☆Tadabbur Kalamullah 15 Rabiul Akhir 1446H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوۤا۟ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِیسَى ٱبۡنُ مَرۡیَمَ لِلۡحَوَارِیِّـۧنَ مَنۡ أَنصَارِیۤ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِیُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِۖ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong- penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" [Surah aṣ-Ṣaff 14]
#Allah swt memerintahkan kita semua agar menjadi pembela agama Allah disamping berjuang mendaulatkan agama Allah swt dibumi ini.
#Diriwayatkan bahawa Sayidina Hamzah r.a tidak menerima dakwah Nabi saw daripada awal. Bukan kerana benci, tetapi tidak mahu mempedulikan hal-hal rumit sedemikian. Beliau lebih suka menghabiskan masa dengan minatnya memburu. Walaupun tahu apa yang berlaku, beliau langsung tidak mengendahkan seruan Nabi untuk beriman dan bersama Islam. Sehinggalah pada suatu hari, ketika beliau pulang dari memburu, datang seorang lelaki mengadu tentang apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal terhadap anak saudaranya nabi Muhammad saw. Sayidina Hamzah bertanya adakah ada lagi orang lain melakukan perkara sama? Jawab lelaki itu, ya, bahkan ramai. Sayidina Hamzah menjadi marah tiba-tiba. Beliau terus meluru ke Safa, tempat biasa Abu Jahal berkumpul bersama konco-konconya. Tanpa apa-apa mukaddimah, beliau terus menerpa ke arah Abu Jahal dan menghentak kepala Abu Jahal dengan busur yang ada di tangannya, menyebabkan kepala Abu Jahal koyak dan berdarah. Sayidina Hamzah kemudian melaungkan: "Hari ini aku umumkan bahawa aku telah memeluk Islam! Kalau ada sesiapa berani membuat aku kembali berpaling dari Islam, cubalah!" Namun tiada siapapun yang berani menyentuh Sayidina Hamzah.
#Dalam masa yang pantas, tersebarlah berita keislaman Sayidina Hamzah ke seluruh kota Mekah. Ia menjadi tamparan hebat dan malapetaka besar buat orang musyrikin. Adapun bagi orang Islam, ia adalah satu rahmat yang cukup besar. Bagi mereka, tiadalah hari-hari yang lebih menggembirakan ketika di Mekah melainkan dua hari; hari Islamnya Sayidina Umar bin al-Khattab dan hari Islamnya Sayidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Kedua mereka juga begitu teruja selepas memeluk Islam. Pernah mereka menyuarakan hasrat kepada Rasulullah saw untuk keluar ke hadapan Kaabah secara terang-terangan bersama Rasulullah, dan solat di hadapan Baitullah disaksikan oleh semua penduduk Mekah. Nabi saw bersetuju lalu keluarlah mereka bertiga ke Baitullah. Baginda berjalan penuh haibah bersama dua orang pengawalnya. Seorang di hadapan baginda dan seorang di belakang.
Sampai di hadapan Kaabah, mereka menunaikan solat dengan tenang tanpa diganggu sesiapa. Setelah selesai mereka berjalan pulang ke rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Mata para musyrikin memerhatikan setiap tindak-tanduk mereka, dengan hati yang panas membara dan penuh dendam, tetapi tidak berani berbuat apa-apa. Tidak lama selepas itu, Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah. Kesemua orang Islam berhijrah dalam keadaan sembunyi dan berkumpulan, kerana bimbang ancaman musyrikin. Tetapi ada tiga orang sengaja berhijrah secara terangan, bagai mencabar keberanian musyrikin. Mereka adalah Sayidina Umar, Sayidina Hamzah dan Sayidina Zubair bin al-Awwam. Sekali lagi musyrikin hanya berani melihat tanpa bertindak apa-apa.
#Ketika perang Badar, Sayidina Hamzah antara pahlawan terulung yang sangat digeruni musyrikin Quraisy. Beliau sengaja meletakkan tanda merah di dadanya, supaya dikenali oleh semua musuh. Ramai cuba membunuhnya, tetapi semuanya menemui ajal di hujung mata pedang Hamzah. Dalam Perang Uhud, kepahlawanannya juga mengujakan. Ketika umat Islam dalam keadaan kelam kabut setelah diserang hendap dari belakang, Sayidina Hamzah bersuara lantang: "Aku singa Allah dan singa Rasulullah. Aku berlepas diri apa yang dilakukan oleh musyrikin.
Dan aku memohon ampun dari apa yang dilakukan oleh orang Islam (berpecah dari Nabi)". Beliau kemudian meluru ke arah musuh, menghayunkan pedang kiri dan kanan, terus maju tanpa mundur, dan akhirnya rebah menemui syahid diserang hendap oleh seorang bernama Wahsyi.
♡Hebatnya mereka dalam membela Islam. Ayuh, pastikan kita salah sorang daripada hamba Allah yang menjadi pembela agamaNya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment