☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Awwal 1446H☆
مُّحَمَّدࣱ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ
"Nabi Muhammad saw ialah Rasulullah" [Surah al-Fatḥ 29]
#Sambung bicara berkaitan kelebihan dan keistimewaan Nabi Muhammad saw.
#Antara keistimewaan Nabi saw ialah semua nabi yang hidup sebelum zaman kebangkitan Rasulullah saw telah diminta khusus oleh Allah untuk beriman dengan Rasulullah saw. Maka setiap nabi telah berjanji setia untuk beriman kepada Rasulullah dan mereka berjanji untuk membantu baginda jika Allah mentakdirkan Rasulullah muncul pada zaman mereka. Keistimewaan yang begitu agung ini tidak pernah berlaku kepada para nabi dan rasul sebelum baginda. Firman Allah swt:
وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِیثَـٰقَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ لَمَاۤ ءَاتَیۡتُكُم مِّن كِتَـٰبࣲ وَحِكۡمَةࣲ ثُمَّ جَاۤءَكُمۡ رَسُولࣱ مُّصَدِّقࣱ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَ ٰلِكُمۡ إِصۡرِیۖ قَالُوۤا۟ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُوا۟ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِینَ
"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu" [Surah Āli-ʿImrān 81]
#Selain itu, istimewanya baginda saw bilamana panggilan Allah swt ke atas Nabi Muhammad saw berbeza dengan para nabi yang lain. Perbezaan ini jelas ketara di dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa baginda saw adalah ciptaan Allah yang paling disayangiNya dan diberi penghormatan melebihi nabi yang lain.
#Allah swt tidak pernah memanggil Rasulullah saw dengan nama peribadi bgainda, ‘Muhammad’ dalam bentuk komunikasi dua hala?
#Allah swt memanggil baginda saw menggunakan pangkat kenabian seperti Wahai Nabi:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ
"Wahai Nabi, rangsanglah orang-orang mukmin untuk berperang…" [Surah al-Anfal 65]
#Allah swt memanggil baginda menggunakan pangkat kerasulan:
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ
"Wahai Rasul sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu.." [Surah al-Maaidah 66]
#Allah swt guna kalimah ‘Muhammad’ hanya untuk bercerita perihal Baginda saw sahaja. Contohnya:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُول
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul" [Surah Ali-Imran 144]
مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ
"Bukanlah Muhammad itu bapa bagi salah seorang dari lelaki dari kalangan kamu" [Surah Al-Ahzab 40]
#Berbeza komunikasi atau perbualan Allah swt dengan para Rasul yang lain, di mana Allah swt memanggil mereka dengan nama peribadi mereka. Allah swt memanggil para Nabi yang lain dengan panggilan nama seperti Ya Adam, Ya Musa, Ya Ibrahim.
قَالَ یَـٰۤـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَاۤىِٕهِمۡۖ
Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka" [Surah al-Baqarah 33]
وَنَـٰدَیۡنَـٰهُ أَن یَـٰۤإِبۡرَ ٰهِیمُ
"Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!" [Surah aṣ-Ṣāffāt 104]
یَـٰمُوسَىٰۤ إِنَّهُۥۤ أَنَا ٱللَّهُ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡحَكِیمُ
"Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah an-Naml 9]
#Ini menjadi bukti Allah swt memuliakan Baginda saw dan meletakkan penghormatan ke atas baginda melebihi seluruh makhlukNya yang lain hatta Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang sangat mulia.
♡Ini antara kelebihan-kelebihan Nabi saw yang semuanya menunjukkan betapa tinggi dan mulianya Rasulullah saw di sisi Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment