☆Tadabbur Kalamullah 29 Syaaban 1446H☆
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu"
#Ayat ini menyebut bahawa terdapat segolongan orang beriman berdoa untuk generasi yang mendahului mereka di dalam iman.
#Kita digalakkan untuk mendoakan keampunan, kerahmatan dan kesejahteraan kepada orang yang telah mendahului kita bertemu Allah swt. Moga mereka diampuni dan dihimpunkan bersama hamba-hamba Allah yang beriman, bertaqwa dan soleh.
#Selain berdoa, bersedekah dan beristighfar untuk orang yang meninggal dunia, kita juga diharuskan untuk menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia.
#Antara sikap sebahagian ulamak dahulu ketika membaca kitab, mereka akan membaca beberapa ayat al-Quran, lalu mereka hadiahkan pahala bacaan al-Quran tersebut kepada penulis kitab. Berkata Imam Najmuddin Al-Tufi Al-Hanbali rahimahullah:
وَلَقَدْ طَالَمَا نَظَرْتُ فِي كُتُبِ الْفُضَلَاءِ، فَإِذَا رَأَيْتُ فَائِدَةً مُسْتَغْرَبَةً، أَوْ حَلَّ أَمْرٍ مُشْكِلٍ، أَقْرَأُ لِمُصَنِّفِ الْكِتَابِ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ، وَأَجْعَلُ لَهُ ثَوَابَهُ عَلَى مَذْهَبِنَا فِي ذَلِكَ، وَإِنْ كَانَ الْمُصَنِّفُ مِمَّنْ لَا يَعْتَقِدُ وُصُولَهُ، فَأَنَا أَرْجُو مِنَ النَّاسِ مِثْلَ ذَلِكَ، فَإِنَّهُ يُقَالُ: كَمَا تَكُونُوا يُوَلَّى عَلَيْكُمْ.
"Setiap kali aku menekuni kitab-kitab para ulamak yang mulia, dan aku mendapat faedah yang menakjubkan, atau kitab tersebut (terdapat padanya maklumat yang) menyelesaikan kemusykilanku, maka aku akan membacakan sedikit ayat-ayat Al-Quran kepada penulis kitab, dan aku hadiahkan pahala bacaan tersebut buat dirinya, berdasarkan pendapat mazhab kita (Al-Hanabilah) dalam isu tersebut. (Dan hal ini aku lakukan) meskipun penulis kitab itu dari kalangan mereka yang tidak berpendapat bahawa bacaan Al-Quran itu sampai (pahala bacaannya kepada orang yang telah meninggal dunia). Dan aku juga berharap, orang ramai dapat melakukan perkara yang sama (apabila membaca kitab-kitabku). Kerana dikatakan: Seperti mana yang kamu lakukan, begitulah yang akan dilakukan kepada kamu" (Lihat: Syarah Mukhtasar Al-Raudhah)
#Di sisi mazhab Hanbali, menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati adalah dibolehkan dan ianya sampai kepada si mati.
#Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: "Adapun berkenaan sampainya pahala ibadat-ibadat badan seperti bacaan al-Quran, solat, dan puasa, maka mazhab Ahmad, Abu Hanifah, dan sebahagian dari ulamak mazhab Malik dan as-Syafi’e berpendapat ianya sampai (kepada si mati). Manakala kebanyakan ulamak mazhab Malik dan as-Syafi’e berpendapat bahawa ia tidak sampai" (Lihat: Majmu’ Al-Fatawa)
#Kata beliau lagi:
فَإِذَا أَهْدَى لِمَيِّتِ ثَوَابَ صِيَامٍ أَوْ صَلَاةٍ أَوْ قِرَاءَةٍ جَازَ ذَلِكَ
"Sekiranya seseorang itu menghadiahkan kepada si mati pahala puasa, solat, atau bacaan al-Quran, hukumnya adalah dibolehkan".
#Jom banyakkan berdoa untuk mereka yang telah mendahului kita:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهم، وارْحمْهم، وعافهم، واعْفُ عنْهم، وَأَكرِمْ نزُلَهم، وَوسِّعْ مُدْخَلَهم واغْسِلْهم بِالماءِ والثَّلْجِ والْبرَدِ، ونَقِّهم منَ الخَـطَايَا، كما نَقَّيْتَ الثَّوب الأبْيَضَ منَ الدَّنَس، وَأَبْدِلْهم دارا خيراً مِنْ دَارِهم، وَأَهْلاً خَيراً منْ أهْلِهم، وأدْخِلْهم الجنَّةَ
♡Semoga orang tua kita atau arwah yang telah meninggal dunia tatkala kita berbakti kepada Tuhan, melakukan ibadah, membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan melakukan segala amal baik, maka mereka akan memperolehi pahala yang sebanyak-banyaknya. InsyaAllah, Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment