☆Tadabbur Kalamullah 11 Rabiul Akhir 1446H☆
وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟یۡءٍ إِنِّی فَاعِلࣱ ذَ ٰلِكَ غَدًا * إِلَّاۤ أَن یَشَاۤءَ ٱللَّهُۚ وَٱذۡكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِیتَ وَقُلۡ عَسَىٰۤ أَن یَهۡدِیَنِ رَبِّی لِأَقۡرَبَ مِنۡ هَـٰذَا رَشَدࣰا
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini" [Surah al-Kahfi 23-24]
#Segala sesuatu yang ingin dilakukan berkaitan dengan masa yang akan datang sebaiknya dikaitkan dengan ucapan insyaAllah (dengan kehendak Allah) sebagaimana yang difirmankanNya dalam ayat di atas.
#Seorang muslim mengucapkan ucapan ini ketika berjanji atau berencana mengerjakan suatu urusan di waktu yang akan datang. Ia mengucapkan InsyaAllah kerana ia tidak tahu apakah urusan yang akan dikerjakannya itu akan benar-benar terjadi atau tidak. Ini kerana semua urusan itu terjadi atau tidak adalah atas kehendak Allah, berdasarkan takdir Allah. Ucapan InsyaAllah juga mengandung doa isti’anah (minta pertolongan) kepada Allah agar dimudahkan mengerjakan suatu urusan itu.
#Dikisahkan suatu cerita suami isteri berkaitan InsyaAllah. Jom hayati dan ambil pengajaran:
Berkata seorang lelaki kepada isterinya: "Aku akan beli seekor keldai di pasar esok hari".
Kata si isteri: "Sebutlah, InsyaAllah".
Suami: "Kenapa pula? Sedangkan wang telah ada dalam poketku, keldai pula telah tersedia di pasar".
Keesokan harinya... Ketika dalam perjalanan ke pasar, si suami singgah di sebuah telaga dan menjenguk ke dalamnya. Tiba-tiba wang dari poket bajunya mengelunsur keluar dan jatuh ke dalam telaga. Dia segera membuka bajunya, dan turun ke dalam telaga untuk mengambil semula wang yang jatuh. Malangnya dia tidak menemuinya. Sedang dia berputus asa dari menjumpai wangnya semula, tanpa disedarinya datang seorang perompak lalu merompak baju yang diletakkannya di tebing telaga.
Pulanglah si suami ke rumahnya berjalan kaki bukan menaiki keldai dan dalam keadaan tidak berbaju. Dia mengetuk pintu rumahnya.
Si isteri yang berada di dalam rumah tidak mengetahui siapa yang mengetuk pintu, lalu bertanya: "Siapa?"
Jawab si suami: "Aku, bukalah pintu ini, INSYAALLAH".
#Selain itu, ada ketikanya seseorang itu sudah pun ucapkan InsyaAllah, namun tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan. Ini sebagaimana kejadian yang terjadi kepada Nabi Musa Alaihissalam.
Saat bertemu Nabi Khidhir, Nabi Musa ingin mengambil ilmu darinya. Nabi Musa juga berjanji dengan mengucapkan InsyaAllah bahawa beliau akan berusaha sabar, tidak akan bertanya-tanya tentang apa yang dilakukan nabi Khidhir, namun qaddarollah (Qadar dari Allah) hal itu tidak tercapai.
قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا
Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, InsyaAllah, sebagai orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu" [Surah al-Kahfi 69]
Namun di akhir kisah musafir Nabi Musa bersama Nabi Khidhir, ternyata Nabi Musa tidak dapat bersabar hingga 3 kali. Kemudian nabi Khidhir berkata:
ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا
Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" [Surah al-Kahfi 82]
#Ini menunjukkan bahawa takdir Allah kadangkala meskipun seorang itu sudah berusaha dan sebelumnya mengucapkan InsyaAllah, tidak terjadi sebagaimana yang diharapkannya. Namun, ia harus yakin bahawa segala yang ditakdirkan Allah adalah tetap baik untuknya.
♡Sebutlah InsyaAllah atas setiap pekerjaan atau urusan yang ingin kita lakukan♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment