☆Tadabbur Kalamullah 3 Ramadhan 1446H☆
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" [Surah al-Baqarah 183]
#Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu daripada tergoda dengan tipu daya syaitan.
#Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah swt yang sentiasa sama ada dalam keadaan rahsia atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.
#Puasa juga membawa seorang mukmin mempunyai disiplin yang tinggi dalam hidupnya. Hal ini berdasarkan waktu yang dihadkan untuk makan dan perlakuan ibadah.
#Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: "Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabar, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat".
#Disebutkan dalam sebuah hadis:
عن أبي هريرة رضي الله عنه: الصيام نصف الصبر وعلى كل شيء زكاة وزكاة الجسد الصيام
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a: "Puasa itu adalah sebahagian daripada sabar. Setiap perkara itu ada zakatnya, dan zakat bagi tubuh badan adalah dengan berpuasa" (Riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi. Dhaif)
#Sayidina Jabir bin ‘Abdillah menyampaikan petua yang sangat bagus untuk kita semua menahan diri dan nafsu ketika puasa. Katanya: "Seandainya kamu berpuasa maka hendaknya pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu turut berpuasa dari dusta dan hal-hal haram serta janganlah kamu menyakiti tetangga. Bersikap tenang dan berwibawalah di hari puasamu. Janganlah kamu jadikan hari puasamu dan hari tidak berpuasamu sama sahaja" (Lihat: Latha’if Al-Ma’arif)
#Ibnu Rajab al-Hambali rahimahullah mengatakan bahawa: "Orang yang menjalani ibadah puasa bererti dia telah menjalankan kesabaran".
#Ganjaran bagi orang yang bersabar akan diberikan pahala yang berlipat kali ganda tanpa batas. Allah swt berfirman:
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٖ
"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas" [Surah az-Zumar 10]
♡Jom latih diri agar sentiasa berpuasa segala anggota zahir dan batin daripada melakukan dosa dan maksiat serta sentiasa sabar dalam segala keadaan. Moga kita beroleh ganjaran pahala yang besar. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment