☆Tadabbur Kalamullah 13 Rabiul Akhir 1446H☆
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" [Surah al-Anbiya’ 107]
#Rasulullah saw pembawa rahmat bagi sekelian alam. Allah swt memerintahkan nabi saw agar berdakwah dengan penuh rahmah dan hikmah.
#Betapa pentingnya rahmah sehingga Allah menggambarkan rahmah boleh menjinakkan hati manusia kepada Baginda saw, sebaliknya dengan kekerasan akan meliarkan hati-hati manusia. Firman Allah swt:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya" [Surah Aali Imran 159]
#Syeikh al-Maraghi berkata: "Sekiranya kamu hai nabi Muhammad bersikap kasar lagi jumud dalam menjalani perhubungan dengan mereka nescaya mereka akan lari darimu dan mereka tidak selesa lagi tinggal bersama mu" (Lihat: Tafsir al-Maraghi)
#Rahmat yang dibawa Rasulullah saw bukan setakat ke atas manusia semata-mata, tetapi terangkum juga makhluk tidak bernyawa sekalipun.
#Buktinya, dikisahkan pada suatu hari Baginda saw memanggil seorang Badwi datang kepadanya dan Baginda menawarkannya memeluk Islam. Lelaki Badwi itu tidak terus menerima ajakan Rasulullah saw, sebaliknya dia menguji dahulu Baginda dengan berkata: "Kalau kamu boleh panggil pokok ini datang kepada kamu dan bersaksi bahawa kamu adalah Rasul, maka aku akan beriman". Rasulullah saw tidak langsung menunjukkan rasa panik dengan permintaan lelaki Badwi itu, sebaliknya Baginda saw memanggil pokok itu lalu bertanya siapa Baginda. Tidak semena-mena pokok itu menjawab: "Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi sesungguhnya kamu adalah Rasul Allah". Akhirnya, lelaki Badwi itu beriman dan segera kembali ke kampung halaman dan menemui kaumnya untuk memberitahu perihal agama Islam yang baru dia beriman itu.
#Begitu juga dengan kisah haiwan yang turut menerima rahmat yang dibawa Rasulullah saw. Ada satu kisah di mana seekor unta digunakan pemiliknya sejak sekian lama dan ia sudah tua. Apabila unta itu semakin lemah, tuannya tidak lagi memberikan perhatian terhadapnya. Makan minum sudah tidak lagi dihiraukan oleh Tuhannya. Tidak seperti ketika unta itu masih kuat. Ketika Baginda saw sedang merentasi satu kawasan, Baginda bertemu dengan unta itu. Keadaan unta itu menarik perhatian Baginda kerana dilihat sedang menanggung kesusahan berdasarkan kesan air mata pada matanya. Baginda saw menghampiri unta itu sambil mengusap perlahan tubuhnya dengan tangannya yang mulia.
Baginda saw berbicara dengan unta tua itu: "Di manakah tuan punya unta ini?". Tiba-tiba seorang lelaki kaum Ansar muncul dan mengaku unta tua itu miliknya. Baginda memberikan nasihat kepada pemilik unta itu bahawa untanya mengadu mengenai sikap tuannya yang sudah lama menggunakannya untuk bekerja, tetapi kurang memberikannya makanan. Lelaki itu insaf dan sedar. Benar apa yang Baginda saw sabdakan: "Sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah" (HR at-Tabrani)
♡Semoga kita beroleh rahmat dan syafaat Rasulullah saw. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment