☆Tadabbur Kalamullah 12 Rabiul Akhir 1446H☆
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" [Surah al-Anbiya’ 107]
#Imam Ibn Jarir at-Tabari rahimahullah berkata: "Sebahagian ahli tafsir seperti Sayidina Abdullah bin Abbas r.huma berkata ayat ini menyatakan bahawa agama Islam yang dibawa Rasulullah saw merupakan rahmat kepada orang beriman dan rahmat buat orang kafir juga".
#Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ
"Sesungguhnya saya adalah pembawa rahmat dan penunjuk jalan" (HR al-Bazzar dan al-Tabrani)
#Al-Quran mengulang perkataan Rahmah dan kalimah-kalimah yang bersumber darinya sebanyak 280 kali. Unsur menitikberatkan kasih-sayang ini tidak kita kenali dalam kitab-kitab lain semisal apa yang telah ditegaskan oleh al-Quranul Karim. Inilah bukti menunjukkan bahawa Nabi yang agung dan pengasih, yang rahmatnya meliputi setiap insan baik yang Muslim mahupun non-Muslim, yang melarang dan menegah dengan jelas dan tegas daripada pembunuhan perempuan non-Muslim yang turut serta berperang, serta kanak-kanak mereka, orang-orang tua mereka dan bayi-bayi mereka. Baginda Nabi saw bersabda:
لَا تَقْتُلُوا شَيْخًا فَانِيًا ، وَلَا طِفْلًا، وَلَا صَغِيرًا، وَلَا امْرَأَةٌ
"Janganlah kalian membunuh orang tua yang lemah, jangan juga kanak-kanak, jangan juga budak kecil, jangan juga wanita" (HR al-Baihaqi)
#Baginda juga melarang daripada membunuh orang buta dalam kalangan tentera musuh, baginda juga menegah perbuatan membunuh hamba dan budak suruhan lelaki mahupun perempuan, jua warga awam yang tidak turut serta dalam peperangan, begitu juga baginda tidak mengizinkan pembunuhan para pendeta dan paderi serta melarang daripada mengapa-apakan tempat ibadat bagi agama-agama lain, bahkan rahmat baginda meliputi sekalian alam, bukan sahaja kepada semua manusia tanpa mengira jenisnya, bahkan rahmat itu juga tercucur kepada alam selain manusia; semisal alam haiwan, tumbuhan dan material dalam kalangan tentera musuh, apabila baginda melarang daripada menyembelih haiwan-haiwan yang berada dalam bersama askar musuh, melarang perbuatan memotong pokok yang berbuah, menghancurkan bangunan dan merobohkannya, mengharamkan perbuatan merosakkan badan mayat tentera musuh dalam kalangan kuffar.
#Diriwayatkan juga oleh ulamak-ulamak Sirah dan Sejarah Peperangan, bahawa apabila baginda Nabi Muhammad saw sedang dalam perjalanan untuk menakluk kota Mekah ketika peristiwa Fathul Makkah, baginda memimpin tentera seramai lebih kurang 10,000 orang prajurit. Ketika memasuki Mekah, baginda ternampak seekor anjing betina yang sedang memelihara anak-anak anjingnya, anak-anak anjing itu pula sedang menyusu di sekeliling ibu anjing tersebut. Rasulullah saw pun menyuruh salah seorang sahabatnya yang bernama Sayidina Ju’ail bin Suraqah r.a untuk memelihara dan membentengi anjing tersebut bersama anak-anak anjing itu, supaya tidak dilanggar atau dipijak oleh mana-mana tentera Islam. (Lihat: al-Qaul al-Tayyib)
#Ini menunjukkan bahawa Nabi saw adalah pembawa rahmat kepada sekelian alam termasuk kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan alam.
♡Rasulullah saw menggesa kita sebagai umatnya untuk bersifat rahmah dalam apa jua situasi dan keadaan♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment