Saturday, 15 June 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 8 Zulhijjah 1445H☆


وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا


"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya" [Surah Aali Imran 97] 


#Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim Alaihissalam sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad saw. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya (Lihat: Tafsir al-Maraghi) 


#Kita saat ini berada dalam bulan haji, bulan Zulhijjah. Umum mengetahui akan kelebihan 10 hari terawal ini, yang mana ia merupakan di antara hari-hari yang paling disukai serta dicintai oleh Allah swt bagi orang yang melakukan amal soleh padanya.


#Hari ini 8 Zulhijjah, dinamakan hari Tarwiyyah. Apa itu hari Tarwiyyah? 


#Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya mempunyai dua sebab penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah:


1. Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah. Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah. Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).

 

2. Dinamakan juga dengan 'Tarwiyah' adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim Alaihissalam telah bermimpi buat kali yang pertama daripada Allah swt agar menyembelih anaknya Nabi Ismail Alaihissalam. Seharian Baginda berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah swt atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zulhijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. (Lihat: al-Mughni) 


#Fahamlah kita bahawa hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim mendapat wahyu daripada Allah swt untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim tertanya-tanya pada dirinya.


#Apa kelebihan beramal di hari Tarwiyyah? 


#Dikatakan bahawa Rasululah saw telah bersabda,


صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ


"Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun" (HR ad-Dailami. Imam al-Suyuthi dan Imam al-Busiri mengatakan hadis ini dhaif. Imam Ibn Jauzi mengatakan hadis ini palsu) 


♡Boleh berpuasa dan boleh juga tidak berpuasa di hari Tarwiyyah kerana tidak ada kenyataan kelebihan yang khusus atau amalan yang khusus untuk dilakukan pada hari tersebut berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih. Namun 10 hari terawal Zulhijjah merupakan hari yang paling disukai Allah bagi sesiapa yang melakukan amal soleh dan amal ketaatan. Selamat beramal♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...