Sunday, 23 February 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 25 Syaaban 1446H☆


وَإِن یُكَذِّبُوكَ فَقَدۡ كُذِّبَتۡ رُسُلࣱ مِّن قَبۡلِكَۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ 


"Dan jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad), maka sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu sebelummu telah juga didustakan (oleh kaumnya masing-masing). Dan (Ingatlah), kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" [Surah Faṭir 4]


#Ayat ini berkaitan pujukan Allah swt kepada NabiNya yang tercinta agar jangan bersedih hati. Ini adalah kerana baginda saw amat sedih dan terkilan apabila seruan dakwah agar manusia beriman kepada Allah swt ditolak bahkan dicemuh dan dimusuhi. Bukan sahaja ajaran yang dibawa baginda ditolak, malah baginda sendiri dihina, dimaki, dikecam, difitnah, disakiti dan dituduh dengan pelbagai tuduhan.


#Allah memaklumkan kepada baginda saw bahawa penolakan dakwah itu adalah perkara biasa dan tidak perlu rasa pelik. Ini kerana para Nabi dan Rasul sebelum baginda pun didustakan. Bukanlah baginda orang yang pertama yang ditolak dakwah. Tetapi para Rasul sebelum bukan hanya dakwah ditolak, bahkan ada yang disakiti dan dibunuh. 


أَفَكُلَّمَا جَاۤءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰۤ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِیقࣰا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِیقࣰا تَقۡتُلُونَ 


"Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?" [Surah al-Baqarah 87]


#Maka kalau begitu tidaklah perlu terlalu bersedih hati dan terkilan tatkala dakwah ditolak. Itu adalah lumrah dalam dakwah dan perjuangan mengajak manusia kepada kebenaran. 


#Maka ayat ini juga untuk semua pendakwah dan pejuang. Janganlah sedih dan patah hati apabila dakwah dan ajakan kepada kebaikan ditolak oleh kebanyakan manusia. Ini biasa sahaja kerana para pejuang kebenaran sejak dahulu lagi memang ditolak seruannya. Namun, mereka tidak putus asa dan tetap istiqamah menyebarkan dakwah dan kebenaran. Bukan semua yang diseru boleh menerimanya, malah pasti ada yang menentang. Yang penting, jangan putus asa. Jangan tinggalkan Allah. Sandarkan semua pada Allah dan ikhlaskan hati. 


#Kita tidak perlu bersedih jika kita telah melakukan kewajipan berdakwah. Ini bererti para pendakwah tersebut  telah bebas dari tanggungan dan perhitungan hisabnya tatkala kembali kepada Allah suatu hari nanti. 


لَّسۡتَ عَلَیۡهِم بِمُصَیۡطِرٍ * إِلَّا مَن تَوَلَّىٰ وَكَفَرَ * فَیُعَذِّبُهُ ٱللَّهُ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَكۡبَرَ   


"Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar, maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya" [Surah al-Ghashiyah 22-24]


#Walau apapun berlaku serahlah segalanya kepada Allah swt. 

 

وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ


"Dan (Ingatlah), kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" 

 

♡Wahai para pendakwah yang mengajak kepada Allah dengan jiwa yang tulus mengharapkan redha Ilahi, janganlah bersedih jika perkataanmu dicampakkan atau tidak diterima, kerana kamu telah menunaikan kewajipanmu. Teruskan perjuangan dan dakwah, moga petunjuk Allah untuk kita semua. Aamiiin♡


🐊Ust Naim

*Whatsapp Channel*

Klik link untuk join :

https://bit.ly/tadabburrkalamullah


*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...