☆Tadabbur Kalamullah 24 Muharram 1446H☆
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" [Surah Fussilat 33]
#Para pendakwah mestilah merasakan pentingnya tugas dakwah dan tingginya nilai dakwah itu dengan menjadikan orang ramai sasaran untuk diselamatkan.
#Pendakwah mesti melihat logam-logam berharga di kalangan mereka yang belum Islam. Tidak jemu berusaha mengajak dan memberi penerangan sehingga akhirnya Allah membuka pintu hidayahnya dan mereka menjadi sebahagian daripada pejuang Islam yang unggul.
#Jom kita hayati kisah dibawah ini sebagai contoh untuk dijadikan teladan kepada semua pendakwah:
Selepas perjanjian Hudaibiyah, Sayidina al-Walid bin al-Walid, saudara kepada Sayidina Khalid bin al-Walid memeluk Islam.
Ketika Rasulullah saw datang ke Mekah untuk menyelesaikan umrah qadha’ baginda bertanya al-Walid: "Di manakah Khalid?"
Al-Walid menjawab: "Dia akan dibawa datang oleh Allah..."
Lalu Nabi saw bersabda: "Tidak patut orang sepertinya jahil tentang Islam! Kalaulah dia meletakkan ketangkasannya menewaskan musuh bersama kaum muslimin dalam menewaskan kaum musyrikin, pastinya itu lebih baik untuknya. Dan kami akan meletakkannya di hadapan memimpin yang lain".
Mendengar kata-kata Nabi saw itu, al-Walid segera mencari saudaranya Khalid, namun tidak bertemu. Dia meninggalkan sepucuk surat yang dituliskan: "Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya aku tidak bertemu dengan sesuatu yang lebih aneh daripada hilangnya fikiranmu dari Islam. Aku tidak menemui seseorang yang akalnya lebih aneh daripada akalmu. Aku tidak menemui sesuatu yang lebih aneh daripada orang yang jahil tentang Islam! Sesungguhnya Rasulullah saw telah menanyaiku tentangmu. Baginda berkata: "Di manakah Khalid?" Tidak patut orang sepertinya jahil tentang Islam! Kalaulah dia meletakkan ketangkasannya menewaskan musuh bersama kaum muslimin dalam menewaskan kaum musyrikin, pastinya itu lebih baik untuknya. Dan kami akan meletakkannya di hadapan memimpin yang lain". Maka segeralah saudaraku, menangkap apa yang selama ini telah terlepas daripadamu! Sesungguhnya berapa banyak tempat-tempat yang baik telah luput daripadamu".
Surat saudaranya itu dibaca dengan gembira tidak terkata. Kata-kata Nabi saw benar-benar berkesan di jiwanya. Keinginannya memeluk Islam membuak-buak. Dia segera berangkat ke Madinah untuk menemui Rasulullah saw dan memeluk Islam. Kedatangan Khalid untuk memeluk Islam pada tahun ke 8 hijrah, 6 bulan sebelum pembukaan Mekah dan 2 bulan sebelum Perang Mu’tah bersama 2 orang rakannya Uthman bin Talhah dan Amru bin al-‘As disifatkan oleh Nabi saw dengan kata-kata: "Mekah telah membalingkan kamu dengan buah hati mereka!".
#Dengan kesungguhan dakwah dan memanfaatkan peluang yang ada, Nabi saw berjaya mengIslamkan Sayidina Khalid bin Al-Walid yang digelar "Saifullah al-Maslul" yang membawa maksud pedang Allah yang terhunus.
♡Ajaklah manusia agar beriman kepada Allah swt dengan penuh kesungguhan serta berdoalah kepadaNya agar mencampakkan hidayahNya kepada mereka♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment