☆Tadabbur Kalamullah 26 Zulhijjah 1445H☆
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
"Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati kepada kesabaran" [Surah al-Asr 3]
#Antara nasihat yang utama untuk dilaksanakan ialah nasihat dan teguran kepada para pemimpin umat Islam. Daripada Sayidina Abu Ruqayyah bin ‘Aus al-Dari r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
الدِينُ النَصِيحَةُ، قُلنَا: لِمَنْ؟ لِلَّهِ، وَلِكَتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِم
"Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda: “Bagi Allah, Kitab-Kitabnya, RasulNya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya" (HR Muslim)
#Berkata Sayidina Abdullah bin Mas’ud r.a yang mengungkapkan ucapan yang penuh berharga: "Orang yang berbahagia (beruntung) adalah orang yang mengambil nasihat (pelajaran) dari (peristiwa yang dialami) orang lain" (HR Muslim).
*Maka, menjadi keperluan untuk para ulamak meneliti sejarah terdahulu, bagaimana para ulamak menasihat pemimpin kerana sebaik-baik pengajaran adalah daripada sejarah.
#Hayati kisah nasihat Syaiban al-Ra’i kepada Khalifah Harun al-Rasyid:
Syaiban al-Ra’i ketika menasihati Khalifah Harun al-Rasyid berkenaan melantik dan mengambil penasihat yang benar, berkata:
"Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”
Khalifah Harun al-Rasyid bertanya: "Jelaskan maksudnya untukku"
Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: "Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah!" adalah lebih baik daripada orang yang berkata: "Kamu kaum keluarga Nabi, diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!" (Lihat: al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih dan Hilyatul al-Awliya)
#Begitu juga kisah nasihat Ibn al-Wasiti kepada Sultan Nuruddin:
Imam Ibn Kathir meriwayatkan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud bin Imaduddin Zanki bin Aq-Sunqur, salah seorang sultan yang sentiasa melakukan Qiamullail pada malam hari dan berpuasa pada siang hari.
Pernah beliau meminta bala tenteranya pergi ke Damsyiq dan beliau telah mengadakan pesta besar-besaran yang dihadiri oleh para gabenor, para menteri, dan para panglima, serta khalayak ramai dan penduduk Damsyiq. Selepas pesta ini selesai, salah seorang Ibn al-Wasiti, seorang ulamak besar pada ketika itu masuk dengan pakaian sederhananya, dan berdiri di hadapan sultan, lalu beliau berkata: "Wahai sultan yang agung, dengarkanlah dengan baik terhadap janji Allah, Maha Raja Langit dan bumi".
Tiba-tiba orang ramai terdiam dan berhenti berpesta, mereka menunggu apa yang akan di ucapkan syeikh besar ini. Tuan syeikh itu berbicara kepada sultan ketika ia berada di atas singgah sana kerajaannya:
"Wahai manusia yang tertipu, anggaplah dirimu, kini berada pada hari kiamat dan langit bergoncang, Jika dikatakan: 'Nuruddin datang berserah diri’ Hati-hatilah engkau datang tanpa memiliki nur (cahaya)"
Akhirnya, Sultan Nuruddin pun menangis.
#Nasihat yang tulus dari hati yang bertakwa dan takutkan Allah amat memberi kesan kepada para pemimpin.
♡Nasihati dan teguran kepada pemerintah adalah tuntutan dan tanggungjawab para ulamak dan para penasihatnya. Moga ada sinar kebaikan atas nasihat menasihati yang dilakukan dengan tulus ikhlas♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment