RAMADAN SEPATUTNYA LEBIH SEPI
Penulis: Abd Ghani Haron
Seorang Siak masjid saya tanya, “Tak niaga di pasar Ramadan tahun ini?” Jawabnya, “Saya rugi banyak tahun lalu, bukan rugi duit, rugi peluang yang Allah beri, rugi kerana menolong orang memuas nafsu makan.” Jom kita ulas sikit jawapan ini.
Ada yang melihat Ramadan sebagai pintu rezeki
sedangkan Nabi tidak menyebut sedemikian dan tidak menyuruh merebut rezeki yang kononnya melimpah di Ramadan. Berapa ramai orang sibuk nak buka pasar Ramadan, nak niaga itu ini, fikir makanan yang unik yang di bulan lain pun tak dijual. Bulan Ramadan baru nak niaga, bulan lain tidak pula. Niaga itu sunnah tetapi niaga yang cenderung ke arah merosak amal kebajikan, dengan mengambil kesempatan atas nafsu dan memancing nafsu makan dari orang berpuasa, dirasakan kurang elok. Bukankah sepatutnya kita bersama mengekang nafsu. Kenapa bila Ramadan baru nak makan itu ini, nak meronda pasar Ramadan, sedangkan waktu bulan lain tidak demikian.
Ramadan sepatutnya menjadi bulan rehat dari merebut dunia, tetapi menumpukan kepada ibadat. Puasa itu satu ibadat mengekang nafsu. Makan sepatutnya dikurangkan kuantitinya, dikurang jenisnya sebagai bukti menentang nafsu, bukan melayannya dengan berbagai juadah.
Ada yang melihat Ramadan sebagai bulan perayaan. Bergelutlah dengan baju raya, perabut baru, kuih raya dan sebagainya sedangkan semua perkara ini tidak diberi penekanan oleh Nabi. Di serata pejabat, orang dah sibuk tempah kuih raya, telah ada yang meronda mencari baju raya, telah diperuntukan duit untuk sambut raya. Hakikatnya bukan raya yang Nabi suruh disambut, tetapi mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadat siang dan malam itu yang disuruh.
Ramadan melatih diri selama sebulan untuk belajar beristiqamah dengan ibadat. Peruntukanlah wang untuk sedekah jariah, memberi makanan berbuka, mengkhatam Quran, menghidup malam dan sebagainya. Kenapa tidak menyediakannya.
Jangan rosakkan Ramadan dengan budaya yang bercanggah. Membakar mercun, bunga api, meriam karbait bahkan memasang lampu dan pelita yang berlebihan dengan fahaman yang bercanggah adalah memcemar kesucian Ramadan. Nabi tidak pernah berbuat demikian. Budaya mercun dan meriam adalah budaya Cina untuk menghalau hantu, budaya pasang pelita adalah mirip Hindu. Ramadan sepatutnya sunyi kerana orang beribadat di masjid, surau dan di rumah, bukannya meriah dengan letupan, bunga api.
Ramadan sepatutnya bulan yang emosional kerana kita dituntut beribadat, menghisab diri, memohon ampun dan sebagainya. Hari raya bukan disambut dengan nyanyian, tetapi disambut dengan pujian kepada Allah. Jika nak sambut hari jadi, jika nak kenduri sambut menantu, jika nak kenduri cukur jambul, kita sudah bersiap berminggu-minggu sebelum, apakah Ramadan yang merupakan bulan rahmat tidak mahu kita bersedia menyambutnya. Bahkan Nabi bersabda yang bermaksud, “Akan datang kepada kamu Ramadan, ucapkankah selamat datang kepadanya.” Buktikan anda bersedia menyambut Ramadan dan Ramadan tahun ini akan lebih sepi kerana kita sibuk dengan ibadat. MARHABAN YA RAMADAN!
*****************************
No comments:
Post a Comment