☆Tadabbur Kalamullah 7 Zulhijjah 1445H☆
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya" [Surah al-Isra’ 16]
#Berkata Imam -Syaukani rahimahullah: Firman Allah,
‘وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا’
Yakni Kami akan perintahkan mereka untuk melakukan ketaatan dan kebaikan, namun mereka melakukan maksiat dan melakukan kejahatan. Terdapat pendapat yang menyebut bahawa, yang dimaksudkan dengan ‘أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا’ adalah, yakni Kami akan memperbanyakkan orang-orang yang melakukan kefasikan di negeri tersebut. Makna ‘مُتْرَفِيهَا’ adalah orang-orang yang mendapat kenikmatan, yang terlena dalam kenikmatan mereka. Mereka adalah orang yang bertindak dengan sewenang-wenangnya dan juga penguasa yang zalim serta orang-orang kaya yang fajir. (Lihat: Fathul Qadir)
#Bacalah kisah dan riwayat tentang umat-umat terdahulu sama ada daripada al-Quran atau hadis nabi menunjukkan apabila mereka samseng dan takabbur di muka bumi serta bertindak zalim menindas golongan miskin dan rakyat jelata. Maka, mereka berakhir dengan kehinaan dan kehancuran serta buruk akibatnya dengan azab Allah swt.
#Juga antara penyebab turun azab kemusnahan dari Allah ialah kerana tidak adil dalam perlaksanaan hukuman, bukan kerana tidak jalankan hukuman.
#Sabda Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya telah dibinasakan umat sebelum kamu kerana apabila orang berkedudukan tinggi dalam kalangan mereka mencuri, mereka biarkan. Apabila orang lemah berkedudukan rendah dalam kalangan mereka mencuri, mereka laksanakan hudud (hukuman) ke atasnya" (HR al-Bukhari)
#Begitu juga, sebab azab pemusnahan dari Allah ialah bila kezaliman tidak dihalang.
#Imam Ahmad dan Ashab as-Sunan meriwayatkan bahawa Sayidina Abu Bakar r.a berkata: “Ketahuilah bahawa seandainya manusia itu apabila mereka melihat orang zalim melakukan kezaliman, mereka tidak memegang tangannya untuk menghalangnya, tidak lama Allah akan merangkumi mereka semua dengan siksaanNya".
#Allah swt tidak turunkan azab pemusnahan umum hanya dengan sebab kekufuran tetapi dengan sebab kejahatan dan kezaliman dengan makhluk.
#Berkata Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaili di dalam kitab Tafsir al-Munirnya: "Tidak diturunkan azab dengan mencabut akar umbi sesuatu kaum kerana kaum itu sekadar beriktiqad dengan aqidah syirik dan kufur sahaja, sebaliknya azab diturunkan apabila mereka melakukan kejahatan di dalam urusan sesama mereka serta melakukan kezaliman dan penindasan".
اللَّهُمَّ إنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَاقِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمَنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami"
♡Oleh yang demikian, sesiapa yang melakukan kezaliman dan kederhakaan serta sesuatu yang menuju ke arah sebab-sebab kebinasaan nescaya Allah swt akan membinasakan mereka♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment