☆Tadabbur Kalamullah 9 Zulhijjah 1445H☆
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya" [Surah Aali Imran 97]
#Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan, para ulamak telah bersepakat bahawa hukum mengerjakan ibadah haji adalah fardhu ain. Dalam erti kata lain, jika ia adalah hajjah al-Islam (haji kali pertama) dan memenuhi syarat-syarat wajib untuk mengerjakan haji, maka ia adalah fardhu ain ke atasnya. Syarat-syarat tersebut ialah Islam, mumayyiz, baligh, merdeka dan istita‘ah (berkemampuan. (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah)
#Saat ini kita berada di musim haji. Jutaan umat Islam telah berkumpul untuk menunaikan ibadah haji di bumi Mekah al-Mukarramah.
#Tanggal 9 Zulhijjah, merupakan hari Arafah. Apa itu hari Arafah dan apa kelebihannya?
1. Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam. Daripada Sayidina Uqbah bin Amir r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
"Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum" (HR Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Nasa’ie)
2. Hari Arafah adalah rukun daripada haji. Daripada Sayidina Abdulrahman bin Ya’mur r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
"Haji adalah Arafah" (HR at-Tirmizi)
3. Hari kebesaran untuk berdoa. Daripada Sayidina Abdullah bin ‘Amr r.a bahawa Nabi saw bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah" (HR at-Tirmizi)
#Bersempena hari Arafah, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada hari tersebut dan dijanjikan ganjaran penghapusan dosa setahun sebelum dan setahun selepas.
#Daripada Sayidina Abi Qatadah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda, apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Sabda Nabi saw:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
"Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang" (HR Muslim)
#Imam an-Nawawi berkata: "Puasa pada hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan (dengannya) dosa-dosa pada tahun lalu dan tahun yang akan datang, bermaksud menghapuskan dosa-dosa bagi orang yang berpuasa pada hari itu selama dua tahun. Mereka (para ulamak) berkata: Maksudnya adalah menghapus dosa-dosa kecil" (Lihat: Syarh an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim)
♡Hari Arafah adalah satu hari yang istimewa dalam bulan Zulhijjah yang memiliki pelbagai kelebihan. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini untuk beramal soleh agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment