☆Tadabbur Kalamullah 2 Jamadil Awwal 1446H☆
وَإِنَّ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ لَمَن یُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكُمۡ وَمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡهِمۡ خَـٰشِعِینَ لِلَّهِ لَا یَشۡتَرُونَ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِ ثَمَنࣰا قَلِیلًاۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِیعُ ٱلۡحِسَابِ
"Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya" [Surah Āali-ʿImrān 199]
#Berkata Prof. Hamka: "Ayat ini berkenaan kisah Raja an-Najasyi Ashamah yang telah meninggal dunia. Sebelum beliau meninggal, beliau sempat memeluk Islam dan Nabi saw memberi arahan agar disolatkan jenazah ke atas beliau secara solat ghaib. Maka turunlah ayat ini ketika mana para sahabat sedang dalam keraguan, yang mana menjelaskan berkenaan adanya ahli kitab yang beriman kepada Allah swt, beriman kepada Nabi Muhammad saw serta al-Quran dan kepada pegangan asal mereka sendiri iaitu ajaran Nabi Isa Alaihissalam" (Lihat: Tafsir al-Azhar)
#Allah swt ingatkan kita tentang adanya ahli kitab yang beriman kepada Allah swt dan ada yang baik supaya kita tidak lupa. Bukanlah semua mereka orang yang jahat. Jangan kita pukul mereka semua sama rata dengan mengatakan mereka semuanya jahat dan menentang Allah dan Rasul.
#Memang telah banyak disebutkan bahawa ramai dari kalangan mereka yang cuba hendak menjatuhkan Islam. Tetapi secara umum, pintu dan ruang untuk mereka masuk Islam sentiasa terbuka. Asalkan mahu beriman, maka diterima keimanan mereka. Bukanlah asal nama sahaja Ahli Kitab, terus mereka semua dimurkai dan dilaknat.
#Walaupun mereka Ahli Kitab, ada dari kalangan mereka yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw iaitu al-Quran. Dari zaman Nabi saw, hinggalah zaman sekarang, ada sahaja golongan Ahli Kitab yang beriman dengan al-Quran. Biasanya mereka mengkaji agama kerana mereka tercari-cari agama apakah yang sebenar. Akhirnya, kerana mereka memang mahukan kebenaran, maka Allah swt telah temukan mereka dengan al-Quran. Setelah mereka mengkaji al-Quran, akhirnya mereka mengakui kebenaran dan kehebatan al-Quran serta beriman kepada Allah swt.
#Hal ini kerana sebelum itu mereka telah beriman dengan kitab-kitab suci yang diturunkan untuk mereka seperti Taurat dan Injil. Mereka telah membaca dan mereka telah beriman dengan perkara-perkara akidah yang disampaikan di dalamnya.
Inilah kelebihan Ahli Kitab. Mereka beriman dengan dua Kitab. Kelebihan ini tidak ada pada kita, kerana kita hanya beriman dengan satu kitab sahaja.
#Oleh kerana itu, mereka tidak akan rugi kalau mereka memeluk agama Islam. Malah mereka akan dapat lebih lagi daripada orang lain.
#Firman Allah swt:
فَإِنْ ءَامَنُوا۟ بِمِثْلِ مَآ ءَامَنتُم بِهِۦ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا هُمْ فِى شِقَاقٍ ۖ فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
"Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah al-Baqarah 137]
♡Ahli Kitab yang beriman dan benar-benar taat mengerjakan ibadah kepada Allah swt, tidak menyembunyikan kebenaran, mereka akan mendapat kedudukan dan keuntungan yang tinggi dan akan beroleh ganjaran syurga kelak♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment