☆Tadabbur Kalamullah 1 Ramadhan 1446H☆
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" [Surah al-Baqarah 183]
#Perkataan “كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ” memberi maksud kewajipan puasa ke atas orang-orang yang beriman.
#Dalam ayat ini, Allah swt telah menyampaikan perintah kewajipan puasa kepada orang-orang beriman. Puasa adalah suatu Syariat yang penting, ia bukanlah suatu perkara baru kerana umat-umat terdahulu juga telah diperintahkan untuk berpuasa.
#Kewajipan puasa di bulan Ramadhan merupakan madrasah yang sangat luas rahmatnya kepada setiap insan yang menghayatinya. Siapa pun boleh menimba lautan keberkatan yang disediakan oleh Allah swt di dalamnya. Kerana itu Allah swt telah menyediakan madrasah ini untuk dimasuki oleh siapa pun sejak umat-umat yang terdahulu.
#Sabda Rasulullah saw :
أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ
"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan. Ia bulan yang diberkati. Allah swt telah memfardukan ke atas kamu untuk berpuasa padanya. Pada bulan ini pintu-pintu langit (syurga) dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, serta syaitan-syaitan yang jahat dirantai. Allah mempunyai satu malam dalam bulan Ramadhan yang mana malam tersebut lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang terhalang dari mendapat kebaikan malam tersebut maka sesungguhnya dia benar-benar telah terhalang" (HR Ibn Majah)
#Maka rebutlah peluang ini serta ditambahkan lagi dengan pelbagai amal di siang harinya dan di malam harinya agar tawaran yang telah disediakan oleh Allah swt disepanjang bulan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kita.
#Telah berkata Dr. Sayyid al-Affani: "Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadhan dengan taubat nasuha kepada Allah swt dan kembali kepadaNya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat"
#Sabda Nabi saw:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
"Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah swt, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu" (HR al-Bukhari)
♡Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua. Semoga Allah swt menerima segala amal soleh dan ketaatan kita di dalamnya. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment