☆Tadabbur Kalamullah 28 Syaaban 1446H☆
یَوۡمَ لَا یَنفَعُ مَالࣱ وَلَا بَنُونَ
"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun" [Surah ash-Shuʿarāʾ 88]
#Allah swt mengingatkan kita semua, bahawa pada hari kiamat kelak, kekayaan yang melimpah ruah di dunia dan juga anak yang banyak tidak dapat membantu dan menyelamatkan seseorang.
أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِۦ مِن مَّالٍۢ وَبَنِينَ * نُسَارِعُ لَهُمْ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ بَل لَّا يَشْعُرُونَ
"Adakah mereka menyangka bahawa harta benda dan anak pinak yang Kami berikan kepada mereka itu, bermaksud Kami menyegerakan pemberian kebaikan untuk mereka? Bukan begitu! Tetapi mereka tidak menyedari" [Surah al-Mu’minun 55-56]
#Sewaktu hidup di dunia, ramai manusia tersangat sayang dan cinta pada harta yang banyak dan anak pinak yang ramai. Mereka jadikan itu sebagai satu kebanggaan. Ketika di dunia, harta dan anak-anak itu memang bernilai kerana boleh membantu mereka dalam kehidupan dan menjana kekayaan. Namun, anak pinak dan harta juga adalah fitnah dan ujian pada pemiliknya hingga menyebabkan kesengsaraan.
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ مِنۡ أَزۡوَ ٰجِكُمۡ وَأَوۡلَـٰدِكُمۡ عَدُوࣰّا لَّكُمۡ فَٱحۡذَرُوهُمۡۚ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka..."
إِنَّمَاۤ أَمۡوَ ٰلُكُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةࣱۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥۤ أَجۡرٌ عَظِیمࣱ
"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar" [Surah At-Taghābun 14-15]
#Namun nanti di akhirat, harta dan anak itu tidak dapat menyelamatkan sesiapa pun jikalau mereka telah meninggalkan agama, menjauhi cara hidup beragama atau hidup terpesong daripada kehendak Allah swt. Ini memahamkan kita bahawa harta benda dan anak pinak itu tidak akan mendekatkan pemiliknya kepada Allah swt, melainkan mereka berusaha menjadikan anak mereka orang yang beriman dan anak yang soleh, serta membelanjakan harta yang diperolehi ke jalan yang diredhaiNya.
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
"Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya" (HR Muslim, an-Nasa’i, at-Tirmizi dan Abu Daud)
#Jika kita berusaha memanfaatkan harta dengan jalan zakat, sedekah, wakaf, dan digunakan di jalan fi sabilillah serta berusaha bersungguh-sungguh mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh, anak yang taat pada Allah, yang hidup berteraskan Islam serta menjadikan Rasulullah saw sebagai pedoman, maka ini dapat meninggikan kedudukan seseorang itu disisi Allah swt dan menyelamatkannya daripada azab dan kesengsaraan.
#Tetapi harta yang banyak dan anak yang ramai tetap tidak
dapat menyelamatkan seseorang jika mereka mengamalkan syirik, menderhakai Allah dan Rasul, bergelumang dengan kemungkaran serta hidup hanya kerana dunia semata-mata. Anak dan harta itu hanya bermanfaat kalau mereka ada tauhid dan ada iman.
♡Gunakan harta sebaik mungkin dengan disalurkan di jalan Allah dan jadikan anak kita anak soleh, InsyaAllah mereka akan berguna di mahsyar kelak bahkan sebagai penyelamat♡
🐊Ust Naim
*Whatsapp Channel*
Klik link untuk join :
https://bit.ly/tadabburrkalamullah
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment