Friday, 4 October 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 2 Rabiul Akhir 1446H☆


إِنَّ ٱللَّهَ یَرۡزُقُ مَن یَشَاۤءُ بِغَیۡرِ حِسَابٍ 


"Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa batasan" [Surah Āali-ʿImrān 37]


#Rezeki bukan sahaja minuman, makanan, harta, kenderaan dan segala rupa bentuk kebendaan semata, rezeki juga berupa iman, ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan, kegembiraan dan seumpamanya. 


#Berkata Syeikh Abdurrahman Nasir as-Sa'diy rahimahullah:


الـرزق الـدنيـوي يحصـل للـمؤمن والـكـافـر، وأمـا رزق الـقلـوب مـن العلـم والإيمـان، ومـحبـة الله وخـشيتـه ورجـائـه، ونـحـو ذلك، فـلا يـعطيهـا إلا مـن يحـب


"Rezeki duniawi diberikan baik kepada orang mukmin mahupun orang kafir. Adapun rezeki bagi hati yang berupa ilmu dan iman, rasa cinta kepada Allah, takut dan berharap kepadaNya dan seumpamanya, tidaklah diberikan kecuali kepada orang yang dicintaiNya sahaja".


#Allah swt menciptakan makhlukNya di atas muka bumi ini dan mengurniakan setiap makhluk rezeki daripada pelbagai bentuk. Allah swt tidak sekali-kali membiarkan makhlukNya hidup tanpa kurniaan rezeki. Allah swt mengurniakan rezeki yang banyak kepada hambaNya sama ada manusia itu beriman ataupun sebaliknya.


#Kata Qatadah: "Kamu akan jumpa seorang lelaki lemah, tidak petah berkata-kata sedangkan rezekinya luas. Kamu juga akan jumpa seorang yang kuat usahanya, petah berkata-kata sedangkan sempit rezekinya". Ini kerana, ketahuilah bahawa rezeki itu pembahagian dari Allah swt sesuai mengikut kehendakNya, bukan mengikut kehendak makhluk. 


#Namun, rezeki ukhrawi berupa ilmu, iman, cintakan Allah, serta takut dan harap padaNya hanya dikurniakan kepada insan yang dicintaiNya. 


یُؤۡتِی ٱلۡحِكۡمَةَ مَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِیَ خَیۡرࣰا كَثِیرࣰاۗ وَمَا یَذَّكَّرُ إِلَّاۤ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ 


"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya" [Surah al-Baqarah 269]


#Maka, sesiapa yang diberi rezeki ilmu yang berguna dan iman yang sempurna oleh Allah swt serta diberi rezeki mencintai Allah swt, sesungguhnya orang itu mendapat sebaik-baik rezeki serta kebaikan di dunia dan akhirat. 


#Hayati kisah dibawah ini agar bertambah kesyukuran kita atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita:


Diceritakan bahawa seorang miskin datang mengadu kepada seorang ilmuwan bahawa Tuhan tidak merezekikan dia apa-apa. 


Lalu ilmuwan itu bertanya: "Mahukah engkau menjual tanganmu dengan harta seratus ribu?" 


Dia menjawab:" Tidak". 


Ditanya lagi: "Mahukah engkau menjual pendengaranmu dengan harta seratus ribu?". 


Jawabnya: "Tidak" . 


Kemudian ditanya mata, kaki dan seterusnya. Akhirnya, kata ilmuwan itu menghitung segalanya dan berkata: "Engkau sebenarnya mempunyai aset yang berjuta harganya. Tunaikanlah kesyukuran kepada Tuhanmu".

♡Rezeki yang paling bernilai ialah direzekikan ilmu, iman, taqwa dan kekuatan beramal soleh, disamping rezeki kesihatan dan kebahagiaan hidup. Bersyukurlah atas segala nikmat rezeki yang dikurniakan Allah dengan kesungguhan mentaatiNya♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...