Friday, 28 February 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 30 Syaaban 1446H☆


قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ


Katakanlah (wahai Muhammad SAW): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah swt dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepadaNya" [Surah az-Zumar 11]

 

#Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah swt dan tidak pada selain daripadaNya (Lihat: Tafsir al-Qurthubi) 


#Niat merupakan asas atau kayu ukur bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan niat itu perlulah diniatkan hanya kepada Allah swt. Tambahan pula, niat juga yang akan menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah swt.


#Bersempena hari Ahad umat Islam akan sambut Ramadhan, maka niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: "Kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara: Niat di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam. (Lihat: Fathul Qarib) 


#Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan. (Lihat: al–Mausuah al-Fiqhiyyah) 


#Daripada Sayidatina Hafsah r.ha, Nabi saw bersabda:


مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ


"Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut)" (HR Abu Daud) 


#Namun, terdapat pandangan yang membolehkan diniatkan terus puasa sebulan. Ini merupakan pendapat Imam Zufar dan Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat. Ia sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. 


#Timbul persoalan, adakah diwajibkan niat berpuasa pada setiap malam atau hanya memadai dia berniat sekali sahaja pada malam pertama awal bulan Ramadan?


Mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi, wajib berniat pada setiap malam. Tetapi jika dia berniat untuk berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan, maka memadai, tetapi disunatkan supaya dia berniat juga pada tiap-tiap malam.


Jika ditakdirkan dia terlupa berniat pada satu malam, maka bolehlah ditaklidkan kepada pandangan Imam Malik (mazhab Maliki) yang mengatakan memadai sekali sahaja niat iaitu pada malam pertama sahaja.


#Begitu juga berkaitan dengan tindakan bangun bersahur adakah dikira sudah berniat tanpa dia menghadirkan di dalam hati niat puasa?


Hal ini telah dijawab oleh Imam Ibn hajar al-Haithami:


"Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa" (Lihat: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj) 


#Berdasarkan kenyataan di atas, orang yang bersahur yang sememangnya untuk berpuasa bukan kerana sarapan pagi atau tujuan lain, maka sudah cukup baginya dikira niat menurut salah satu pendapat fuqaha’ mazhab as-Syafie. 


اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا


♡Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan Ramadhan). Aamiiin♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah





No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...