Tuesday, 29 April 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 2 Zulkaedah 1446H☆


الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ


"(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum" [Surah al-Baqarah 197] 


#Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif menyebut: 


"Bulan-bulan (أَشْهُرٌ) tersebut ialah Syawal, Zulkaedah, dan 10 hari terawal Zulhijjah. Perkara ini diriwayatkan daripada Sayidina Umar, anaknya Sayidina Abdullah, Sayidina Ali, Sayidina Ibn Mas’ud, Sayidina Ibn Abbas, Sayidina Ibn al-Zubair, dan lain-lain. Ia juga adalah pandangan kebanyakan tabi’in, mazhab al-Syafi’i, Ahmad, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Thaur, dan selain mereka. Tetapi, al-Syafi’i dan sekumpulan ulama mengecualikan hari raya korban, namun majoriti ulamak memasukkannya ke dalam bulan-bulan haji kerana ia adalah hari Haji Akbar dan banyak amalan dalam ibadah haji dilakukan pada hari itu" (Lihat: Lata’if al-Ma’arif)


#Hari ini bermulanya 1 Zulkaedah. Zulkaedah termasuk dalam bulan haji. Sesungguhnya Nabi saw telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali dan semuanya Baginda lakukan pada bulan Zulkaedah. Baginda tidak melaksanakan haji melainkan pada umrah yang terakhir, pada Haji Wada’.


#Diriwayatkan daripada Sayidina Anas r.a, katanya:


اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعَ عُمَرٍ، كُلَّهُنَّ فِي ذِي القَعْدَةِ، إِلَّا الَّتِي كَانَتْ مَعَ حَجَّتِهِ: عُمْرَةً مِنَ الحُدَيْبِيَةِ فِي ذِي القَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مِنَ العَامِ المُقْبِلِ فِي ذِي القَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مِنَ الجِعْرَانَةِ، حَيْثُ قَسَمَ غَنَائِمَ حُنَيْنٍ فِي ذِي القَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مَعَ حَجَّتِهِ


"Rasulullah saw mengerjakan umrah sebanyak empat kali, semuanya pada bulan Zulkaedah kecuali umrah yang ditunaikan bersama haji Baginda, iaitu satu umrah dari Hudaibiyah pada bulan Zulkaedah, satu umrah pada tahun berikutnya pada bulan Zulkaedah, satu umrah dari Ji’ranah yang Baginda membahagikan harta rampasan perang Hunain, juga pada bulan Zulkaedah, dan satu umrah bersama haji Baginda" (HR al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud) 


#Imam an-Nawawi rahimahullah menyebut: "Kesimpulan daripada periwayatan Sayidina Anas dan Sayidina Ibn ‘Umar, keduanya sepakat bahawa umrah (Rasulullah saw) adalah sebanyak empat kali. Salah satunya adalah pada bulan Zulkaedah pada tahun Hudaibiyah 6 Hijrah. Mereka terhalang di Hudaibiyah, lalu bertahallul sehingga hal itu dikira umrah untuk mereka. Kedua, pada bulan Zukaedah tahun 7 Hijrah, iaitu umrah qadha’. Ketiga, pada bulan Zulakaedah tahun 8 Hijrah iaitu pada Tahun Pembukaan (kota Makkah). Yang keempat adalah bersama dengan hajinya. Ihramnya pada bulan Zulkaedah, sementara amalan hajinya pada bulan Zulhijjah"


#Imam an-Nawawi menambah: "Para ulamak menyatakan, sesungguhnya Nabi saw melaksanakan umrah ini pada bulan Zulkaedah kerana keutamaan bulan ini dan untuk menyalahi (kebiasaan) Jahiliyyah dalam hal itu yang menganggapnya sebagai kejahatan yang besar. Maka Nabi saw melaksanakannya beberapa kali pada bulan ini, agar lebih tepat dalam menjelaskan dibolehkannya (melaksanakan umrah pada bulan ini) dan lebih kuat pengaruhnya dalam menghilangkan kebiasaan jahiliyyah. Wallahua’lam. (Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim)


#Kepada semua bakal haji, diucapkan selamat berangkat menunaikan ibadah haji, semoga beroleh haji yang mabrur serta sentiasa berada dalam rahmat dan pemeliharaan Allah swt. 


اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ


"Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya"


♡Bulan Zulkaedah merupakan bulan haji dan bulan Haram yang digalakkan kita menggandakan amal ibadah seperti memperbanyakkan puasa sunat serta melakukan amal-amal soleh yang lain. Jom tingkatkan amal soleh!!♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Apabila Sakit  عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَنَّهُ...