☆Tadabbur Kalamullah 14 Rabiul Akhir 1446H☆
مَنۡ عَمِلَ صَـٰلِحࣰا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَلَنُحۡیِیَنَّهُۥ حَیَوٰةࣰ طَیِّبَةࣰۖ وَلَنَجۡزِیَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ
"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan" [Surah an-Naḥl 97]
#Para ahli tafsir menyatakan bahawa ganjaran kehidupan yang baik yang dimaksudkan pada ayat di atas ialah sifat qanaah, seperti yang diriwayatkan daripada Sayidina Ali bin Abi Thalib r.a, Sayidina Ibnu Abbas r.a, Hasan al-Basri, Wahab bin Munabbih, dan Zaid bin Wahb rahimahumullah. (Lihat: Tafsir al-Qurthubi)
#Imam Hasan al-Basri rahimahullah berkata mengenai firman Allah swt ini: "Seseorang itu akan dianugerahkan sifat qanaah, yang dengannya hatinya akan merasai kenikmatan" (Lihat: Tarikh Dimasyq Li Ibn ‘Asakir)
#Ketahuilah, antara asas utama kebahagiaan seseorang adalah memiliki sifat qanaah, iaitu sikap menerima dan redha dengan segala nikmat yang Allah swt berikan kepadanya tanpa membandingkannya dengan apa yang diberikan kepada orang lain.
#Kehidupan setiap Muslim itu adalah berbeza-beza. Ada yang diberi harta yang banyak, ada yang diberi harta yang sedikit, dan ada yang sederhana. Namun, apabila seseorang itu mempunyai sifat qanaah iaitu merasa berkecukupan, maka dia akan merasakan kebahagiaan.
#Oleh itu, jangan beranggapan bahawa ukuran kehidupan yang baik dan kebahagiaan adalah dengan memiliki banyak harta, kerana kekayaan tidak menjamin kebahagiaan. Inilah yang pernah di sabdakan oleh baginda saw:
لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
"Kekayaan bukanlah disebabkan oleh banyaknya harta, tetapi hakikat kekayaan itu adalah kekayaan hati (qanaah)" (HR al-Bukhari)
#Apabila seseorang telah mencapai sifat qanaah, maka dia akan merasai kebahagiaan, kerana dia akan sentiasa merasa puas dan cukup dengan segala yang Allah swt anugerahkan kepadanya, baik banyak ataupun sedikit. Sebaliknya, jika sifat qanaah tidak ada dalam hati seseorang, dia akan merasakan hidup dalam kesengsaraan, kerana dia tidak akan pernah merasa cukup, walaupun Allah swt telah memberikan banyak kenikmatan kepadanya.
#Sesiapa memiliki sifat qanaah, dia akan mendapat beberapa kenikmatan, iaitu:
1. Dia akan merasa bahagia, kerana sentiasa bersyukur atas segala pemberian Allah swt kepadanya.
2. Dia tidak akan ada perasaan dengki terhadap orang lain yang mendapat nikmat, malah dia akan mendoakan keberkatan kepada orang tersebut.
3. Dia akan redha dengan apa yang Allah swt berikan kepadanya dan kepada orang lain.
♡Ingatlah bahawa syarat utama untuk memiliki sifat qanaah, hendaklah seseorang itu beriman kepada Allah swt dan sentiasa merasa cukup serta redha akan segala bentuk pemberian dariNya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment