Saturday, 22 February 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 24 Syaaban 1446H☆


فَإِنَّ ٱللَّهَ یُضِلُّ مَن یَشَاۤءُ وَیَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۖ 


"Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya" [Surah Fāṭir 8]


#Hidayah adalah petunjuk yang diberikan oleh Allah swt kepada mana-mana hambaNya untuk mendapatkan kebaikan. Lumrahnya, hidayah ditujukan pada petunjuk agar seseorang mendapat keterbukaan sehingga bersedia untuk memeluk Islam.


#Oleh itu, banyak ayat dalam al-Quran ditegaskan bahawa tidak boleh seseorang memaksa orang lain untuk memeluk agama Islam. Allah berhak mengurniakan hidayah petunjukNya kepada sesiapa sahaja yang dipilihNya. Tugasan kita berdakwah mengajak manusia kepada Allah swt, disamping berdoa dan bertawakkal padaNya. 


#Diriwayatkan bahawa Nabi saw pernah mengutus Sayidina ‘Amru bin Umaiyah al- Dhamri untuk membawa surat kepada al-Najasyi, raja Habsyah menyerunya kepada Islam. 


Sebaik sahaja surat tersebut sampai dan diketahui isi kandungannya, beliau terus berkata: "Aku bersaksi dengan Allah bahawa dia adalah Nabi yang ditunggu-tunggu oleh para ahli kitab.”


Sebenarnya, al-Najasyi ialah seorang Nasrani bermazhab Nastur yang berpegang kepada tauhid dan menolak ketuhanan al-Masih. 


#Antara isi kandungan surat Nabi saw yang menyeru An-Najashi kepada Islam:


"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sejahteralah engkau. Sesunguhnya aku memuji Allah yang Maha Memerintah, Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha Memberi Keamanan, Yang Maha Melindungi dan aku bersaksi bahawa Isa bin Maryam ialah roh Allah dan kalimahNya yang Allah lontarkannya ke dalam rahim Maryam yang perawan lagi suci dan terpelihara. Lalu dia mengandung Isa yang tercipta dengan ruh dan hembusanNya sebagaimana Allah mencipta Adam hembusanNya dengan kekuasaan dan hembusanNya.


Sesungguhnya, aku menyerumu beriman kepada Allah semata-mata yang tiada sekutu bagiNya, dan terus mentaatiNya, mengikuti aku dan beriman dengan yang datang kepadaku. Sesungguhnya aku adalah Rasulullah dan aku menyerumu dan tentera-tenteramu beriman kepada Allah. Dengan itu aku telah menyampaikan nasihatku kepadamu maka terimalah nasihatku itu dan sejahteralah sesiapa yang mengikuti petunjuk"


#Setelah membacanya, al-Najasyi meletakkan surat tersebut di matanya dan turun dari singahsana lalu duduk di atas lantai. Al-Najasyi masuk Islam dan berdoa demi kebenaran Tuhan yang Maha Agung dan memberikan surat Rasulullah kepadanya dengan berkata: "Habsyah sentiasa dalam keadaan baik selagi kandungan surat Rasulullah menjadi pegangan penduduknya". 


#Inilah hidayah Allah swt kepada an-Najasyi. Dengan selembar surat, telah membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam dan beriman kepada Allah swt. 


♡Ajaklah manusia kepada Allah swt tanpa henti dan tanpa jemu. Moga hidayah Allah swt untuk kita dan juga mereka. Aamiin♡


🐊Ust Naim

*Whatsapp Channel*

Klik link untuk join :

https://bit.ly/tadabburrkalamullah


*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...