Pemimpin Menghayati Kesusahan Rakyat
===========
1. Sifat Rasulullah yang selalu menghayati kesusahan rakyat telah dipraktikkan oleh Saidina Umar sendiri. Menurut Saidina Anas bin Malik, ketika zaman pemerintahan Saidina Umar, harga barangan telah naik mendadak sehingga Umar sendiri membeli roti yang biasa dibeli oleh rakyat bagi menghayati kesusahan mereka. Kata Anas:
غلا الطعام على عهد عمرَ بنِ الخطاب، فأكل عمر خبز الشعير، وكان قبل ذلك لا يأكله، فاستنكره بطنُه فصوَّت، فضربه بيده وقال: هو والله كما ترى؛ يوسع الله على المسلمين
“Harga barang telah menjadi mahal ketika zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab. Lalu Umar hanya memakan roti yang diperbuat dari gandum gred rendah. Sebelum itu beliau tidak pernah makan makanan sedemikian sehingga menyebabkan perutnya sendiri berbunyi, lalu dia memukul perutnya dengan tangannya dan berkata: Demi Allah, ini semua adalah seperti yang kamu lihat, mudah-mudahan Allah melapangkan urusan kaum muslimin. (al-Tartushi, Siraj al-Muluk).
2. Perhatikan bagaimana sikap Rasulullah dan para pemimpin Muslim terdahulu menghayati kesusahan rakyat. Mereka tahu harga barangan naik lalu mereka sendiri mengubah aspek kehidupan mereka. Mereka tidak bermewahan bahkan mengurangkan perbelanjaan yang boleh membantu rakyat.
3. Mereka sendiri membantu rakyat yang memerlukan. Saidina Umar dikatakan akan pergi ke persisiran luar (perkampungan luar) dan memerhatikan andai ada golongan pekerja yang melakukan kerja yang berat agar beliau boleh memudahkan kerja tersebut. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam Malik yang menyebutkan:
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ كَانَ يَذْهَبُ إِلَى الْعَوَالِي كُلَّ يَوْمِ سَبْتٍ. فَإِذَا وَجَدَ عَبْداً فِي عَمَلٍ لاَ يُطِيقُهُ، وَضَعَ عَنْهُ مِنْهُ
“Sesungguhnya Umar bin al-Khattab akan pergi ke perkampungan luar Madinah pada setiap hari Sabtu. Beliau akan memerhatikan sekiranya ada hamba yang bekerja lebih dari kemampuannya, maka Umar akan mengurangkan bebanan kerja tersebut.” (al-Muwatta, no: 3594)
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
No comments:
Post a Comment