☆Tadabbur Kalamullah 2 Jamadil Akhir 1446H☆
كُلُّ مَنۡ عَلَیۡهَا فَانࣲ * وَیَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَـٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ
"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan" [Surah ar-Raḥmān 26-27]
#Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili rahimahullah berkata: "Semua apa yang ada di bumi mulai dari manusia hingga semua makhluk hidup yang ada, begitu juga para penduduk langit kecuali makhluk yang dikehendaki oleh Allah swt, seluruhnya akan binasa, fana dan mati. Kehidupan mereka semua akan berakhir. Tiada yang kekal kecuali hanya Zat Allah swt yang memiliki Keagungan dan Kebesaran. Kefanaan dan kebinasaan adalah sebuah keyakinan dan hal yang pasti bagi seluruh makhluk di langit dan bumi pada hari Kiamat" (Lihat: al-Tafsir al-Munir)
#Imam Ibn Kathir rahimahullah mengatakan: "Allah swt mengkhabarkan bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah swt" (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim)
#Ayat ini mengisbatkan sifat kemuliaan dan kesempurnaan bagi Allah yang kekal abadi tidak mati selama-lamanya. Makhluk lain yang bernyawa semuanya akan mati termasuk malaikat maut, semua malaikat dan iblis yang pernah minta ditangguhkan kematiannya sebelum ini.
#Sesungguhnya para malaikat juga akan mengalami kematian dan inilah pendapat majoriti ulamak. (Lihat: Faidhul Qadir)
#Imam as-Suyuti rahimahullah berkata: Aku ditanya, adakah para malaikat akan mati ketika tiupan sangkakala? Jawabnya: Ya. Allah swt berfirman:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ
"Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah)".
Kami (Imam as-Suyuti) telah jelaskan bahawa yang dikecualikan adalah Malaikat Pembawa Arasy, Jibril, Israfil, Mikail dan Malaikat pencabut nyawa, mereka semua akan mati setelah itu. Dan telah disebutkan daripada Wahb bin Munabbih bahawa malaikat-malaikat tersebut adalah makhluk yang pertama kali diciptakan dan yang terakhir dimatikan serta yang pertama kali dibangkitkan. Kemudian dikuatkan perkataannya tersebut dengan nas (dalil) akan kematian penduduk langit dan bumi, sehingga malaikat Jibril, Israfil, pembawa Arasy kemudian yang terakhir adalah malaikat pencabut nyawa" (Lihat: al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik)
#Jin juga akan mengalami kematian sepertimana manusia menghadapi mati. Firman Allah swt:
أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ
"Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka - dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi" [Surah al-Ahqaf 18]
#Imam al-Alusi berkata: Berdalilkan firman Allah swt “فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ” (bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka), maka jin juga mati daripada satu kurun kepada satu kurun sepertimana manusia" (Lihat: Ruh al-Ma’ani)
#Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Ayat di atas menjadi dalil bahawa jin juga mati" (Lihat: al-Fatawa al-Hadithiyyah)
#Allah nyatakan bahawa semua yang ada di atas muka bumi ini akan hancur binasa, akan mati samada manusia, jin, malaikat, Iblis serta semua makhluk lain tidak akan ada yang kekal kecuali Allah swt sahaja.
♡Kita semua pasti akan mati, maka pastikan kita menyiapkan bekalan amal soleh dan amal kebajikan sebanyak-banyaknya dan penuh kualiti. Semoga amalan kita semua tidak binasa dan diterima Allah swt. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment