Friday, 1 November 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 30 Rabiul Akhir 1446H☆


لَا یَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ فِی ٱلۡبِلَـٰدِ * مَتَـٰعࣱ قَلِیلࣱ ثُمَّ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ 


"Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan" [Surah Āali-ʿImrān 196-197]


#Allah swt mengingatkan Nabi saw dan umat Islam agar jangan terpesona dengan bebasnya orang kafir itu bergerak di dunia ini dalam mengumpulkan harta. Mereka dilihat banyak mengumpul harta dan kekayaan dan boleh buat apa-apa dan pergi ke sana sini. Jangan terpesona dengan apa yang mereka ada dan bebasnya mereka kerana mereka tidak akan berjaya dan beroleh sebarang kebahagiaan bahkan mereka akan berdepan kesengsaraan. 


#Jangan sesekali umat Islam terpesona sehingga terikut jadi macam mereka pula. Sebagai orang Islam, kita boleh mencari harta dan kekayaan tetapi hendaklah melakukan infak dan membayar zakat serta melakukan kebajikan. 


وَأَنفِقُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ 


"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" [Surah al-Baqarah 195]


#Orang kafir memang nampak macam senang sahaja di dunia ini. Mereka ada kekayaan, ada kuasa, ada kesenangan hidup dan sebagainya. Tengoklah bagaimana kayanya orang-orang Yahudi dan Kristian di dunia ini. Tapi jangan terpesona dengan kesenangan hidup mereka. Mereka senang di dunia sahaja dan akan merana di akhirat kelak.


#Ketahuilah, kesenangan yang mereka ada itu hanya sementara sahaja. Sudahlah sementara, ianya sikit sahaja. Allah memaklumkan kita, apa sahaja kesenangan yang mereka ada itu sikit sahaja. Mungkin kita nampak mereka senang, tapi kesenangan yang mereka rasa itu hanya sementara dan sedikit sahaja.


#Akhirnya, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam. Lafaz الْمِهَادُ asalnya bermaksud pelukan ibu. Sepatutnya pelukan ibu adalah tempat yang amat menyenangkan bagi seorang bayi, dia akan rasa tenang dan dapat tidur dengan nyenyak dalam pelukan ibunya.

Tetapi Allah swt gunakan perkataan itu dalam nada mengejek dalam ayat ini. Kerana sebenarnya, mereka tidak akan tenang langsung di neraka nanti. 


#Apa guna kesenangan yang sementara di dunia kalau akhirnya akan kekal di dalam azab neraka yang menyala-nyala selama-lamanya?


إِنَّ ٱللَّهَ لَعَنَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ وَأَعَدَّ لَهُمۡ سَعِیرًا * خَـٰلِدِینَ فِیهَاۤ أَبَدࣰاۖ لَّا یَجِدُونَ وَلِیࣰّا وَلَا نَصِیرࣰا 


"Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang. Kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh sesiapapun yang akan menjadi pelindung atau penolong" [Surah al-Aḥzāb 64-65]


♡Sebagai orang Islam, kita kena banyakkan infak untuk menjalankan jihad di jalan Allah, membantu orang yang memerlukan dan membantu gerak kerja kebajikan. Kita perlu tahu bahawa infak itu adalah untuk kebaikan kita kerana infak itu akan menjadi harta kita yang sebenarnya di akhirat kelak dalam bentuk ganjaran pahala dan kebahagiaan yang sebenar. Jangan terpedaya dengan kesenangan yang sedikit dan sementara!!♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

 [26/7/25, 21:35:14] KSC Hamidi: (A'uzubi izzatillah wakudratihi min syarrima Ajidu waa u'haadzir) [26/7/25, 21:35:47] KSC Hamidi: (...