☆Tadabbur Kalamullah 1 Jamadil Akhir 1446H☆
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya" [Surah At-Talaq 2-3]
#Dalam ayat ini diterangkan bahawa Allah swt akan menghilangkan bahaya dan memberikan jalan keluar bagi orang yang benar-benar bertakwa padaNya. Allah swt akan mendatangkan padanya berbagai manfaat berupa dimudahkannya rezeki. Rezeki adalah segala sesuatu yang dapat dinikmati oleh manusia. Rezeki yang dimaksud di sini adalah rezeki dunia dan akhirat.
#Begitulah sebaliknya, bagi orang yang tiada takwa maka akan dipersulitkan kehidupan dan segala urusannya.
#Berkata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah: "Kesulitan yang menimpa seseorang sering kali terlihat dalam urusan-urusannya yang menjadi serba sulit. Setiap kali dia mencuba menghadapi suatu perkara, ia mendapati jalannya tertutup atau penuh kesulitan. Sebagaimana orang yang bertakwa kepada Allah akan dimudahkan dalam urusannya, maka siapa yang meninggalkan takwa akan mendapati urusannya menjadi sulit. Sungguh menghairankan! Bagaimana seorang hamba dapat merasakan bahawa pintu-pintu kebaikan dan kemaslahatan tertutup baginya, serta jalannya terasa penuh kesulitan, namun ia tidak menyedari dari mana asal kesulitan itu datang?" (Lihat: Ad-Daa’ wa Ad-Dawaa')
#Takwa pembuka jalan kesenangan dan kelapangan. Dosa, maksiat, kelalaian dan kejahatan penyebab kesulitan, kepayahan, disulitkan rezeki dan kehilangan keberkatan.
#Ibnul Qayyim rahimahullah berkata lagi:
وَكَمَا أَنَّ تَقْوَى اللَّهِ مَجْلَبَةٌ لِلرِّزْقِ فَتَرْكُ التَّقْوَى مَجْلَبَةٌ لِلْفَقْرِ، فَمَا اسْتُجْلِبَ رِزْقُ اللَّهِ بِمِثْلِ تَرْكِ الْمَعَاصِ
"Takwa kepada Allah menjadi kunci pembuka pintu rezeki, sedangkan lalai dalam takwa dapat mengundang kefakiran. Rezeki hanya akan mengalir ketika seseorang menjauhi segala bentuk maksiat"
#Ketahuilah, orang yang bertakwa, Allah memberi rezeki pada mereka dari jalan yang tidak disangka-sangka. Rezekinya tidak mungkin diperoleh dengan cara-cara yang haram, juga tidak mungkin rezeki mereka dari jalan yang kotor-kotor. Perlu diketahui bahawa orang yang bertakwa tidak mungkin dihalangi dari rezeki yang ia perlukan. Ia hanya dihalangi dari harta benda dunia yang berlebihan sebagai rahmat dan kebaikan padanya. Ini kerana, boleh jadi jika diluaskannya rezeki, akan membahayakan dirinya. Sedangkan disempitkannya rezeki malah mungkin sebagai rahmat baginya. Hal ini berbeza dengan keadaan manusia yang tiada takwa sebagaimana yang Allah ceritakan:
فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ * وَأَمَّا إذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ *كُلًّا
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian)" [Surah al-Fajr 15-17]
#Sebenarnya tidak demikian. Belum tentu orang yang diluaskan rezekinya, itu bererti dia dimuliakan. Sebaliknya orang yang disempitkan rezekinya, belum tentu dia dihinakan. Bahkan boleh jadi seseorang dilapangkan rezeki baginya hanya sebagai istidraj (agar ia semakin terlena dengan maksiatnya). Begitu pula boleh jadi seseorang disempitkan rezekinya untuk melindungi dirinya dari bahaya. Sedangkan jika ada orang yang soleh yang disempitkan rezekinya, boleh jadi itu kerana sebab dosa-dosa yang ia lakukan.
♡Jadilah hambaNya yang bertakwa, moga Allah permudahkan segala urusan kita dunia akhirat. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment