☆Tadabbur Kalamullah 20 Rabiul Awwal 1446H☆
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولࣱ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُۚ أَفَإِی۟ن مَّاتَ أَوۡ قُتِلَ ٱنقَلَبۡتُمۡ عَلَىٰۤ أَعۡقَـٰبِكُمۡۚ وَمَن یَنقَلِبۡ عَلَىٰ عَقِبَیۡهِ فَلَن یَضُرَّ ٱللَّهَ شَیۡـࣰٔاۗ وَسَیَجۡزِی ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِینَ
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)" [Surah Āli-ʿImrān 144]
#Kewafatan Rasulullah saw adalah satu musibah paling besar yang menimpa umat Islam.
#Ketika berita kewafatan Rasulullah saw sampai kepada Sayidina Umar bin al-Khattab r.a, beliau hilang pertimbangan seketika, lantas beliau bangun dan berkata: "Ada beberapa lelaki munafik mendakwa bahawa Rasulullah saw telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah saw tidak wafat, akan tetapi Rasulullah saw pergi bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin ‘Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian Baginda kembali kepada kaumnya setelah orang mengatakan Baginda telah mati. Demi Allah, Rasulullah saw akan kembali, dan aku akan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan Baginda saw telah mati!" (Lihat: al-Sirah al-Nabawiyyah dan al-Rahiq al-Makhtum)
#Sayidina Abu Bakar ketika itu masih di dalam rumah Rasulullah saw dan di hadapan jenazah Rasulullah saw. Beliau menyingkap wajah Rasulullah saw, kemudian menciumnya. Beliau berkata:
بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، طِبْتَ حَيًّا وَمَيِّتًا، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُذِيقُكَ اللَّهُ المَوْتَتَيْنِ أَبَدًا
"Ayah dan ibuku sebagai galang ganti bagimu, engkau dalam keadaan baik saat hidup dan sesudah mati. Demi Dia yang jiwaku berada di tanganNya, Allah tidak akan membuatkanmu merasakan kematian sebanyak dua kali buat selama-lamanya"
#Setelah itu, Abu Bakar r.a pun keluar menemui orang ramai. Dalam satu riwayat daripada Ibn Abbas r.huma, katanya: "Bahawa Sayidina Abu Bakar r.a selepas itu keluar ketika Sayidina Umar r.a sedang berbicara dengan orang ramai. Lalu Sayidina Abu Bakar berkata kepada Sayidina Umar:
عَلَى رِسْلِكَ يَا عُمَرُ، أَنْصِتْ!
"Berhenti! Wahai Umar, diamlah kamu!"
Sayidina Umar enggan mematuhi perintah tersebut. Akhirnya Sayidina Abu Bakar mengucapkan lafaz syahadah, lalu orang ramai berkumpul ke arahnya dan meninggalkan Sayidina Umar, lalu Sayidina Abu Bakar berkata:
أَمَّا بَعْدُ، فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللهَ، فَإِنَّ اللهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ، قَالَ اللهُ تَعَالَى: {وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ} إِلَى {الشَّاكِرِينَ} [آل عمران: 144]
"Barangsiapa daripada engkau yang menyembah nabi Muhammad saw, sungguh nabi Muhammad saw sekarang sudah wafat dan barangsiapa yang menyembah Allah, sungguh Allah Maha Hidup yang tidak akan pernah mati". Lalu dibacakan ayat Surah Ali Imran 144.
#Ibn al-Musayyib menyebutkan bahawa Sayidina Umar berkata: "Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Sayidina Abu Bakar membacakan ayat itu, maka aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi ketika mendengar Sayidina Abu Bakar membacakannya. Maka, yakinlah aku bahawa Rasulullah saw telah wafat" (Lihat: Rahiq al-Makhtum)
♡Demikianlah kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah saw yang tiada tolok bandingnya. Begitu juga kecintaan Rasulullah saw terhadap orang-orang yang beriman. Namun, Baginda tetap memilih kepada yang lebih dicintai, iaitu bertemu dengan Allah saw di alam akhirat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment