☆Tadabbur Kalamullah 6 Safar 1446H☆
وَذَرِ الَّذِيْنَ اتَّخَذُوْا دِيْنَهُمْ لَعِبًا وَّلَهْوًا وَّغَرَّتْهُمُ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهٖٓ اَنْ تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْۖ لَيْسَ لَهَا مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ وَلِيٌّ وَّلَا شَفِيْعٌ ۚوَاِنْ تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَاۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ اُبْسِلُوْا بِمَا كَسَبُوْا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيْمٍ وَّعَذَابٌ اَلِيْمٌ ۢبِمَا كَانُوْا يَكْفُرُوْنَ.
"Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan gurauan, (sebenarnya) mereka telah tertipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran agar diri masing-masing tidak terjerumus (ke dalam neraka), disebabkan apa yang telah diusahakan. Tidak ada baginya pelindung dan tidak ada pemberi syafaat (pertolongan) selain Allah. Dan jika dia hendak menebus dirinya dengan segala macam tebusan apa pun, (pasti) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dibinasakan oleh Allah (dihumban ke dalam neraka), disebabkan apa yang diusahakan oleh mereka (sendiri). Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab yang pedih kerana mereka kufur (ketika hidupnya)" [Surah al-An’aam 70]
#Allah swt memberi amaran dan ancaman azab yang dahsyat terhadap sesiapa yang mempersendakan agama, menjadikan agama sebagai main-main dan sekadar hiburan dengan azab yang pedih di akhirat kelak.
#Bahkan tiada sebarang pengampunan, tebusan dan syafaat kepada mereka (jika mereka tidak bertaubat dengan sebenar-benar taubat). Besar kemurkaan Allah kepada mereka yang mempermainkan ajaran Islam.
#Perbuatan mempersendakan agama sama ada dengan perkataan, perbuatan atau lainnya adalah suatu kesalahan yang amat besar di sisi Allah dan di sisi umat Islam. Perbuatan memperlekehkan pemakaian Islam yang menutup aurat, mempersendakan Sunnah Rasulullah saw, memperkecilkan dan mempertikaikan hukum Allah dan menghina para ulamak pewaris Nabi adalah sebahagian daripada perbuatan mempersendakan agama yang berlaku mutakhir ini.
#Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengundang kemarahan orang yang beriman, bahkan lebih besar lagi mengakibatkan kemurkaan Allah swt yang boleh mengakibatkan pembalasan segera jika tidak dibendung.
#Jangan sesekali meremehkan dosa dan maksiat. Jangan berolok-olok dengan dosa. Jangan jadikan agama sekadar mainan dan hiburan. Rasa nak solat, solat. Rasa malas solat, tak solat. Rasa nak puasa, buat. Rasa malas puasa, tak puasa. Rasa nak tutup aurat, maka berpakaian sopan dan menutup aurat. Rasa nak tayang body maka dilondehnya semua pakaian tanpa rasa bersalah. Hal ini kerana mereka anggap agama sekadar mainan dan ikut apa yang mereka rasa.
#Ingatlah bahawa Allah mengancam azab ngeri kepada sesiapa yang menolak kebenaran dan bersikap lepas tangan dalam memenuhi tuntutan syarak. Firman Allah swt:
كَلَّاۤۖ إِنَّهَا لَظَىٰ * نَزَّاعَةࣰ لِّلشَّوَىٰ * تَدۡعُوا۟ مَنۡ أَدۡبَرَ وَتَوَلَّىٰ * وَجَمَعَ فَأَوۡعَىٰۤ
"Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya. (Membakar) serta menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan. Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran). Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya)" [Surah al-Maarij 15–18]
♡Jangan pandang ringan dan remeh akan kemurkaan Allah swt. Lihatlah kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Lut, kaum Nabi Soleh, kaum Nabi Hud dan kaum Firaun. Di mana mereka? Sudah musnah, tenggelam dan lenyap dibadai kemurkaan Allah swt. Sekarang, hanya tinggal cerita sahaja. Maka, bila lagi manusia yang ingkar, yang mempermainkan agama, yang mempersenda agama mahu beriman dan kembali bertaubat padanya? Ingatlah bahawa kemurkaan Allah bakal melenyapkan kita dan menghancurkan masa depan akhirat kita. Insafilah!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullahl
No comments:
Post a Comment