☆Tadabbur Kalamullah 4 Safar 1446H☆
وَقُل رَّبِّ زِدۡنِی عِلۡمࣰا
"Dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmu kepadaku" [Surah Ṭā-Hā 114]
#Rasulullah saw tidaklah berdoa untuk meminta tambahan sesuatu kecuali ilmu. Maka kita yang kerdil lagi jahil ini sewajarnya berdoa dan berusaha menambahkan ilmu serta beramal dengan ilmu yang dipelajari.
#Untuk menjadi seorang yang berilmu dan sentiasa bertambah ilmu maka perlu hidup dalam suasana memperkatakan tentang ilmu atau sentiasa membahaskan permasalahan berkaitan ilmu serta tidak tergolong dalam kalangan mereka yang lalai.
#Berkata Imam Abu Daud rahimahullah: "Aku telah bertemu dengan 200 orang ulamak. Tidak pernah aku lihat seorang pun seumpama Imam Ahmad bin Hambal. Beliau tidak akan turut berbual dalam perkara yang orang ramai bualkan. Namun apabila dibualkan perkara ilmu, beliau akan mula berbicara" (Lihat: Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi)
#Apabila seseorang itu bertambah ilmu, maka sepatutnya ia bertambah tawadhuk dan tidak sombong. Inilah sifat ahli ilmu yang beramal dengan ilmunya. Hal ini kerana ahli ilmu yang sombong dengan ilmunya akan dihalang daripada memahami ilmu dan beramal dengan ilmunya.
#Berkata al-Allamah Ibn al-Hajj al-Maliki rahimahullah: "Allah swt berfirman:
سَأَصۡرِفُ عَنۡ ءَایَـٰتِیَ ٱلَّذِینَ یَتَكَبَّرُونَ فِی ٱلۡأَرۡضِ بِغَیۡرِ ٱلۡحَقِّ وَإِن یَرَوۡا۟ كُلَّ ءَایَةࣲ لَّا یُؤۡمِنُوا۟ بِهَا وَإِن یَرَوۡا۟ سَبِیلَ ٱلرُّشۡدِ لَا یَتَّخِذُوهُ سَبِیلࣰا وَإِن یَرَوۡا۟ سَبِیلَ ٱلۡغَیِّ یَتَّخِذُوهُ سَبِیلࣰاۚ ذَ ٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَذَّبُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ عَنۡهَا غَـٰفِلِینَ
"Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya" [Surah al-A'raf 146]. Dan satu yang pasti sedia diketahui bahawa sebahagian orang-orang yang sombong ada yang menghafaz al-Quran dan ilmu. Akan tetapi mereka dihalang dari memperolehi faedahnya iaitulah kefahaman dan beramal sedangkan itulah yang dituntut. Maka kekallah orang awam yang lebih baik keadaan (dari sudut dapat mengambil faedah dan beramal) berbanding mereka yang hafiz dan alim akan tetapi sombong. Allahul Musta'an" (Lihat: al-Madkhal)
#Para ulamak mengingatkan kita semua bahawa seburuk-buruk zaman yang kita lalui ialah zaman dimana manusia banyak bercakap tetapi tidak berilmu dan banyak ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya.
#Berkata Abu Hazim rahimahullah:
قَالَ أَبُو حَازِمٍ: إِذَا كُنْتَ فِي زَمَانٍ يُرْضَى فِيهِ مِنَ الْعِلْمِ بِالْقَوْلِ، وَمِنَ الْعَمَلِ بِالْعِلْمِ؛ فَأَنْتَ فِي شَرِّ زَمَانٍ وَشَرِّ أُنَاسٍ.
"Jika engkau berada pada zaman di mana orang lebih mengutamakan kata-kata berbanding ilmu atau ilmu berbanding amal, maka engkau berada di seburuk-buruk zaman dan serosak-rosak masyarakat. (Lihat: al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm)
♡Tuntutlah ilmu dan beramallah dengannya, semoga Allah menambahkan kita ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk diamalkan. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullahl
No comments:
Post a Comment