☆Tadabbur Kalamullah 8 Rabiul Akhir 1446H☆
وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِینَ لَهُ ٱلدِّینَ حُنَفَاۤءَ وَیُقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَ ٰلِكَ دِینُ ٱلۡقَیِّمَةِ
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar" [Surah al-Bayyinah 5]
#Ikhlas ialah menghendaki keredhaan Allah swt dalam suatu amal, membersihkannya dari segala individu mahupun duniawi. Tidak ada yang melatarbelakangi suatu amal, kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat. Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal, seperti kecenderungan kepada dunia untuk diri sendiri, baik yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan, atau kerana mencari harta rampasan perang, atau agar dikatakan sebagai pemberani ketika perang, kerana syahwat, kedudukan, harta benda, kemasyhuran, agar mendapat tempat di hati orang banyak, mendapat sanjungan tertentu, kerana kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain yang tidak terpuji; yang intinya bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu; maka semua ini merupakan noda yang mengotori keikhlasan.
#Allah swt berfirman:
قُلْ إِنْ تُخْفُوا مَا فِي صُدُورِكُمْ أَوْ تُبْدُوهُ يَعْلَمْهُ اللَّهُ
Katakanlah: "Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui" [Surah Aali Imran 29]
#Mewujudkan ikhlas bukan pekerjaan yang mudah. Para ulamak yang telah meniti jalan kepada Allah telah menegaskan sulitnya ikhlas dan beratnya mewujudkan ikhlas di dalam hati, kecuali orang yang memang dimudahkan Allah.
#Imam Sufyan as-Tsauri rahimahullah berkata: "Tidaklah aku mengubati sesuatu yang lebih berat daripada mengubati niatku, sebab ia sentiasa berbolak-balik pada diriku" (Lihat: al-Majmu’ Syarhul Muhazzab)
#Kerana itulah Rasulullah saw berdoa:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِكَ
"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamaMu".
Lalu seorang sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa kepada kami?" Baginda saw menjawab: "Ya, kerana sesungguhnya seluruh hati manusia di antara dua jari tangan Allah (dalam kekuasaan Allah), dan Allah membolak-balikan hati sekehendakNya" (HR Ahmad, al-Hakim dan at-Tirmizi)
#Berkata Yahya bin Abi Katsir rahimahullah: "Belajarlah niat, kerana niat lebih penting daripada amal".
#Dikisahkan ada seorang alim yang selalu solat di saf paling depan. Suatu hari ia datang terlambat, maka ia dapat solat di saf kedua. Di dalam hatinya timbul rasa malu kepada para jamaah lain yang melihatnya. Maka pada saat itulah, dia menyrdari bahawa sebenarnya kesenangan dan ketenangan hatinya ketika solat di saf pertama pada hari-hari sebelumnya disebabkan kerana ingin dilihat orang lain".
#Sulitnya mewujudkan ikhlas di dalam hati, disebabkan hati manusia selalu berbolak-balik. Syaitan selalu menggoda, menghiasi dan memberikan perasaan was-was ke dalam hati manusia, serta adanya dorongan hawa nafsu yang selalu menyuruh berbuat jahat. Disebabkan itu, kita diperintahkan berlindung dari godaan syaitan agar hati kekal ikhlas. Allah berfirman:
وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah al-A’raf 200]
♡Bersungguh-sungguhlah beribadah dan melaksanakan amal ketaatan hanya kerana Allah swt semata-mata disamping berdoa agar Allah swt tetapkan hati kita dalam keikhlasan♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment