☆Tadabbur Kalamullah 6 Rabiul Akhir 1446H☆
شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah Aali ‘Imran 18]
#Allah swt mengatakan dalam ayat ini bahawa seorang alim memiliki kedudukan dan kelebihan yang tinggi.
#Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah mengatakan: "Dalam ayat tersebut Allah swt telah menjadikan orang berilmu (ulul ‘ilmi) sebagai saksi terhadap seagung-agung perkara yang dipersaksikan iaitu ketauhidanNya. Ini menunjukkan kelebihan ilmu dan ahlinya" (Lihat: Miftah Dar al-Sa’adah)
#Baginda saw telah mempersaksikan bahawa para ulamak adalah golongan yang mewarisi ilmu dan pusaka para Anbiyak. Sabda Baginda saw:
فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ
"Kelebihan orang alim ke atas seorang yang beribadat itu umpama kelebihan bulan purnama ke atas sekalian bintang-bintang. Sesungguhnya para ulamak itu adalah pewaris para Nabi" (HR Ibn Hibban)
#Allah swt telah berfirman dalam ayat yang lain menyatakan tentang kemuliaan serta kelebihan ahli ilmu.
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)" [Surah at-Taubah 122]
#Ayat ini menjelaskan bahawa mendalami ilmu agama sehingga menjadi alim atau faqih merupakan fardu kifayah kepada sebahagian umat Islam. Tidak seharusnya seluruh umat Islam dikerah untuk berjihad sehingga tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjadi faqih atau alim dalam permasalahan agama.
#Bahkan diharapkan agar ahli agama dan ahli ilmu menjadi benteng dalam mempertahankan dan mengekalkan ketulenan agama ini. Sabda Rasulullah saw:
يَرِثُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ, يَنْفُونَ عَنْهُ تَأْوِيلَ الْجَاهِلِينَ, وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ, وَتَحْرِيفَ الْغَالِينَ
"Akan membawa ilmu (agama) ini dari setiap generasi orang-orang yang adil (terpercaya) dari mereka, (dan) mereka akan membersihkan ilmu agama dari (upaya) at-tahriif (menyelewengkan kebenaran/merubah kebenaran dengan kebatilan) dari orang-orang yang melampaui batas, kedustaan dari orang-orang yang ingin merusak (syariat Islam) dan pentakwilan dari orang-orang yang bodoh" (HR al-Baihaqi)
#Sayidina Muaz Ibn Jabal r.a telah berkata: "Hendaklah engkau sentiasa mendampingi ilmu, kerana menuntutnya adalah suatu ibadah, mengetahuinya akan menjadi engkau takut (pada Allah), mencarinya adalah satu jihad, mengajarkan kepada orang yang tidak tahu adalah sedekah, menghafalnya adalah tasbih, dengannya engkau kenali Allah lalu menyembahnya, dengannya engkau mengagungkanNya serta mengEsakanNya. Allah juga memuliakan orang yang berilmu itu lalu menjadikannya pemimpin kepada manusia lain" (Lihat: Jami' Bayan al-'Ilmi wa Fadhlihi oleh al-Qurtubi)
♡Jadilah orang yang berilmu. Jadilah pejuang yang berilmu. Jadilah pendakwah yang berilmu. Jadilah ahli ibadah yang berilmu. Jadilah hamba Allah yang berilmu dan beramal♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment