja.” (HR al-Bukhari)


2. Elemen tanah yang ditampilkan dalam hadis ini adalah bagi menggambarkan bagaimana keghairahan nafsu manusia sukar untuk dihentikan melainkan setelah dijemput kematian. Kata al-Imam al-Qastalani:


فكأنه قال: لا يشبع من الدنيا حتى يموت


“Seolah-oleh Baginda ingin menjelaskan bahawa manusia itu tidak akan kenyang dengan dunianya sehinggalah datangnya kematian.” (Irsyad al-Sari)


3. Peringatan ini bagi adalah mengetuk jiwa manusia agar mereka tidak lupa akan tujuan hidup mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah selain menjadikan dunia mekanisme untuk membangun kehidupan sejahtera di akhirat.


4. Ini tidaklah bererti bahawa Rasulullah ﷺ menghalang para sahabat untuk menjadi kaya dan berusaha di dunia. Berapa ramai dalam kalangan para sahabat itu sendiri terdiri dari usahawan yang jutawan dan kaya raya. 


5. Namun, Baginda ﷺ  tetap mengingatkan mereka agar sentiasa bermuhasabah dan menjadikan harta mereka benar-benar bermanfaat buat diri mereka sendiri selaras dengan panduan yang telah digariskan di dalam al-Quran.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi 

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi



https://t.me/drahmadsanusiazmi/2775

Dr. Ahmad Sanusi Azmi, [Sep 11, 2023 at 06:58]

Tidak Peduli Makanan Halal Atau Haram

=====

1. Rasulullah pernah mengingatkan kita mengenai sebuah fenomena yang akan melanda pada umat ini iaitu mereka tidak lagi mempedulikan perkara halal atau haram. Sabda Rasulullah:


يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي المَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ، أَمِنَ الحَلاَلِ أَمْ مِنَ الحَرَامِ


“Akan datang satu zaman nanti, seorang lelaki tidak mempedulikan dari mana sumber (makanan) yang diambil, apakah dari halal atau perkara yang haram.” (HR al-Bukhari) 


2. Sehinggakan ada sebahagian kita yang sudah tidak sensitif dengan sumber makanannya sedangkan isu pemakanan adalah sebahagian dari urusan agama. Ini kerana Allah mengaitkan makanan yang halal dengan urusan ibadah. Kata al-Imam Ahmad:


أما علمت أن الأكل من الدين قدمه الله تعالى على العمل الصالح فقال: "كلوا من الطيبات واعملوا صالحاً


“Tidakkah kamu ketahui bahawa urusan makanan ini adalah sebahagian dari agama. Dalam al-Quran, Allah menyebut urusan makanan dahulu sebelum amal soleh. Firman Allah: “Dan makanlah makanan yang baik kemudian lakukanlah amal soleh.” (Ihya Ulumuddin)


3. Berhati-hati dalam menyuapkan makanan yang menjadi darah daging kita. Seorang Tabi’i yang masyhur Yusuf ibn Asbat pernah memberikan perumpamaan yang menarik berkenaan penjagaan makanan ini. Kata beliau:


إذا تعبد الشاب يقول إبليس: انظروا من أين مطعمه؟ فإن كان مطعمه مطعم سوء، قال: دَعُوه، لا تَشتغلوا به، دَعُوه يجتهد ويَنْصَب، فقد كفاكم نفسَه


“Sekiranya seorang pemuda sibuk beribadah, maka Iblis akan berkata: “Cuba perhatikan apa yang dia makan? Sekiranya dia makan dari makanan yang jahat (kotor), maka tidak perlu kita ganggu dia. Biarlah dia beribadah (dan dalam badannya penuh dengan makanan kotor), kerana makanan yang kotor itu telah memadai buat kita.” (al-Bayhaqi, al-Zuhd al-Kabir)


4. Lihatlah perumpamaan yang diberikan oleh Yusuf ibn Asbat ini. Sehinggakan Iblis pun tidak mengganggu hamba yang sibuk beribadah sekiranya makanan mereka kotor kerana makanan yang tidak baik itu telah cukup merosakkan Muslim, luar dan dalam.


5. Oleh itu jagalah sumber makanan kita. Makanan yang tidak halal boleh menjejaskan urusan doa kita kepada Allah bahkan dibimbangi kita telah menyuapkan sesuatu yang boleh merosakkan jiwa anak-anak kita. 


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi


No comments:

Post a Comment

  How to pray in Islam: Step-by-step guide to solat for beginners Solat is a beautiful act of worship that strengthens the spiritual connect...