☆Tadabbur Kalamullah 19 Syawwal 1446H☆
مَنۡ عَمِلَ صَـٰلِحࣰا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَلَنُحۡیِیَنَّهُۥ حَیَوٰةࣰ طَیِّبَةࣰۖ وَلَنَجۡزِیَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ
"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan" [Surah an-Naḥl 97]
#Allah swt menjanjikan balasan yang lebih baik daripada amalan yang dilakukan bagi sesiapa yang melakukan amal soleh. Amalan yang dilakukan tidak banyak, tetapi Allah swt balas dengan berlipat kali ganda, kekal selama-lamanya. Inilah kemurahan Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang beramal soleh.
#Dalam suasana masyarakat Islam berpuasa enam saat ini, banyak pula jemputan rumah terbuka atau kenduri kahwin. Bagaimana untuk beroleh pahala bagi orang yang berpuasa dalam memenuhi jemputan tersebut?.
#Bagi sesiapa yang berpuasa, boleh sahaja untuk mereka menghadiri jemputan kenduri atau rumah terbuka. Ini bertujuan untuk meraikan jemputan serta mendoakan keberkatan buat pengantin dalam keadaan berpuasa.
#Dikisahkan pada suatu hari, Sayidina Utsman bin Affan r.a dijemput menghadiri majlis walimatul urus. Sebaik beliau sampai, beliau berkata:
أَمَا إِنِّي صَائِمٌ غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُ أَنْ أُجِيبَ الدَّعْوَةَ، وَأَدْعُو بِالْبَرَكَةِ
"Sesungguhnya aku sedang berpuasa. Cuma aku suka untuk menyahut jemputan dan hadir mendoakan keberkatan (buat pengantin)" (Lihat: az-Zuhd oleh Imam Ahmad)
#Bahkan jika seseorang yang berpuasa itu kekal berada dalam majlis tersebut, dalam keadaan para tetamu lainnya sedang menikmati makanan, dia akan mendapat selawat dari para malaikat sehinggalah mereka selesai makan atau kekenyangan.
#Diriwayatkan pada suatu hari, Nabi saw masuk ke rumah Sayidatina Ummu Umarah Nasibah binti Ka’b r.ha sebagai tetamu. Beliau pun menghidangkan makanan kepada Rasulullah saw. Lalu Baginda berkata kepadanya: "Makanlah kamu". Sayidatina Ummu Umarah r.ha membalas: "Saya sedang berpuasa". Lalu Rasulullah saw bersabda:
إنَّ الصائمَ تُصَلِّي عليه الملائكةُ إذا أُكِلَ عندَه حتى يَفْرُغُوا ورُبَّما قال حتى يَشْبَعوا
"Sesungguhnya orang yang berpuasa itu, para malaikat akan berselawat kepadanya apabila ada orang sedang makan berhampirannya, sehinggalah mereka selesai. (Kata perawi): Boleh jadi baginda mengatakan: Sehingga mereka kenyang" (HR at-Tirmizi)
♡Hadir jemputan dalam keadaan berpuasa bagi memenuhi hajat tuan kenduri amatlah baik dan sangat dialu-alukan. Bahkan berpuasa saat orang ramai menikmati jamuan, akan beroleh doa daripada malaikat. Selamat berpuasa dan menikmati ganjaran besar daripada Allah swt♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment